HAMPIR saban hari, wajahnya tidak lekang di kaca televisyen. Sidang akhbar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sering ditunggu-tunggu. Sejak wabak Covid-19 melanda negara, pasukan kesihatan negara menjadi tumpuan rakyat.
Angka kes positif, jumlah kematian, berapa ramai pesakit diwadkan selain bilangan mereka yang sedang bertarung nyawa dalam unit rawatan rapi (ICU) adalah intipati utama laporan setiap hari perkembangan kes pandemik itu di negara ini.
Ketika rakyat duduk bersama keluarga di rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac 2020, beliau dan barisan hadapan negara memperjudikan nyawa berdepan risiko jangkitan virus membawa maut itu.
Tiada istilah penat, bertugas setiap detik putaran jam bagi memastikan sistem kesihatan negara tidak dilumpuhkan dek wabak itu. Nyawa rakyat menjadi keutamaan.
Bukan sahaja perlu memastikan keperluan dan kelengkapan rawatan berada di tahap terbaik, malah beliau bertanggungjawab menangkis pelbagai persepsi dan emosi rakyat dalam memerangi wabak terburuk dalam sejarah negara.
Saya yang mengikuti hampir setiap hari laporan harian sidang akhbar yang disampaikan sendiri Noor Hisham sama ada secara fizikal atau virtual sejak bermula gelombang Covid-19 dapat melihat bagaimana beliau mampu mengendalikan dan menjawab setiap persoalan dengan baik dan tenang berlandaskan rumusan fakta dan statistik sekali gus mampu menghapuskan kerisauan dan kebimbangan rakyat.
Tidak keterlaluan jika beliau menjadi orang paling dipercayai rakyat Malaysia. Dan perkara itu turut diakui dunia apabila beliau menduduki ranking tiga doktor terbaik dan diyakini dunia atas usaha dan kewibawaannya menangani krisis itu.
Stesen televisyen China, Global TV Network menganugerahkan pengiktirafan itu kepada Noor Hisham bersama pakar kesihatan Amerika Syarikat dan New Zealand, iaitu Dr. Anthony Fauci dan Dr. Ashley Bloomfield turut tersenarai.
Noor Hisham, 60, bapa kepada enam anak berasal dari Kuala Lumpur itu memegang jawatan Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013. Pelbagai episod tempoh lebih tiga dekad dalam perkhidmatan mewarnai lakaran cemerlang selepas beliau menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai perubatan pada Ogos 1988.
WHO
Noor Hisham merupakan seorang pakar bedah terkenal sehingga di peringkat global termasuk memegang Pengerusi Jawatankuasa Pembedahan Global Persatuan Pembedahan Antarabangsa Malaysia (ISS) pertama dari 2017 hingga 2021. Beliau turut dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Tetap Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pertama mengenai Pencegahan Kecemasan Kesihatan, Kesediaan dan Respons pada Disember tahun lalu.
Beliau pernah diberi penghormatan menyampaikan syarahan berprestij Martin Allgower di Kongres Pembedahan Dunia di Krakow, Poland, pada 2019 di hadapan 2,000 pakar bedah global.
Kuliah berkenaan untuk memperingati Profesor Allgower, seorang pakar bedah terkenal di peringkat antarabangsa yang merupakan Pengerusi Jabatan Pembedahan di Universiti Basel, Switzerland dari 1967 hingga 1983.
Hari ini, (21 April) pada hari ulang tahun kelahiran ke 60, beliau menamatkan tugasnya kerana bersara wajib. Suasana hiba dan sayu ketika seluruh warga kementerian mengiringi langkah keluar ‘kapten’ mereka. Bangunan Kementerian Kesihatan (KKM), Putrajaya menjadi saksi segala penat, lelah, dedikasi dan komitmen tinggi beliau.
“(Saya akan) rehat dulu setelah bertugas selama 10 tahun sebagai Ketua Pengarah Kesihatan. Terima kasih juga diucapkan kepada menteri. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Covid-19 pun dah berkurangan dan kita dapat mengawal dengan baik dan memang saya tertunggu-tunggu untuk bersara,” katanya ringkas selepas mengimbas kad perakam waktu beliau buat kali terakhir.
Sanjungan khas kepada beliau dalam memberikan kerjasama baik dengan media dalam setiap respons atas semua isu kesihatan negara. Terima kasih Tan Sri.-UTUSAN
PENULIS ialah Koresponden
Utusan Malaysia Putrajaya.











