PENDIDIKAN adalah salah satu ‘tiang seri’ yang penting dalam pembangunan dan kemajuan sesebuah masyarakat. Dalam setiap perlakuan dan tindakan yang kita lakukan, pasti wujud unsur pendidikan, walaupun sekecil kuman.
Dalam agama Islam sendiri, soal pendidikan sangat dititikberatkan dan mempunyai peranan penting dalam mencapai kehidupan yang syumul. Dalam wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, suruhan belajar berkaitan akidah, ilmu dan amal menunjukkan betapa pentingnya pendidikan dalam agama Islam. Seorang ahli falsafah Yunani, iaitu Plato juga menekankan kepentingan pendidikan. Beliau menyatakan bahawa pendidikan adalah suatu keindahan atau kesempurnaan yang dapat diberikan kepada jasmani dan rohani.
Dalam konteks negara pula, pendidikan dapat membentuk serta melahirkan identiti dan keperibadian terpuji dalam kalangan rakyat, sejajar dengan budaya dan norma yang dipegang. Tanpa cambahan pendidikan yang mencukupi, sesebuah negara akan jauh ketinggalan dalam arus globalisasi yang semakin rancak. Hanya pendidikan akan membekalkan ilmu pengetahuan untuk mendepani cabaran dan rintangan.
Di bawah kepimpinan kerajaan Malaysia yang berteraskan konsep Malaysia Madani, soal pendidikan terus diberikan keutamaan. Atas dasar Malaysia Madani, pembangunan modal insan dengan memberikan fokus terhadap penerapan akhlak dan integriti yang tinggi, penyuburan semangat patriotik serta jati diri dalam kalangan rakyat Malaysia terus dilaksanakan demi membina peradaban bangsa Malaysia.
Sejajar dengan itu, menerusi Belanjawan 2023, pihak kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM55.6 bilion untuk sektor pendidikan negara. Jumlah ini mencakupi segmen peruntukan yang terbesar, malah lebih tinggi berbanding jumlah yang ditentukan dalam Belanjawan 2022 iaitu RM 52.6 bilion. Peruntukan yang diterima tersebut akan digunakan untuk mengoptimumkan pembangunan modal insan dengan pengkhususan terhadap pemeliharaan kebajikan murid dan guru, peningkatan kualiti infrastruktur, pembinaan sekolah-sekolah baharu dan banyak lagi yang ditentukan oleh Kementerian Pendidikan.
Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan dilihat mendapat nafas baharu dengan kepimpinan Fadhlina Sidek sebagai Menteri Pendidikan. Beliau dilihat begitu cakna dengan soal pendidikan, terutama dengan isu-isu yang masih berlegar dalam dunia pendidikan negara. Beliau memberikan solusi bagi setiap isu yang dibangkitkan, bukan sahaja di Parlimen, bahkan oleh rakyat Malaysia.
Misalnya, baru-baru ini beliau memberi jaminan bahawa pihak kementerian akan mengembalikan sesi persekolahan kepada bulan Januari seperti sedia kala, namun hanya dilaksanakan selepas membuat penelitian yang sewajarnya. Berita ini amat menggembirakan ibu bapa yang mahu menghabiskan masa bersama anak-anak pada penghujung tahun seperti sebelum ini. Beliau juga telah mengemukakan beberapa langkah dalam menangani isu beg berat dan buku teks sebagai usaha penambahbaikan dalam sistem pendidikan.
NILAI MURNI
Bagi menjayakan hasrat Perdana Menteri untuk mengembalikan soal keyakinan rakyat terhadap pihak kerajaan dengan menangani soal salah laku dan rasuah, beliau turut mengumumkan cadangan penerapan elemen pencegahan rasuah dalam sukatan pelajaran. Antaranya ialah memperkukuhkan penerapan nilai-nilai murni dalam mata pelajaran Sejarah, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral, pengenalan tajuk berkaitan rasuah dalam mata pelajaran bahasa Melayu di peringkat sekolah menengah atas serta dalam Modul Exemplar Pendidikan Sivik, baik di sekolah rendah, mahupun di sekolah menengah.
Mendidik generasi muda dengan lebih awal lagi dengan keburukan dan natijah akibat perbuatan salah laku dan rasuah mampu melahirkan warganegara Malaysia yang bersahsiah serta berkeperibadian tinggi. Bak kata pepatah Melayu, masa lagi rebunglah hendak dilentur, jangan dinantikan sampai menjadi aur. Usaha pragmatik yang diambil oleh Kementerian Pendidikan ini seharusnya diberikan pujian dan disokong oleh semua pihak.
Sementelah itu, masih ada pihak terus mempertikaikan kredibiliti Kementerian Pendidikan, walaupun banyak usaha penambahbaikan dan inisiatif baharu dilaksanakan. Setiap kali, Menteri Pendidikan membuat kenyataan atau pengumuman, ada sahaja pihak yang membuat hantaran, ciapan dan jalur di laman sosial yang bersifat sindiran dan kritikan. Seolah-olah Kementerian Pendidikan berpeluk tubuh dan tidak menjalankan tanggungjawabnya. Kita seharusnya ingat bahawa sesuatu langkah atau dasar tidak boleh dilakukan dalam waktu pejam celik, pejam celik mata. Kita harus memberikan ruang dan masa kepada pihak kementerian untuk menyusun, merancang dan melaksanakan segala keputusan yang diambil.
Perbuatan yang dilakukan oleh segelintir pihak ini bukannya membantu, tetapi sebaliknya hanya mengeruhkan lagi keadaan dan mencetuskan kekeliruan, terutamanya dalam kalangan warga pendidikan.
Bukan itu sahaja, trend membandingkan Kementerian Pendidikan dengan sistem pendidikan di luar negara sudah menjadi kebiasaan. Mengapakah wujud keperluan untuk membandingkan sistem kita dengan negara luar? Sedangkan tidak ada satu sistem pendidikan yang sempurna di dunia ini. Setiap sistem pendidikan yang wujud pasti mempunyai kelebihan dan kekurangan, walaupun di Finland sekalipun.
Kita seharusnya meraikan sistem pendidikan negara yang unik dan kesungguhan agensi pendidikan kita yang terus berusaha untuk memantapkan sistem pendidikan di negara ini.
Murid ceria, guru bahagia dan sekolah bitara.-UTUSAN
DR. M. JAYAKUMARY ialah Pensyarah Akademik di Jabatan
Sains Sosial, Institut Pendidikan
Guru Kampus Darulaman.











