SAYA tertarik dengan Minda Pengarang Utusan Malaysia pada 10 Mac 2023 yang bertajuk Universiti-industri kena berkawan dan menyokong penuh saranan itu.
Ini adalah saranan baik dan universiti mempunyai ekosistem kondusif untuk melaksanakannya dengan terdapat ramai ilmuwan dan pakar dalam pelbagai bidang dan mahasiswa yang perlu disediakan untuk memasuki dunia industri pada masa hadapan sama ada di dalam mahu pun di luar negara.
Hal ini sememangnya telah banyak dilaksanakan di kebanyakan universiti awam di negara ini. Keseriusan ini dapat dilihat dengan adanya jawatan Timbalan Naib Canselor (Jaringan-Industri dan Masyarakat) di beberapa universiti dan menubuhkan jabatan yang menguruskan usaha ini di kebanyakan universiti lain.
Universiti-universiti sejak lebih 10 tahun kebelakangan ini berusaha keras membawa penglibatan industri dengan lebih luas, bukan hanya untuk berkongsi kepakaran bagi pembangunan industri tetapi juga dalam membantu menyediakan pelajar menghadapi dunia sebenar kerjaya masa hadapan.
Universiti Sains Malaysia (USM) misalnya, melaksanakan keperluan pelajar menghabiskan satu tahun pengajian di dalam industri (3U1i). Malah kini dalam usaha memastikan semua pelajar menjalani latihan internship (latihan amali) di sektor swasta terutama industri.
Industri turut menaja pelbagai prasarana untuk pengajian termasuk menyediakan makmal khas. Antaranya penubuhan Institute in Sustainable Advanced IC Substrate Europe and Asia yang menyokong pembangunan teknologi pintar 5G/6G dalam kejuruteraan termaju, penubuhan Oppstar On-Campus IC Design Incubation Programme untuk memanfaatkan teknologi AI (kecerdasan buatan) dalam industri negara, Brachytherapy Global Educational Centre yang ditubuhkan dengan bantuan firma dari Belanda, GaN on GaN Light Emitting Diodes (LEDs) untuk menggunakan teknologi dari Amerika Syarikat dan kepakaran saintis Pemenang Hadiah Nobel University of California, Santa Barbara, Amerika Syarikat yang melibatkan kolaborasi Osram, CREST, Inari, Itramas dan Penchem serta penubuhan USM-Western Digital Center of Innovation and Automation (CiA) yang menyediakan kemudahan bagi melaksanakan program 3U1i.
Begitu juga dengan penubuhan stesen bumi (earth station) di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal pula sebagai pemangkin pemacuan ekonomi serantau dengan keupayaan meningkatkan komunikasi internet yang lebih canggih. Dijangkakan 75,000 satelit komunikasi LEO (Low Earth Orbit) akan dilancarkan menjelang 2030. Stesen Bumi Angkasa X di Kampus Kejuruteraan USM menjadi mercu tanda kerjasama dalam pendidikan kejuruteraan angkasa dan stesen bumi ini menjadi platform kepada misi Satelit Angkasa X sekali gus menyediakan ruang makmal pembangunan dan pemasangan satelit yang bakal menjadi pemangkin pembangunan ekosistem industri angkasa Malaysia.
Ini adalah antara contoh-contoh kerjasama dengan industri untuk faedah mahasiswa ijazah pertama dan ijazah tinggi meningkatkan kemahiran dan menyesuaikan diri dalam persekitaran industri dan antarabangsa bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Terdapat banyak perjanjian ditandatangani dengan pihak industri untuk menyediakan peluang latihan dan latihan amali bagi pelajar ijazah pertama di samping membantu calon ijazah tinggi menjalankan penyelidikan dan sangkutan di dalam industri.
Hasilnya, pada tahun lalu, kebolehpasaran graduan USM telah mencapai 92.8 peratus yang bermakna sebahagian besar graduan telah bekerja tatkala hadir ke konvokesyen mereka.
Universiti bukan sekadar melantik mereka dari industri untuk membantu sebagai pensyarah tetapi juga bekerjasama untuk menawarkan program latihan dan pengajian untuk pekerja industri.
Sekarang ini kerjasama telah dilakukan dengan industri bagi menawarkan program ijazah sarjana muda untuk tenaga kerja mereka tanpa perlu meninggalkan kerja. Ia menggabungkan kepakaran dalam pengurusan dan teknologi industri.
USM hari ini menandatangani persefahaman dengan B. Braun Medical Industries Sdn. Bhd. yang memfokuskan kepada kerjasama dalam pembangunan dan pelaksanaan program latihan pembelajaran profesional yang bermatlamat untuk meningkatkan kecekapan dan pengetahuan para pelajar dalam menempuh cabaran dalam dunia pekerjaan masing-masing.
Universiti juga sering melibatkan industri dalam kajian semula kurikulum dan penasihat kehormat pusat pengajian atau fakulti untuk sentiasa memberi pandangan dan maklum balas terhadap penawaran kursus yang dibuat. Kapten dan pemain industri sering terlibat dalam Panel Penasihat Industri Komuniti yang ditubuhkan oleh universiti.
Pihak industri juga turut dilibatkan dalam pembangunan komuniti melalui penajaan dan perkongsian pengalaman mereka dengan kumpulan yang memerlukan bantuan. Ini termasuklah dalam bersama-sama meningkatkan kualiti akademik pelajar setempat seperti yang dilakukan di Pulau Pinang bersama-sama mahasiswa dan kepakaran universiti.
Hal ini akan turut membantu mahasiswa yang terlibat dalam merasai dan memahami denyut nadi masyarakat serta berbakti kepada masyarakat pada masa hadapan.
Kerana itu, seruan Utusan Malaysia ini sangat tepat pada waktunya yang perlu disambut baik oleh universiti-universiti kita bagi melipatgandakan lagi usaha seperti ini pada masa hadapan. Hubungan dengan industri adalah antara kunci kejayaan kebolehpasaran graduan dan memastikan kerelevanan kurikulum pengajian, ilmu pengetahuan dan pengajaran yang ada.-UTUSAN
PENULIS ialah Ketua Timbalan Pendaftar Kanan, Universiti Sains Malaysia.











