TANGGUNGJAWAB sebagai ibu bapa bukan sekadar melahirkan atau menyediakan makan, minum dan tempat tinggal kepada anak-anak. Namun, peranan tersebut berpanjangan terutama dalam pembinaan keperibadian, akhlak dan pendidikan mereka.
Hasil kajian longitudinal selama 30 tahun oleh sekumpulan pakar psikologi kanak-kanak di Amerika Syarikat (AS) mendapati perilaku seseorang dewasa merupakan natijah daripada pendidikan yang diterima dalam tempoh tiga setengah tahun pertama kehidupan. Justeru, pendidikan awal berhubung adab, akhlak, kasih sayang dan empati merupakan aset bernilai untuk ditanam dan disuburkan dalam diri kanak-kanak.
Malangnya, dasawarsa ini kebanyakan masyarakat lebih memilih gajet sebagai peneman anak-anak terutama bagi memudahkan urusan dan meredakan kesibukan seharian. Perlu diingatkan, gajet adalah teknologi yang bersifat stereotaip dan mudah dimanipulasi untuk tujuan keseronokan. Jika wujud aplikasi melibatkan pengajaran sekalipun, kebanyakannya tidak dilapisi sentuhan emosi secara individu bersama pelayar aplikasi berkenaan.
Sehubungan itu, sikap terburu, kurang sabar, self-centered dan suka mencari jalan pintas merupakan hasil daripada ‘latihan’ sistematik yang dijalani semenjak usia muda.
Sikap tersebut jika diserap secara positif berpotensi untuk memajukan diri dan masyarakat. Contohnya, terburu-buru untuk berjaya menyebabkan seseorang berusaha semaksimum bagi mencapai matlamat. Sebaliknya jika sikap tersebut tidak dikawal, ia boleh menyebabkan kemudaratan seperti mudah melenting dan cepat berputus asa apabila keinginan tidak tercapai.
Dibimbangi sekiranya sikap ini diserap dalam kehidupan berumah tangga akan menyebabkan pasangan terburu-buru untuk bercerai, tiada kesabaran untuk bertolak-ansur dan merasakan hanya dirinya yang terbaik. Kerana itu, tidak hairan apabila statistik menunjukkan hampir 10 peratus perceraian adalah disebabkan isu remeh-temeh seperti tertinggal lengkuas di pasar, perbezaan cara memicit ubat gigi dan bentuk fizikal pasangan.
INISIATIF PASANGAN
Apa yang menyedihkan lagi apabila tiada inisiatif diambil oleh pasangan bagi menyelesaikan konflik rumah tangga tersebut. Menurut kajian yang saya lakukan sepanjang 2015 hingga 2019 di Selangor, didapati hanya lima peratus daripada 669 pasangan yang memfailkan perceraian di mahkamah mengambil inisiatif untuk mendapatkan nasihat daripada ibu bapa atau ahli keluarga, 12 peratus mendapatkan bantuan kaunselor dan hanya satu kes merujuk kepada peguam syarie.
Maksudnya daripada keseluruhan 669 kes tersebut terdapat 555 pasangan yang memfailkan kes tanpa mendapatkan bantuan/kaunseling/nasihat daripada ibu bapa/ahli keluarga atau pakar terlibat.
DIBUANG, DITARIK BALIK
Tidak hanya terhenti di situ, sikap terburu pasangan juga boleh dilihat daripada lambakan kes yang dibuang/dibatal atau ditarik balik yang mewakili 35 peratus daripada keseluruhan kes berkenaan. Kes yang dibuang/dibatal atau ditarik balik tersebut berpunca daripada lima faktor utama yang dikenal pasti seperti kegagalan plaintif untuk menghadiri prosiding, plaintif memfailkan kes pembubaran perkahwinan yang baharu, pasangan telah berdamai, tanpa sebarang alasan dan lain-lain alasan.
Kesannya, kes sebegini menyumbang kepada kelewatan penyelesaian kes lain yang lebih kritikal di mahkamah disebabkan ‘gangguan’ daripada kes yang tidak bermerit tersebut.
Justeru, sama ada suka atau tidak, kita tidak dapat menafikan peranan penting ibu bapa/ahli keluarga sebagai pemudah cara dalam penyelesaian konflik pasangan terutama kepada pasangan muda. Apatah lagi apabila kajian yang dilakukan juga menunjukkan 37 peratus perceraian berlaku dalam tempoh lima tahun pertama perkahwinan.
Sehubungan itu, sokongan moral kepada anak-anak yang baru mendirikan rumah tangga perlu ditonjolkan secara positif agar dapat membimbing mereka mendepani fasa baharu dalam kehidupan dengan lebih tenang dan bertanggung jawab.
Sekiranya ibu bapa/ahli keluarga tidak dapat membantu sekalipun, maka diharapkan mereka tidak mencurah api ke dalam takungan minyak. Pertanyaan seperti, “Eh, tiada mesin basuh di rumah ini?”, “Isteri tak masak ke?”, “Mak, tengok peti ais itu kosong je.” dan “Mak dulu bila bersalin, ayah kau hadiahkan rantai. Suami kau tak bagi apa-apa ke?” merupakan antara persoalan yang berkeupayaan untuk mencetus ‘api’ dalam perhubungan suami isteri.
RISIKO
Peri pentingnya sokongan ibu bapa/ahli keluarga bukan hanya bagi menyelamatkan konflik, malah sokongan mereka juga mampu menyelesaikan sengketa dengan kadar lebih singkat di mahkamah.
Dapatan ini adalah berdasarkan kajian saintifik yang saya lakukan terhadap faktor nisbah (odd ratio) bagi faktor pembubaran perkahwinan dan kesannya terhadap kelewatan penyelesaian kes melebihi 365 hari yang mendapati bahawa kurangnya sokongan daripada ibu bapa/ahli keluarga menyebabkan kadar risiko kelewatan penyelesaian kes meningkat sebanyak 2.29 kali ganda.
Kerana itu, ibu bapa bertanggungjawab untuk mempamerkan sikap dan tauladan yang baik sedari kecil. Nasihati dan bantulah anak-anak untuk mencapai mawaddah wa rahmah dalam berumah tangga dan bukannya menjadi ‘batu api aktif’ bagi meruntuhkan ‘masjid’.
Selain ibu bapa/ahli keluarga, pasangan yang berkonflik juga boleh mendapatkan bantuan khidmat nasihat di pejabat agama daerah, kaunselor bertauliah dari Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), pusat mediasi komuniti, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta pusat kaunseling yang dibangunkan oleh NGO dan universiti.
Kepada pasangan yang berkonflik pula, usahakanlah untuk menyelesaikan kes dengan penuh keharmonian, usah letakkan emosi di hadapan dan bermuhasabahlah dalam mengikis episod kelam. Ini kerana pasangan umpama cermin, jika senyuman yang dilontar, maka senyuman jugalah yang terpantul pada satah cermin tersebut!-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Latihan, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).










