Yulina suka cabar kebolehan diri - Utusan Malaysia

Yulina suka cabar kebolehan diri

Yulina bangga dengan kerja keras dilakukan lantaran ia dapat membantunya membayar kos perlumbaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA rakan seusianya menghabiskan masa menonton wayang atau melepak di kafe pada hujung minggu, lain buat gadis kacukan Cina-Jepun ini yang masih memerah keringat bekerja sehingga lewat malam.

Pelumba amatur, Yulina Tan, 29, sanggup melakukan dua pekerjaan termasuk menjadi pelayan restoran, sekali gus mengetepikan keseimbangan antara kerja dan seronok waktu mudanya.

Jelitawan ini menjelaskan, dia perlu berusaha keras bagi memastikan cintanya terhadap motosikal dan perlumbaan dapat diteruskan.
Akuinya, permotoran merupakan sukan elit. Tanpa sumber kewangan kukuh, individu tidak mampu menampung kos tinggi yang diperlukan.

“Cinta saya terhadap motosikal muncul lewat dan bukan secara semula jadi seperti atlet profesional lain yang terlibat kerana sejarah keluarga yang mana ibu bapa atau adik-beradik mereka merupakan pelumba.

“Tidak mudah untuk sampai ke tahap ini. Banyak pengorbanan dilakukan bagi mencapai impian bergelar pelumba,” katanya kepada Seri.
Antara pencapaian diraih ialah mendapat tempat pertama di Melaka International Motorsports Circuit untuk kategori Rookie 2017; kelima di Malaysian Superbikes Championship-Ducati Desmo Cup 2019 dan keenam di MSF Racing El Finale 2022.

Mengimbau saat pertama kali jatuh cinta dengan jentera dua roda itu, Yulina berkata, segala-galanyanya bermula sewaktu menuntut di Universiti Monash lebih tujuh tahun lalu.

“Motosikal pertama saya Kawasaki Ninja 250 yang saya pakai untuk berulang alik ke kampus,” katanya.

Minat itu berkembang apabila berkunjung ke litar Sepang. Bertitik tolak daripada situ, beliau menyertai sebuah akademi sebelum meneruskan pelajaran di Yamaha Champions Riding School (YCRS) pada 2017.

Di situ beliau belajar mengenai sukan permotoran secara teori dan praktikal termasuk teknik mengambil selekoh, menggunakan brek, peraturan dalam litar dan sebagainya.

Yulina berkata, kesibukan melakukan dua pekerjaan turut menyebabkan waktu tidurnya tidak menentu di samping sering terlepas masa makan.

Namun katanya, mana-mana pelumba yang membiayai sendiri kos perlumbaan digelar sebagai amatur dan golongan sepertinya, memang terpaksa bergelut dengan isu kewangan berbanding kalangan profesional yang dibayar bagi menyertai setiap kejohanan.

Pelbagai cabaran ditempuhi termasuk kecederaan, persepsi masyarakat dan kewangan, namun ia tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus membukti kemampuan.

Namun, lulusan Ijazah Sarjana Muda Media Massa (Politik Dunia) ini tidak pernah berputus asa, sebaliknya semangatnya makin membara walaupun berdepan kesakitan termasuk risiko kecederaan ketika berlumba.

Melihat kemampuannya mengendalikan jentera itu di litar, Yulina nyata memiliki potensi besar untuk melangkah lebih jauh dalam bidang yang sangat diminatinya itu.

“Saya bangga dengan kerja keras yang saya lakukan sebab cara ini dapat membantu saya membayar kos perlumbaan.

“Saya ada mendapat beberapa tajaan untuk produk tetapi pencarian sponsor bukan mudah dan untuk perlumbaan semuanya dibiayai sendiri secara peribadi,” katanya.

Fokus dunia permotoran
Pelbagai perancangan diatur sepanjang 2023 dan yang paling mustahak, bekas pelumba Fixxer Motorsports pada musim lalu ini mahu terus serius dalam dunia permotoran.
Walaupun pelumba wanita tempatan datang dan pergi, namun Yulina berjanji untuk kekal dalam arena ini sehingga mampu menempa nama setanding idolanya, Marc Marquez.
“Saya masih belajar dan akan terus belajar. Saya mahu jadi pelumba yang laju di litar dan memantapkan lagi kemahiran membrek,” katanya.
Gadis genis berketinggian 160 sentimeter ini berkata, walaupun tidak mewakili mana-mana pasukan ketika ini, namun perbincangan sudah dilakukan untuk mengembangkan lagi kerjayanya sebagai pelumba.
Buat masa ini beliau masih berehat memandangkan dalam tempoh cuti perlumbaan.
“Saya sudah ada rancangan untuk 2023 termasuk siri perlumbaan, cuma itu semua dalam peringkat perbincangan dan belum boleh dikongsikan lagi.

Lali sakit, cedera
Retak pada muka, di samping patah tulang bahu dan tangan merupakan antara kecederaan biasa yang pernah dialami Yulina sepanjang empat tahun bergelar pelumba motosikal.

Tidak cukup dengan itu, pelbagai parut hinggap di siku dan lututnya akibat terjatuh ketika berlumba.

Bagi Yulina, risiko kecederaan merupakan cabaran utama dunia permotoran dan seseorang perlu bersiap sedia dari segi mental serta fizikal jika ingin bergiat serius dalam bidang ini.

“Lumba motosikal merupakan sukan keempat paling berbahaya di dunia kerana kelajuan.

“Bagi wanita yang ingin mencuba menunggang motosikal berkuasa tinggi, jangan jadikan faktor kecederaan atau kemalangan sebagai halangan. Sebaliknya, cari ilmu dan pastikan anda pakai kelengkapan keselamatan yang diperlukan,” katanya.

Penjaga kuda
“Sekarang merupakan musim cuti perlumbaan dan saya manfaatkan tempoh rehat ini untuk fokus kepada cinta baharu saya iaitu polo,” katanya.

Peluang menyaksikan perlawanan polo di Putrajaya dua tahun lalu membuatkan Yulina jatuh hati terhadap sukan berkenaan.

Tanpa berlengah, dia mencari peluang bekerja sebagai penjaga kuda di Taman Ekuestrian Putrajaya untuk mengasah bakat dan kemahirannya.

Beliau turut memberanikan diri berhijrah ke Argentina sejak November tahun lalu untuk menimba ilmu dan pengalaman baharu dalam bidang berkenaan.

“Perasaan menonton polo sama seperti ketika saya mula-mula ke litar permotoran, hati terus terpaut ibarat jatuh cinta pandangan pertama.

“Saya gemarkan sukan agresif dan kagum dengan ketangkasan pemain polo. Selepas membuat kajian dan pembacaan, saya nekad ke Argentina untuk belajar menjadi pemain polo yang mahir,” katanya.

Menurut Yulina, di Argentina, dia bertugas sebagai paticero atau penjaga kuda dan bertanggungjawab menguruskan haiwan itu termasuk memberi makan di samping menjaga perkakas dan kelengkapan haiwan berkenaan.

Lebih manis apabila pasukannya turut mengungguli satu kejohanan yang diadakan di sana, baru-baru ini.

Penghijrahan ke Argentina turut mendorong gadis ini mempelajari bahasa Sepanyol bagi memudahkan urusan komunikasinya sepanjang tinggal di negara berkenaan.

Katanya, persiapan sudah dibuat lebih awal dengan mengikuti kelas bahasa secara dalam talian di Malaysia.

“Tidak ramai rakyat Argentina boleh berbahasa Inggeris dengan baik, jadi saya mencabar diri mempelajari bahasa mereka dan secara tidak langsung memberi kelebihan untuk saya bergaul rapat dengan orang tempatan.

“Musim polo akan bermula semula pada Februari dan saya dijangka berada di sini hingga April nanti sebelum kembali semula ke tanah air,” katanya.

Terlepas makan besar
Sambutan Tahun Baharu Cina kali ini berbeza buat Yulina kerana tidak berkesempatan meraikannya bersama keluarga dan sanak saudara di Pulau Pinang termasuk terlepas acara makan besar.

Gadis ini berkata, kepulangannya ke tanah air dari Argentina dijadualkan pada 22 Januari dengan penerbangan yang mengambil masa lebih 35 jam.

Katanya, ketika ini keluarganya sudah berada di kampung ibu bapa di Pulau Pinang bagi menyambut raya.

“Tentunya saya rindu pada keluarga dan aktiviti yang sering kita lakukan bersama semasa Tahun Baharu Cina tetapi apakan daya kerana saya kini di luar negara mencari pengalaman hidup.

“Setiap kali raya memang kita balik kampung dan antara hidangan kegemaran saya ialah bubur tiram dan telur padi,” katanya.

Yulina berkata, kenangan manis menyambut raya ketika kecil yang tidak dapat dilupakannya ialah bermain bunga api bersama abang dan sepupu.

Katanya, bunga api jenis pop pop itu lazimnya dibeli oleh mendiang ibu saudaranya yang sekali gus menambah keseronokan mereka.
“Setiap kali kami bermain bunga api, mendiang nenek pasti marah dan memori itu masih diingati hingga kini.

“Walaupun saya tiada di Malaysia, tetapi saya tetap boleh menerima ang pau yang diambil oleh ahli keluarga,” katanya.

Ketika ditanya bilakah dirinya akan memberikan ang pau pula kepada orang lain, Yulina berkata, bukan dalam masa terdekat kerana belum merancang untuk berumah tangga bagi mengejar impiannya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×