MEMEGANG watak antagonis sebagai perampas suami kepada kawan baik sendiri mendatangkan cabaran besar buat pelakon, Uqasha Senrose.
Walaupun pernah menerajui pelbagai watak utama selain 13 tahun berkecimpung dalam bidang seni, ternyata naskhah baharu berjudul Isteri Halal mendatangkan cabaran tersendiri buat dirinya.
Sebab itu, Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 30 bersedia menerima kecaman penonton dek penangan menjayakan drama bersiri 60 episod ini.
“Saya rasa takut juga terhadap penerimaan penonton sebenarnya tetapi lantaran watak, saya sedia dibenci. Sudah tentu penonton akan rasa geram bila menonton drama ini. Namun, bagi saya orang ramai sudah tentu boleh membezakan lakonan dalam drama dengan kehidupan sebenar.
“Sebelum ini, saya pernah membawa watak perampas, tetapi peranan kali ini paling mencabar dan paling jahat sebab kebetulan hangat pula dengan topik ‘penyondol’ suami orang,” katanya.
Berkongsi pengalaman menjalani penggambaran naskhah baharu terbitan produksi Radius One Sdn. Bhd., Uqasha yang memegang watak sebagai Eyra mengaku hampir rungsing memikirkan adegan tertentu yang perlu dijayakan.
“Sebagai pelakon saya mahu setiap adegan yang dijayakan itu, memberi kesan dan berbekas di hati penonton. Namun, pada masa sama, perlu menjaga batas sebagai seorang isteri.
“Kadangkala ada juga rasa terduduk sebab fikir nak jayakan adegan itu supaya nampak hidup, tetapi pada masa sama perlu menjaga status sebagai seorang isteri.
“Sudah tentu rasa gementar sebab nak jaga hati suami dan banyak aspek lain difikirkan. Namun, pengarah juga ada pandangan sendiri untuk buatkan penonton rasa sakit hati ketika menonton drama ini,” katanya.
HILANG FOKUS
Dalam pada itu, Uqasha berkata, dia tidak boleh menerima terlalu banyak tawaran lakonan dalam satu-satu masa kerana bimbang hilang fokus kerana Isteri Halal menuntut pengorbanan masa dan tenaga.
Uqasha berkata, beliau menjadikan skrip dan pengarah, Uchee Fukada sebagai bahan rujukan bagi menjayakan watak perempuan ‘penyondol’ dengan berkesan.
“Naskhah ini cuba menggambarkan watak Eyra yang cuba menggoda suami kepada kawan baik sendiri. Dia tidak kisah semua itu sebab dah suka.
“Jadi, penonton akan dapat lihat bagaimana lemahnya seorang lelaki yang akhirnya terpikat dan menjalinkan hubungan terlarang dengan kawan isterinya sendiri,” kongsinya.
SUAMI MEMAHAMI
Ditebak penerimaan suami ketika bersetuju menerima tawaran ini, isteri kepada Kamal Adli, 36, berkata, dia bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup yang sangat memahami kerjayanya.
“Suami pesan supaya pandai-pandai jaga diri dan sudah tentu ada teknik-teknik yang digunakan bagi menghidupkan adegan tertentu dalam drama berkenaan.
“Bila berlakon ada limitasi yang perlu dijaga, tambah lagi Aidit Noh (pelakon utama) juga sudah berkahwin, jadi kami perlu faham peranan masing-masing,” katanya.
Uqasha yang pernah meraih Gandingan Serasi Drama Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-34 bersama Kamal jujurnya terpaksa berdikari selepas tidak lagi digandingkan bersama suami sendiri.
“Sebelum ini memang banyak berlakon dengan Kamal sehingga sudah selesa, kalau apa-apa isu memang tolak dia. Dulu senang kalau tak berani bersuara, suami yang akan suarakan.
“Walaupun kali pertama berlakon tanpa suami di sisi, saya tetap rasa okay. Kalau dulu jadual kerja sama boleh pergi sama-sama ke set penggambaran, kali ini perlu pergi sendiri,” katanya.
ISTERI HALAL
Isteri Halal merupakan adaptasi dari drama popular di Filipina berjudul The Legal Wife yang pernah disiarkan pada 2014 serta dibintangi pelakon terkenal, Jericho Rosales dan Angela Locsin.
Naskhah ini merupakan drama terpanjang kedua arahan Uchee selepas kejayaan drama Dendam Seorang Isteri yang ditayangkan tahun lalu.
Selain Uqasha, drama ini turut dibintangi oleh Isyariana yang memegang watak Adellia, Nazim Othman (Daniel) dan Amylea Azizan (Noor).









