THAPTHIM KROP atau Tub Tim Krob adalah manisan atau pencuci mulut Thailand popular. Malah tidak keterlaluan dikatkan ia hidangan wajib dicuba jika berkunjung ke negara Gajah Putih ini.
Gabungan rasa sengkuang Cina, buah nangka dan lemak santan membangkitkan selera manisan ini. Tambah enak kalau dimakan sejuk.
Perkongsian resipi Tub Tim Krob oleh Cef Dave di Seri ini sangat mudah untuk disediakan. Jom cuba!
RESIPI TUB TIM KROB ATAU MANISAN THAI
Masa penyediaan: 15 minit
Masa memasak: 25 minit
Hidangan: 2 hingga 3 orang
Bahan kuah santan
1 cawan air
8 helai daun pandan (disimpul)
1 cawan gula
1 liter krim kelapa atau santan Kara
Secubit garam
Bahan sengkuang merah
3 biji sengkuang cina (saiz sederhana, potong dadu dan rendam)
Sedikit sirap ros
1 cawan tepung ubi kayu
Bahan lain
Ais hancur
4 hingga 5 ulas nangka (dicarik)
Cara penyediaan Bahan kuah santan
1) Sediakan periuk, masukkan air, santan, daun pandan, gula dan garam.
2) Buka api, masak sehingga suam sahaja. Tidak perlu sehingga mendidih. Ketepikan dan masukkan dalam peti sejuk.
Bahan sengkuang merah
1) Sediakan mangkuk, masukkan sengkuang yang dipotong dadu.
2) Kemudian, tuang sedikit sirap ros dan kacau sebati.
3) Sediakan mangkuk lain, masukkan tepung ubi kayu.
4) Kemudian masuk sengkuang ke dalam tepung ubi kayu dan gaul sebati. Pastikan semua sengkuang bersalut bersama tepung ubi kayu. Boleh tambah tepung ubi kayu lagi jika perlu.
5) Ayak atau tapis sengkuang tadi supaya tiada tepung berlebihan.
6) Masukkan ke dalam air yang tengah mendidih sedikit demi sedikit. Boleh mula angkat jika sengkuang mula terapung.
7) Angkat dan masukkan ke dalam mangkuk berisi air sejuk. Kacau seketika dan tapis. Ketepikan.
** Cara menyediakan Tub Tim Krob adalah masukkan ais hancur ke dalam mangkuk lain, letakkan sengkuang merah di atasnya dan sedikit nangka yang telah dicarik.
** Tuangkan kuah santan yang sejuk. Sedia untuk dimakan. – UTUSAN










