Perkahwinan dalam Islam tidak semata-mata tertumpu pada peranan bakal suami atau isteri sahaja. Jumhur fuqaha menetapkan wali sebagai rukun dalam perkahwinan. Wali mempunyai peranan besar dan sebenarnya bukanlah sekadar hadir secara fizikal ketika akad berlangsung.
Wali membawa maksud pelindung, teman akrab, pemimpin atau pembantu yang terdiri daripada keluarga di sebelah lelaki, termasuklah ayah, datuk, abang, adik, lelaki, ayah saudara, anak saudara lelaki, atau anak lelaki ayah saudara.
Peranan dan kuasa wali yang boleh menikahkan perempuan di bawah jagaannya disebut beberapa kali di dalam al-Quran. Antaranya firman Allah yang bermaksud; Dan janganlah kamu kahwinkan perempuan-perempuan kamu dengan lelaki musyrik hingga mereka beriman. (al-Baqarah: 222).
Rasulullah SAW juga menegaskan; Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali. (Riwayat Khamsah dan Nasai)
Wali mujbir berkuasa menikahkan anak atau cucu perempuannya tanpa mendapat persetujuannya. Wali mujbir adalah bapa atau datuk kepada wanita. Walau bagaimanapun, seorang bapa dan datuk tidak boleh sesuka hati memaksa anak atau cucu perempuan mereka yang masih dara untuk berkahwin.
Beberapa syarat mestilah dipenuhi, antaranya; tiada permusuhan antara anak dara dengan bapa atau datuknya, bakal suami mestilah sama tarafnya, bakal suami mestilah mampu membayar mas kahwin, tiada permusuhan antara anak dara itu dan bakal suami dan bapa atau datuk tidak mengahwinkan anak dara itu dengan mas kahwin yang rendah daripada kebiasaan.
Status wali disebut dengan jelas dalam Seksyen 7 Akta 303 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) sebagai orang yang boleh mengakadnikahkan perkahwinan. Walau pun wali ada kuasa yang besar untuk menikahkan anak atau wanita di bawah jagaannya, wali fasik tidak boleh dan tidak sah menjadi wali nikah berdasarkan hadis: Tidak sah nikah melainkan wali yang adil dan saksi yang adil. (Riwayat Ahmad).
Wali yang adil dan tidak fasik ialah mereka yang mengikut suruhan agama, menjauhi dosa besar dan berusaha menjauhi dosa kecil.
Mengapakah seorang wali perlu adil? Sebabnya, dia perlu menilai bakal suami kepada anak, cucu perempuan atau wanita di bawah jagaannya mempunyai kelayakan dari sudut agama untuk menjadi suami yang baik.
Seorang yang fasik tidak mampu membuat penilaian ini kerana dia sendiri telah melakukan dosa. Walaupun demikian, penentuan wali fasik ini mencukupi dengan melihat luaran seorang wali dan dia haruslah tidak dikenali sebagai ahli maksiat.
Syarat wali antaranya; berakal, baligh, seorang lelaki, seorang yang merdeka, sama agama antara wali dan jagaannya dan mempunyai kriteria ar rushd. Ar rushd diistilahkan sebagai kemampuan menilai kelayakan dan kebaikan sesebuah perkahwinan.
Ini adalah syarat terpenting yang harus dimiliki oleh semua wali. Seorang wali harus memastikan kafaah agar perkahwinan wanita di bawah jagaannya tidak membawa sebarang kemudaratan.
Imam Al Ghazali menggariskan tanggungjawab wali untuk memerhati dan meneliti gerak laku calon suami anak atau cucu perempuannya. Bakal suami haruslah dipastikan seorang yang bertakwa dan diyakini tidak akan membawa mudarat kepada anak atau cucunya.
Malangnya hari ini, ramai wali yang tidak menjalankan tanggungjawab ini dengan baik. Bakal calon suami tidak disaring terlebih dahulu dan kegagalan menilai calon suami pastilah membawa risiko besar kepada perkahwinan yang bakal dilaksanakan.
Wali diberi tanggungjawab yang besar untuk menikahkan anak atau cucu perempuan mereka. Pengabaian terhadap amanah ini adalah pengabaian terhadap amanah Allah SWT.
Harus diingat, tanggungjawab wali bukan sahaja dalam perkahwinan monogami. Jika anak atau wanita di bawah jagaannya memilih menjadi isteri kedua atau ketiga bagi seorang lelaki, tanggungjawab wali adalah lebih besar.
Selain memastikan bakal suami itu orang yang berkemampuan, wali haruslah memastikan bakal suami adalah adil untuk mengendalikan perkahwinan poligami.
Selain memastikan keadaan bakal suami yang baik dari aspek material, wali juga harus memastikan isteri kepada lelaki tersebut boleh terima poligami dengan baik. Ini penting kerana seorang wali mesti memastikan anak atau cucu perempuannya berada dalam perkahwinan yang bersandarkan mawaddah dan sakinah.
Bagaimana sebuah perkahwinan mawaddah dan sakinah boleh dibina jika isteri sedia ada lelaki itu menentang keras perkahwinan baru ini?
Lebih menyulitkan, apabila mudarat besar telah berlaku di antara suami dan isteri sedia ada. Pengabaian nafkah, pengabaian emosi, penipuan, penderaan dan sebarang bentuk kezaliman terhadap keluarga yang sedia ada. Bagaimana sebuah keluarga boleh dibina lagi jika keluarga sedia ada kucar-kacir?
Dalam masa sama, wali harus bijak menilai sama ada bakal suami kepada anak atau cucu perempuannya itu boleh dipercayai dan baik agamanya, seorang yang dipercayai percakapannya, benar perbuatannya dan teguh agamanya. Adakah seorang kaki maksiat dan kuat menipu boleh mengemudi lebih dari sebuah keluarga?
Perkahwinan tidak akan menghalalkan maksiat yang telah berlaku. Seorang wali harus menasihatkan anak atau cucu di bawah jagaannya dan bakal suami untuk hidup dengan cara yang baik, bertaubat daripada maksiat lampau sekiranya ada dan membina perkahwinan untuk mendapat reda Allah.
Salah faham masyarakat berlaku apabila menjadikan perkahwinan sebagai jalan keluar secara tergesa-gesa dan terburu-buru. Perkahwinan harus dimulakan dengan keinsafan dan kesedaran membina keluarga bagi beroleh rahmah dan barakah.
Perkahwinan baik monogami dan poligami adalah untuk membawa kebahagiaan kepada pihak yang terlibat terutama suami dan para isteri. Malah lebih penting jika melibatkan anak-anak dari perkahwinan terdahulu. Bagaimana perasaan isteri sedia ada dan bagaimana penerimaan anak-anak dari perkahwinan terdahulu. Adakah si suami mampu mengemudi lebih daripada sebuah keluarga?
Jika pengabaian telah sedia berlaku dalam perkahwinan yang sedia ada, maka wali harus bertindak bijak dan memikirkan kesan yang bakal berlaku dalam perkahwinan yang bakal dibina.
Dalam masa yang sama, seorang wali mesti pastikan anak perempuan di bawah jagaannya dan bakal suami mematuhi bukan sahaja peraturan syariah, malah peraturan semasa berkaitan perkahwinan poligami.
Ini adalah tanggungjawab asas yang sering diabaikan oleh wali zaman ini. Perkahwinan bukan sekadar memenuhi rukun nikah malah banyak tanggungjawab dan peraturan lain yang perlu dipatuhi.
Wali harus sedar bahawa Seksyen 123 Akta Undang-undang Keluarga Islam menetapkan perkahwinan poligami tanpa kebenaran mahkamah adalah satu kesalahan. Wali harus memberi nasihat yang sewajarnya dengan status wali yang berperanan.
Justeru, wali harus memainkan peranan sebaiknya dan bukan sekadar hadir untuk menandatangani borang perkahwinan. Status wali adalah tanggungjawab yang berat dan amanah yang diberi oleh Allah kepada lelaki yang berkeluarga. Pengabaian tugas wali akan membawa mudarat yang besar terhadap keluarga yang bakal dibina.
Tugas membina sebuah keluarga ternyata bukan semata-mata di atas seorang insan bernama suami atau isteri tetapi kewujudan wali dan ahli keluarga sebagai institusi sokongan sosial adalah sangat penting. Wali dan ahli keluarga perlu peranan untuk menasihati dan memastikan setiap ahli keluarga sentiasa berpegang dengan hukum Allah.
Penulis ialah Prof. Madya Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM merangkap Ahli Majlis Agama Islam Selangor.










