PADA 26 September 2020 warganegara Malaysia yang bermastautin di Sabah telah menjalankan kewajipan sebagai rakyat dengan mengundi di Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-16 (PRN16) dan keputusan rasmi yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah seperti yang berikut: (Rujuk Jadual 1)

Tiga hari selepas itu, pada 29 September 2020, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-16 di hadapan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Adalah sesuai untuk diteliti Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri Sabah yang memperuntukkan yang berikut:
“Yang di-Pertua Negeri hendaklah melantik menjadi Ketua Menteri seseorang ahli Dewan Undangan yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan, …”
Perkara 6(3) ini bukanlah satu peruntukan yang boleh dipacakkan secara tunggal kerana ianya hendaklah dibaca bersama Perkara 6(7) yang berbunyi:
“Bagi maksud fasal (3) Perkara ini, dimana suatu parti politik telah menang majoriti kerusi-kerusi Dewan Undangan yang dipilih dalam suatu pilihan raya umum, ketua parti politik tersebut yang adalah ahli Dewan Undangan, hendaklah menjadi ahli Dewan Undangan yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan.”
Daripada keputusan-keputusan rasmi yang dikeluarkan oleh SPR, Parti Warisan yang juga merangkumi enam calon DAP, dua calon PKR dan seorang calon Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO) menang 32 kerusi dengan menggunakan lambang dan watikah Warisan sekali gus merupakan parti politik yang jelas telah memenangi majoriti kerusi-kerusi yang dipertandingkan dalam PRN semantara Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang juga merupakan ADUN Senallang dan Presiden Parti Warisan adalah ketua parti politik yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan menurut Perkara 6(7).
Oleh itu, adalah dihujahkan bahawa pelantikan Hajiji sebagai ketua menteri Sabah ke-16 pada 29 September 2020 adalah bertentangan dengan Perkara 6(3) yang dibaca bersama dengan Perkara 6(7), dan justeru itu adalah disangkal kerana tidak berperlembagaan atas sebab-sebab yang berikut:
1) Parti politik Hajiji yakni Perikatan Nasional (PN) (yang mana lambang dan watikah yang diguna untuk bertanding) hanya mampu memenangi 17 kerusi berbanding 32 kerusi oleh Parti Warisan Sabah;
2) Ketua parti kedua-dua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Memang jelas lagi bersuluh bahawa pelantikan Hajiji yang disangkal itu adalah salah dari segi undang-undang apabila Shafie dan parti politiknya secara ketara telah memenuhi kesemua kehendak Perlembagaan dalam Perkara 6(3) dan Perkara 6(7) masing-masing dengan itu memiliki kelayakan yang absah untuk mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-16.
Pada 10 Disember tahun lalu, Hajiji melalui suatu pernyataan akhbar oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (walaupun GRS tidak pernah menjadi ahli Bersatu ataupun PN) mengumumkan keluar Bersatu dan seterusnya PN serta akan menggunakan GRS sebagai landasan untuk tujuan politik akan datang.
KEDUDUKAN HAJIJI
Satu hakikat yang tidak dapat dipertikaikan ialah GRS tidak pernah bertanding dalam PRN16 Sabah pada 26 September 2020, apatah lagi menang sebarang kerusi dengan menggunakan lambangnya. Ini bermakna kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-16 yang sudah disangkal sebelum ini terjerat lagi untuk kali kedua oleh peruntukan-peruntukan perlembagaan yang sama.
Adalah dihujahkan bahawa jawapan kepada soalan ini boleh diperoleh dari pepatah perundangan “Quod ab initio non valet, in tractu temporis non convalescit” yang bermaksud “Apa yang tidak absah pada mulanya tidak akan menjadi absah pada kemudiannya”.
Sekali lagi, jawapannya adalah dalam negatif kerana politik mesti disesuaikan mengikut undang-undang dan bukannya undang-undang disesuaikan mengikut politik atau dalam perumpamaan bahasa Latin “Politiae legibus non leges politiis adaptandae”.
TYT Sabah diseru supaya menarik balik perlantikan Hajiji sebagai ketua menteri yang disangkal kerana ia adalah terbatal dari mula seperti apa yang pernah dilakukan oleh bekas TYT, Tun Mohamad Adnan Robert terhadap Tun Datu Mustapha Datu Harun selepas hikayat PRN Sabah tahun 1985 dulu.-UTUSAN
PeNULIS ialah seorang pakar ekonomi politik.











