Parodi songsang kian rancak? - Utusan Malaysia

Parodi songsang kian rancak?

SEGELINTIR pempengaruh berlumba-lumba mendapatkan pengikut dan tanda suka hingga membelakangkan isu dosa. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Parodi atau lawak lelaki berpakaian wanita terutamanya di media sosial ketika ini bukan lagi sesuatu yang asing.

Ia boleh dilihat di mana-mana platform, malah ramai pencipta kandungan yang mempunyai nama juga semakin berani menormalisasikan perkara sedemikian melalui jenaka-jenaka di media sosial.

Malah, menurut pendakwah, Ustazah Asmak Husin, ada satu gerakan cuba membawa agenda songsang yang semakin berleluasa di negara ini.

Gerakan itu katanya membawa dakyah untuk orang ramai membuat pilihan mereka sendiri sama ada untuk menjadi lelaki atau wanita menggunakan tiket hak asasi manusia.

“Saya nampak ada satu gerakan mula tersebar di Malaysia yang menggunakan fahaman liberal yang di bawa dari negara luar.

“Ia membenarkan manusia memilih jantina yang disukai demi hak asasi manusia walaupun tidak dibenarkan dalam agama mahupun budaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, gerakan normalisasi budaya sonsang itu dapat dilihat bukan sahaja di media sosial tetapi juga media arus perdana.

“Kalau dilihat di media arus perdana sekalipun, perkara ini bagaikan sesuatu yang biasa dan normal. Banyak program-program yang menampilkan lelaki berpakaian wanita.

“Contohnya program lawak jadi pondan berpakaian wanita. Ia bagaikan satu lelucon yang wajib ada, yang lama-kelamaan jadi normal dalam kalangan masyarakat,” jelasnya lagi.

Sedangkan, tegasnya, agama melarang sama sekali mana-mana jantina menyerupai jantina lain kerana hadis Riwayat Bukhari jelas menerangkan Allah S.W.T melaknat lelaki berpakaian wanita dan sebaliknya.

Oleh itu, tiada cara untuk menghalalkan atau menormalisasikan perkara yang jelas menjadi larangan dalam agama serta budaya tersebut.

“Dalam fatwa pun ada sebut. Sekalipun hanya berlakon atau bergurau memang tidak boleh kerana bertentangan dengan hadis.

“Malah, kalau lelaki memakai baju kelawar semata-mata hendak buat kandungan media sosial pun tidak boleh sebab baju kelawar untuk wanita, jadi tidak boleh menyerupai wanita. Kecuali pakai jubah tidur seperti jubah arab itu dibenarkan kerana ia memang untuk lelaki,” jelasnya.

Goyah akidah
Bagi penyokong yang menyokong pencipta kandungan sedemikian pula katanya, mereka itu tergolong dalam golongan yang goyah akidah.

Hal ini kerana mereka mengikuti perkara yang dilarang oleh agama dan boleh menyebabkan berlakunya dosa jariah.

“Saya secara peribadi tidak melihat siaran langsung oleh pempengaruh media sosial yang berkecenderungan ke arah itu kerana ia jelas bertentangan dengan prinsip sepatutnya.

“Media sosial ini ibarat pisau yang ada baik dan buruknya. Kalau buat baik bergandalah pahalanya, kalau buat jahat, bergandalah dosanya,” katanya lagi.

Sekat kandungan sensitif di platform media
Menyuarakan kebimbangan sama, Timbalan Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Azrul Zafri Azmi memohon agar kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi Digital mengambil langkah proaktif untuk menyekat kandungan sedemikian daripada terus berlegar dalam platform media sosial.

Katanya, perkara itu tidak mustahil memandangkan menteri, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil sebelum ini mengambil langkah agresif dengan melakukan perjumpaan bersama pentadbir Tiktok yang berpangkalan di Malaysia bagi menyekat sebarang kandungan yang sensitif serta mampu menganggu gugat keharmonian kaum.

“Sama juga dengan isu ini. Kerajaan boleh mengadakan perjumpaan dengan platform-platform media sosial yang mempunyai wakil di sini untuk sekat kandungan berunsurkan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

“Selain media sosial, perbincangan juga boleh diadakan dengan platform penstriman seperti Netflix kerana banyak juga filem atau siri yang ditayangkan berunsurkan budaya songsang itu, malah tiada tapisan.

“Walaupun penyedia-penyedia perkhidmatan itu daripada luar negara, cuba fahamkan mereka sensitiviti kita sebagai rakyat Malaysia dan juga impak kepada generasi muda,” cadangnya.

Tambahnya, perkara ini tidak patut dibiarkan berterusan kerana dikhuatiri bakal membawa impak buruk kepada generasi muda yang masih mentah dalam menentukan antara baik dan buruk sesuatu perkara.

“Memang kena kawal sebab untuk pengguna siber seperti saya ini yang berumur lingkungan 30-an mungkin tidak terlalu memberikan kesan.

“Tetapi apa akan jadi dengan pengguna-pengguna yang masih muda? Apabila mereka ini sudah terdedah dengan perkara sebegini di usia muda, tidak mustahil apabila dewasa kelak mereka akan rasa ia suatu perkara normal,” jelasnya.

Selain itu, agensi berkaitan keluarga dan masyarakat serta agama juga perlu lebih aktif memberikan kesedaran kepada masyarakat betapa jijiknya budaya songsang.

Tambahan pula, masyarakat pada ketika ini berlumba-lumba untuk mendapatkan pengikut dan tanda suka di melalui kandungan-kandungan yang tidak mengira dosa dan pahala.

‘Yang buruk dapat perhatian lebih’
Sementara itu, pempengaruh media sosial, Aqil Zulkiflee mengakui kandungan yang mengundang kecaman sentiasa mendapat perhatian lebih daripada masyarakat.

Namun tegasnya, spotlight yang diberikan tidak lama dan populariti itu hanya sebentar sahaja.

“Matlamat setiap pencipta kandungan adalah berbeza. Ada yang buat sekadar hiburan, ada yang sengaja minta kecaman, buat kandungan untuk dikenali ramai dan ada yang buat untuk kekal relevan.

“Aqil rasa tak perlu pun macam itu (berpakaian wanita) sebab ada banyak lagi kandungan yang boleh dibuat seperti memasak, bermain permainan video, bersolek, mengajar dan banyak lagi,” katanya yang mempunyai 1.3 juta pengikut di Instagram.

Mengakui tidak terlepas daripada membuat kandungan yang mendapat kecaman, pemuda berusia 26 tahun itu berkata, ia dijadikan iktibar dan lebih berhati-berhati dalam menghasilkan kandungan media sosial.

“Aqil menaikkan jenama sendiri dengan membuat video hiburan untuk kanak-kanak dan remaja.

“Selain itu, Aqil banyak membuat video trend terkini. Aqil sentiasa ikut trend semasa supaya kekal relevan sehingga sekarang,” katanya lagi.

Ditanya tentang trend kejar tanda suka dan pengikut, pemilik kedai makan Corndog Aqilicious itu berkata, ia kerana kedua-dua elemen berkenaan diperlukan untuk menjadi pencipta kandungan yang boleh dijadikan kerjaya pada ketika ini.

“Semakin banyak pengikut dan tanda suka semakin banyak dan tinggi bayaran yang ditawarkan.

“Tips yang Aqil boleh beri ialah buatlah kandungan lain daripada lain. Contohnya jika ingin fokus dengan kandungan makan, buatlah video makan yang unik.

“Itu akan membuatkan hanya anda seorang saja yang mampu membuat kandungan tersebut. Secara tak langsung, kita mampu memiliki identiti yang tersendiri dalam media sosial,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN