Makam Saidina Uthman di al-Baqi’ - Utusan Malaysia

Makam Saidina Uthman di al-Baqi’

Perkuburan al-Baqi’ yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi turut menempatkan makam Saidina Uthman al-Affan yang dibunuh oleh golongan pemberontak pada tahun 35 Hijrah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mungkin para penziarah perkuburan al-Baqi’ tidak menyedari bahawa sebenarnya perkuburan al-Baqi’ turut menjadi pusara akhir beberapa syuhada dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW dan para tabiin.

Tulisan kali ini akan membicarakan dua tragedi yang mengakibatkan kesyahidan para sahabat dan tabiin lalu jenazah mereka pada hari ini berada di dalam kawasan perkuburan al-Baqi’.

Pembunuhan Saidina Uthman Affan.

Setelah Saidina Uthman Affan di akhir hayatnya dikepung di rumah beliau selama 40 hari oleh para pemberontak, beliau yang sedang berpuasa dibunuh oleh para pemberontak yang menyelinap masuk ke rumahnya pada Jumaat 18 Zulhijjah tahun 35 Hijrah.

Ia hasil fitnah ditambah dengan kewujudan surat-surat palsu yang kononnya ditulis oleh sahabat Nabi SAW di Madinah seperti Saidina Ali Abu Talib, Saidina Talhah Ubaydullah dan Saidina al-Zuber al-Awwam yang meminta manusia untuk datang ke Madinah memerangi Saidina Uthman untuk meninggikan agama Islam.

Sebelum Saidina Uthman terbunuh, sekitar 700 orang para sahabat Nabi SAW dan anak-anak lelaki mereka berkawal di rumah Saidina Uthman demi menjaga keselamatan beliau.

Antara mereka ialah Saidina Abu Hurairah, Saidina Abdullah Umar, Saidina Abdullah al-Zubayr, Saidina al-Hasan Ali Abu Talib, Saidina al-Husayn ‘Aliyy Abu Tolib dan Marwan al-Hakam.

Namun sehari sebelum dibunuh, Saidina Uthman meminta mereka pulang ke rumah masing-masing dan tidak menentang para pemberontak. Malah beliau menyatakan kepada para hamba beliau: “Barang siapa yang telah memasukkan pedang ke dalam sarung, maka dia adalah bebas”.

Permintaan ini kerana Saidina Uthman bermimpi melihat Nabi SAW lalu baginda bersabda: “Wahai Uthman, berbuka puasalah di sisi kami” yang menunjukkan bahawa ajal beliau sudah tiba. Lantas beliau mahu menyerahkan urusan beliau hanya kepada Allah ditambah dengan kerinduan untuk bertemu Nabi SAW.

Akhirnya semua yang berkawal terpaksa akur dengan permintaan Saidina Uthman. Diriwayatkan bahawa yang terakhir meninggalkan Saidina Uthman adalah Saidina al-Hasan Ali Abu Talib.
Setelah dibunuh, jenazah Saidina Uthman diusung ke perkuburan al-Baqi’ oleh beberapa orang. Antara mereka adalah Saidina Hakim Hizam, Saidina Huwaytib Abd. al-Uzza, Saidina Abu al-Jahm Huzayfah, Saidina Niyar Mukram al-Aslamiyy, Saidina Jubayr Mut’im, Saidina Zayd Thabit, Saidina Ali Abu Talib, Saidina Ka’b Malik, Saidina Tolhah Ubaydullah dan Saidina al-Zuber al-Awwam.

Antara mereka yang turut mengusung jenazah Saidina Uthman ke kubur adalah isterinya, Na-ilah binti al-Farofisoh dan hamba wanita Saidina Uthman iaitu Ummu al-Banin Uyaynah.

Pada asalnya para sahabat Nabi SAW mahu menguburkan jasad Saidina Uthman di perkuburan al-Baqi’ namun dilarang golongan pemberontak. Mereka mahu jenazah tersebut disemadi di perkuburan Yahudi di Dayr Sal’.

Akhirnya jenazah Saidina Uthman disemadikan di kebun kurma di timur perkuburan al-Baqi. Kawasan tersebut ketika itu dikenali dengan nama Hashsh Kawkab. Para sahabat turut menguburkan dua hamba lelaki Saidina ‘Uthman bernama Subayh dan Nujayh yang turut dibunuh oleh para pemberontak dalam peristiwa pembunuhan Saidina Uthman.

Jasad kedua-dua hamba itu dikebumikan bersebelahan jasad Saidina Uthman. Pada hari ini kubur Saidina Uthman sudah berada di dalam kawasan perkuburan al-Baqi’ setelah berlaku perluasan perkuburan al-Baqi’.

Tragedi Al-Harroh
Tragedi al-Harroh begitu menyedihkan kerana mengakibatkan peperangan sesama umat Islam sehingga membawa kepada kematian 700 penduduk Madinah yang dikenali dan 10,000 orang yang tidak dikenali.

Tragedi yang berlaku pada hari ketiga terakhir bulan Zulhijjah tahun 63 Hijrah ini berpunca daripada sikap orang Madinah yang tidak lagi mahu memberikan taat setia kepada Yazid bin Mu’awiyah bin Abu Sufyan selaku pemerintah Dinasti Umayyah setelah berlaku pembunuhan Saidina al-Husain dan ahli keluarga beliau di Karbala.

Orang Madinah juga mengusir Gabenor Madinah ketika itu, Uthman bin Muhammad bin Abu Sufyan iaitu wakil kerajaan Umayyah di Madinah. Orang Madinah turut mengusir mereka yang berketurunan Umayyah iaitu sekitar 1,000 orang dari Madinah sehingga mereka yang diusir ini berhimpun di rumah Marwan bin al-Hakam lalu rumah ini dikepung pula oleh orang Madinah.

Tindakan penduduk Madinah itu tidak disokong oleh beberapa tokoh di Madinah seperti Saidina Anas bin Malik dan ahli keluarga beliau, al-Imam Aliyy Zayn al-Abidin yang merupakan satu-satunya anak lelaki Saidina al-Husain yang selamat daripada dibunuh di Karbala, Muhammad bin al-Hanafiyyah serta keturunan Saidina Abdul Muttalib.

Akhirnya berita ini sampai kepada Yazid bin Mu’awiyah lalu beliau menghantar 10,000 tentera dipimpin oleh Muslim bin ‘Uqbah ke Madinah.

Akibatnya berlakulah peperangan antara dua pihak di satu lokasi yang dikenali dengan nama Harroh Waqim sehingga mengakibatkan kematian yang ramai.

Apabila tentera Yazid Mu’awiyah berjaya mengalahkan tentera Madinah, mereka masuk ke kota Madinah lalu membunuh orang ramai, merampas harta mereka dan merogol wanita-wanita Madinah sehingga direkodkan 1,000 wanita Madinah mengandung tanpa suami setelah berlakunya tragedi al-Harroh.

Tentera pimpinan Muslim bin Uqbah bertindak biadab dan melampau terhadap kesucian kota Madinah sehingga kuda-kuda para tentera telah menginjak masuk ke dalam al-Masjid Nabawi sehingga Masjid Rasulullah SAW dikotori dengan najis dan air kencing kuda. Ia menyebabkan makam Nabi SAW dengan mimbar baginda dikotori najis kuda sebagaimana yang direkodkan di dalam kitab Wafa al-Wafa Bi Akhbar Dar al-Mustofa.

Menurut kitab Wafa al-Wafa lagi; Masjid Nabawi telah lengang daripada solat berjemaah sepanjang para tentera melakukan kezaliman kepada penduduk al-Madinah kecuali al-Imam Sa’id bin al-Musayyab yang tetap datang ke masjid itu.

Beliau berkata: “Saya telah ditimpa musibah pada malam-malam al-Harroh. Tidak ada seorang pun daripada makhluk Allah di dalam al-Masjid (Nabawi) kecuali saya. Sesungguhnya penduduk Sham benar-benar masuk (ke dalam masjid) dalam keadaan berbuat bising seraya berkata: Lihatlah orang tua yang gila ini. Tidak akan datang waktu solat melainkan saya telah mendengar azan dari kubur (Rasulullah SAW). Kemudian solat telah diiqamatkan saya pun bergerak ke hadapan (masjid) lantas saya telah melakukan solat dalam keadaan tidak ada seorangpun di dalam masjid selain saya”.

Tragedi al-Harroh ini mengakibatkan pembunuhan beberapa sahabat Nabi SAW daripada kalangan al-Muhajirin dan al-Ansar begitu juga beberapa tokoh daripada golongan Tabiin.

Antara sahabat Rasulullah SAW yang terbunuh adalah Saidina Abdullah bin Hanzolah bin Abu ‘Amir, Saidina Abdullah bin Thabit bin Qoys bin Shammas al-Ansoriyy, Saidina ‘Abdullah bin Zayd bin Asim al-Ansori, Saidina Amir bin Aws bin Atik al-Awsiyy al-Ansori.

PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN