Ketupat, keris jadi inspirasi busana pertandingan ratu - Utusan Malaysia

Ketupat, keris jadi inspirasi busana pertandingan ratu

Antara pelajar terlibat menghasilkan pakaian buat peserta Miss Plus World Malaysia 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keunikan makanan tradisi tempatan, ketupat dan keris menjadi antara inspirasi 12 penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi Rekaan Fesyen di Taylor’s University dalam menghasilkan pakaian kebangsaan bagi peserta ratu cantik bersaiz besar.

Cetusan idea Lee Wei Jun, 21, itu akan dipersembahkan buat julung kalinya dalam Malam Gala Kemuncak Miss Plus World Malaysia 2023 di Wyndham Acmar Klang pada 25 Februari depan.

Katanya, pemilihan ketupat adalah tepat bagi mengangkat Malaysia dan identiti tempatan di mata dunia.

“Sebelum ini kita pernah melihat nasi lemak dijadikan sebagai tema pakaian kebangsaan ratu cantik Malaysia dan saya terfikir untuk mengetengahkan makanan kegemaran saya pula iaitu ketupat.

“Ketupat sinonim dengan anyaman dan teknik itu turut ditonjolkan dalam penghasilan rekaan saya yang menggunakan kulit sebagai material utama,” katanya ketika ditemui selepas sidang akhbar baru-baru ini.

Selain 12 pelajar berkenaan, turut hadir wakil Minggu Fesyen Couture New York Asia Tenggara, Andrew Jackson dan Pengarahnya, Ziinine A. Britshi di samping Dekan Eksekutif Inovasi dan Teknologi di Taylor’s University, Prof. Dr. A. David dan Pengarah Program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Rekaan Fesyen di Taylor’s University, Maria Sandra Wijaya.

Wei Jun berkata, bagi mencipta kelainan, dia menggabungkan teknik jahitan tradisi tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India dalam penghasilan gaun avant garde, bertajuk Origami Malaysia itu.
Kostum kebangsaan untuk peserta ratu cantik bersaiz besar itu merupakan antara tiga pakaian yang perlu dihasilkan mereka dalam koleksi berkenaan.

“Sepanjang proses menyiapkan rekaan ini saya belajar banyak perkara baharu termasuk seni anyaman yang merupakan pusaka Malaysia. Malah saya dapat menyelami yang setiap satu (anyaman) mempunyai mesej tersendiri yang menggambarkan emosi pembuatnya,” katanya.

Ratu Miss Plus World Malaysia 2023 bakal menggayakan busana kebangsaan pada acara kemuncak di Atlanta, Amerika Syarikat (AS) nanti.

Miss Plus World Malaysia dianjurkan oleh Media Path Ent. dan Malaysia World News dengan kerjasama Minggu Fesyen Couture New York dan Taylor’s University.

Sementara itu, seorang lagi penuntut, Winnie Tan Sangueza, 21, berkata, idea menghasilkan rekaan bertajuk Silver Lining Apex diilhamkan daripada senjata tradisional Melayu.

Katanya, berdasarkan kajian dilakukan, keris belum pernah dijadikan tema dalam pakaian kebangsaan peserta ratu cantik di negara ini.

Menurutnya, keris bukan sekadar senjata semata-mata, sebaliknya merupakan lambang kekuatan rakyat Malaysia di samping gambaran penyatuan masyarakat negara ini yang menyokong antara satu sama lain.

“Ini kali pertama saya menghasilkan koleksi pakaian sendiri. Tentunya saya berbangga dapat bekerjasama dalam pertandingan Miss Plus World Malaysia 2023 ini,” katanya.“Pengalaman menghasilkan rekaan untuk individu yang bersaiz besar agak mencabar tetapi saya anggap peluang ini sebagai satu penghormatan terutama dalam situasi masyarakat yang sudah boleh menerima bahawa cantik bukan sekadar pada ukuran badan atau warna kulit,” katanya.

Winnie berkata, keunikan rekaannya itu turut dipengaruhi oleh kombinasi warna perak dan emas yang jarang dilihat di mana-mana sekali gus menyuntik elemen berani dalam koleksinya.

ORANG ASLI MAH MERI
Enya Chok, 20, pula tertarik dengan identiti Orang Asli suku Mah Meri terutama seni ukir masyarakat pribumi itu yang mendorongnya menghasilkan rekaan bertajuk Faces.

Katanya, suntikan elemen tradisi dan moden menjadi pilihannya menerusi penggunaan fabrik songket dan satin.

“Malaysia terkenal dengan kepelbagaian kaum dan budaya, jadi saya mengambil pendekatan desa dalam menghasilkan inspirasi pakaian kebangsaan untuk ratu cantik.

“Saya turut menjadikan watak yang dikaitkan dengan unsur spiritual oleh suku Mah Meri sebagai subjek rekaan,” katanya.

Sementara itu, Maria berpuas hati dengan komitmen ditunjukkan pelajar dalam menyudahkan karya masing-masing.

Katanya, penghasilan busana buat individu bersaiz besar bukan tugasan mudah kerana pereka perlu mendapat ukuran badan terlebih dahulu. Justeru beliau bangga dengan kemampuan ditunjukkan peserta.

Taylor’s University katanya, antara institusi pendidikan menawarkan program teknologi rekaan fesyen. Walaupun baru dilancarkan pada 2020, tetapi pelajarnya sudah meraih banyak pencapaian membanggakan.

Antaranya menyertai Minggu Fesyen Kuala Lumpur (MFKL) 2021 dan menang Anugerah Pereka Terbaik pada Pertunjukan Fesyen Femme Luxe.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN