MASYARAKAT baba dan nyonya yang turut dikenali sebagai peranakan Cina dipercayai wujud sejak lebih 600 tahun lalu. Perkahwinan bersama rakyat tempatan telah melahirkan budaya asimilasi yang unik.
Antara keunikan mencerminkan identiti masyarakat tersebut adalah busana kebaya nyonya yang dijadikan sebagai pakaian harian. Namun, keadaan telah berubah apabila warisan itu semakin dipandang sepi oleh generasi muda yang lebih selesa mengenakan kemeja dan baju-t.
Menurut aktivis kebaya, Cedric Tan Chan Cheng, pemakaian kebaya nyonya mula menunjukkan kemerosotan sekitar awal tahun 80-an apabila golongan wanita keluar bekerja dan membina kerjaya.
Katanya, setelah melihat dunia luar daripada perspektif sendiri, kaum hawa mahukan sesuatu yang lebih praktikal dan mudah sebagai pakaian harian.
“Zaman nenek saya dahulu mereka dididik daripada kecil dengan memakai busana ini setiap hari di rumah. Ketika itu kebanyakan wanita masih menjadi suri rumah sepenuh masa dan kehidupan mereka tertumpu dalam ruang lingkup kediaman sahaja.
“Tetapi generasi selepas itu semakin terbuka. Kemeja dan baju-t semakin menjadi pilihan kerana sesuai dengan cuaca panas di Malaysia di samping lebih mudah dipakai. Akhirnya, tradisi itu tidak lagi diturunkan ke generasi yang lebih muda,” katanya.
Seperti busana fesyen yang lain, kebaya nyonya tidak akan lenyap ditelan zaman kerana faktor luaran turut mempengaruhi popularitinya seperti rekaan yang lebih kontemporari dan sering mendapat publisiti di media massa.
Pada awal tahun 2000, Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood yang juga isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil inisiatif mempromosi seni fabrik warisan negara termasuk batik dan kebaya nyonya.
Kata Cedric, selepas itu permintaan terhadap kebaya nyonya meningkat selama beberapa tahun sebelum merosot. Kemudian, busana tersebut kembali mendapat perhatian selepas digunakan sebagai kostum dalam satu rancangan televisyen.
“Ini menunjukkan kebaya nyonya masih ada peminatnya, cuma amalan pemakaian tidak lagi seperti dahulu. Malah, kemeja dan ceongsam menjadi pilihan untuk dipakai semasa sambutan Tahun Baharu Cina.
“Kebaya nyonya kini dipakai pada masa-masa tertentu seperti menghadiri majlis formal atau keraian. Pada saya sukar untuk busana ini kembali menjadi pakaian harian kerana masyarakat peranakan baba dan nyonya bersifat terbuka terhadap nilai warisan mereka,” jelasnya.
Cedric berpandangan, walaupun mentaliti aspek pemakaian telah berubah, dia percaya masyarakat peranakan Cina itu tidak sesekali melupakan jati diri mereka.
Kata bekas Presiden Persatuan-persatuan Peranakan Baba dan Nyonya Kuala Lumpur dan Selangor itu, ini berikutan mereka masih memakainya pada hari-hari penting, walaupun soal pemakaian adalah pilihan dan hak individu.
“Saya rasa komuniti ini bernasib baik kerana masih ada khazanah kebaya yang diturunkan daripada nenek moyang. Baju warisan ini melambangkan identiti pemakainya di samping menonjolkan sifat kaum hawa yang lemah lembut, tertib dan penuh kesopanan.
“Jangan malu sebaliknya kita harus bangga memakainya. Apabila orang lihat sahaja si pemakainya, mereka sudah tahu latar belakang kita,” ujarnya.
Kain sarung boleh cecah sehingga RM10,000
RAMAI yang tidak mengetahui, kain sarung yang dipakai bersama kebaya nyonya sebenarnya mempunyai nilai tinggi di pasaran sehingga mencecah ribuan ringgit.
Malah, pemilihan sarung sangat penting kerana nilainya lebih mahal berbanding kebaya dan sarung dari Pekalongan di wilayah Jawa Tengah, Indonesia dikatakan antara yang terbaik daripada segi penghasilan.
Kata Cedric, kain yang memiliki tekstur lembut, halus, berat dan dicanting sepenuhnya menggunakan tangan adalah lebih bernilai dan berkualiti tinggi.
“Sehelai kain sarung yang berkualiti boleh mencecah sehingga RM8,000 sementara kain yang mempunyai nilai vintaj boleh dijual melebihi RM10,000 sehelai.
“Sebab itu orang dulu-dulu panggil sarung kebaya, bukan kebaya. Kebaya pula tidak boleh terlalu menonjol sehingga menenggelamkan kain sarung yang dipakai. Generasi sekarang sudah tidak peduli lagi terhadap perincian ini yang mana kebaya yang lebih mahal berbanding kain sarung.
“Ini sebenarnya antara keunikan kebaya nyonya. Generasi muda mungkin tidak faham kerana bagi mereka cukup sekadar memiliki satu baju tradisi baba dan nyonya, kerana mereka tidak menghayati warisan,” jelasnya.
Selain itu, kebaya nyonya berlainan warna turut digunakan ketika tempoh berkabung selama tiga tahun.
Menurut Cedric, kebaya berwarna hitam biasanya dipakai ketika awal kematian, jika ada individu rapat atau saudara mara terdekat meninggal dunia.
“Gabungan putih dan hitam pula dipakai selepas 100 hari, diikuti biru pada tahun kedua dan hijau pada tahun ketiga. Orang yang melihat si pemakai boleh menentukan sudah berapa lama dia berkabung.
“Pemakaian aksesori seperti mutiara dibenarkan setelah masuk tahun kedua ketika memakai kebaya nyonya berwarna biru,” ujarnya.










