Filem Didi & Friends makan kos RM6juta - Utusan Malaysia

Filem Didi & Friends makan kos RM6juta

Hairul (tengah) pada sidang akhbar baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK dinafikan, beberapa tahun kebelakangan ini, industri pembikinan animasi negara semakin menampakkan kecemerlangan dan potensinya untuk bersaing dengan dunia animasi luar negara.

Ia sekali gus menyaksikan satu suasana yang sihat dan animasi anak tempatan kini diyakini memiliki keupayaan untuk menyerlah pada tahap yang lebih berkualiti, sesuai dengan selera penggemar dunia kartun yang tidak lagi cuma tertumpu pada golongan kanak-kanak semata-mata.

Bergerak seiring dengan jenama-jenama animasi popular era baharu keluaran anak tempatan misalnya Ejen Ali, Mechamato, Upin Upin dan Boboiboy, Warnakala Studios, tampil mengikut jejak untuk meneroka pasaran filem dengan menghasilkan Didi & Friends The Movie.

Mendapat kerjasama syarikat Digital Durian dan Astro Shaw, Didi & Friends The Movie dianggap sebagai sebuah naskhah yang sudah lama ‘diperam’.

Perkara itu turut diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Warnakala Studios, Hairul Sofian, yang melihat kini adalah masa yang tepat untuk menghasilkan filem animasi ini selepas 12 tahun ia dikenali ramai.

Pun begitu, kata Hairul, kali ini, animasi yang seringkali sinonim dengan golongan kanak-kanak ini beralih ke tahap berbeza di mana fokusnya lebih meluas dan sesuai untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

Berkongsi mengenainya, kata Hairul, filem memakan kos mencecah RM6 juta secara keseluruhannya yang mencakupi aspek teknikal, produksi dan pemasaran.

“Kalau mengikut pecahan yang paling besar untuk kos tersebut, rasanya lebih banyak kepada aspek produksi. Ia berikutan tumpuan itu harus dibuat pada fasa pembikinan jalan cerita termasuk kesan 3D.

“Sebagaimana yang semua tahu, animasi ini adalah satu industri yang mahal. Disebabkan itu, di Warnakala Studios kami ada seramai 70 orang pelukis dan mungkin selepas ini akan tambah lagi kerana ada hasrat nak wujudkan lagi animasi lain.

“Semuanya kerana kami ada satu misi dan visi yang mana, kami berharap, animasi juga mampu menjadi satu daripada industri yang boleh menjana ekonomi negara pada masa akan datang,” katanya.

Teruja menanti respons daripada penonton kelak, kata Hairul, naskhah filem ini turut mendapat hebat daripada Pengarah Muzik terkemuka tanah air, Saiful Ridzuan yang sebelum ini pernah menghasilkan karya untuk naskhah filem Ola Bola dan Puteri Gunung Ledang The Musical.

“Siapa sangka, untuk naskhah Didi & Friends The Movie ini, kami berpeluang untuk bekerjasama dengan banyak orang hebat dan antaranya menerusi muzik yang menyaksikan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dan Dewan Filharmonik Petronas (DFP) terlibat dalam pembikinan dan susunan lagu.

“Sebenarnya, sudah sekian lama saya memasang hajat nak kerjasama dengan Saiful dan kali ini tercapai juga impian itu. Menerusi sentuhan karya daripada Saiful, saya yakin lagu-lagu catchy dalam filem ini akan mendapat perhatian ramai dan tular.

“Tidak cuma itu, kami juga berbangga kerana filem ini turut mendapat kerjasama baik dengan WAU Animation dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS),” katanya.

Tambah Hairul, sebanyak 11 buah lagu akan mewarnai filem animasi ini dan ia termasuk sebuah lagu yang dihasilkan dan dinyanyikan oleh penyanyi popular tempatan, Hael Husaini, menerusi lagu berjudul Luar Biasa.

Awie, Ruminah Sidek, Amelia pinjam suara
Bersungguh-sungguh dalam merealisasikan usaha untuk menjadikan naskah ini lebih menarik dan mendapat tempat di hati penonton, produksi turut mempelawa beberapa artis tanah air untuk menyumbangkan suara mereka dalam watak animasi yang direka untuk filem ini.

Menurut Hairul, selain watak Didi, Nana, Jojo, Pak Atan dan Pak Beruang, beberapa watak baru telah diperkenalkan.

“Menariknya, watak-watak baharu yang diwujudkan itu direka dan dicipta berdasarkan karakter dimiliki artis atau selebriti yang terlibat. Antara terbabit menyumbangkan suara ialah Datuk Awie sebagai Tok Chip.

“Tidak cuma itu, kami juga telah memilih Amelia Henderson untuk melakonkan watak animasi Kapten Zoey, Waris sebagai Torra dan Ruminah Sidek sebagai Nek Kura,” katanya.

Datuk Awie misalnya, dia mengakui terbuka hati menerima pelawaan pasukan produksi Warnakala Studios kerana terpikat penghasilan animasi ini yang baginya memiliki kualiti setaraf antarabangsa.

Selain itu, Awie juga tidak menolak, pembabitannya dalam naskhah animasi ini adalah sebagai hadiah istimewa buat anakanda keenamnya, Putra Ahmad Andeeka, yang kini berusia 2 tahun.

“Masih saya ingat, dua tahun lalu, pihak produksi hadir dengan pelawaan ini yang mana ketika itu isteri sedang hamil anak keenam. Waktu itu, negara masih lagi dalam fasa pandemik.

“Tetapi, selepas dua tahun ia dilancarkan, juga pada tanggal yang sama dengan hari lahir anak saya. Bagi saya, ini satu kenangan manis.

“Jadi, saya memang mahu dedikasikan Didi & Friends The Movie ini khusus buat anak keenam saya, Andeeka,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai cabaran penglibatan dalam naskhah animasi, kata Awie, dia tidak berasa sukar untuk membawakan watak Tok Chip memandangkan watak itu dihasilkan mengikut personalitinya.

“Projek ini direalisasikan ketika negara sedang dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Cabaran untuk membawakan watak itu tiada, tetapi lebih kepada kesukaran untuk menyiapkannya.

“Maklum sahajalah, waktu PKP, segala perkara jadi terhad. Jadi, ia menyebabkan proses itu memakan masa setahun jugalah. Alhamdulillah, dalam kesukaran, akhirnya kami semua berjaya menyiapkan kerja seni ini dan kini bakal ditonton oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Didi & Friends The Movie yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 23 Februari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×