MEMAHAMI kesukaran pesakit terutama mereka yang terlantar di rumah, Pertubuhan Doktor Prihatin melaksanakan perkhidmatan mengambil sampel darah bergerak (mobile blood taking) bagi memberi kemudahan kepada golongan itu tanpa perlu pergi ke hospital.
Perkhidmatan kali pertama seumpamanya ditawarkan di negara ini bukan sahaja mampu mengurangkan kesesakan di hospital, malah pesakit tidak perlu menunggu masa lama semata-mata hanya mahu membuat ujian darah bagi tujuan rawatan susulan penyakit dihadapi.
Pengerusi Pertubuhan Doktor Prihatin, Dr. Mohammed Hazimi Abdul Razak berkata, projek kebajikan tanpa keuntungan ini dapat mengurangkan bebanan keluarga dari segi masa, kos dan tenaga terutamanya bagi golongan kurang berkemampuan dan mereka yang menghadapi kesulitan kewangan.
Beliau berkata, keutamaan pesakit yang diberikan perkhidmatan itu ialah pesakit terlantar, pasca pembedahan, keretakan atau patah tulang yang tidak mampu bergerak.
“Kami akan bantu untuk mengambil sampel darah di rumah dan hantarkan ke makmal hospital yang merawat pesakit yang pada masa ini hanya fokus kepada pesakit yang mempunyai janji temu di Hospital Kajang.
“Pesakit hanya perlu hadir untuk berjumpa doktor pakar untuk menilai keputusan ujian darah dan rawatan susulan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dr. Mohammed Hazimi sebelum ini menyuarakan inisiatif berkenaan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, dan bekas Perdana Menteri itu mahu ia diuar-uarkan kepada umum bagi membantu menjayakan lagi projek tersebut.
Menurut Dr. Mohammed Hazimi, projek permulaan ini dilaksanakan untuk pesakit di bawah rawatan Hospital Kajang sahaja.
Justeru, katanya, buat masa ini pihaknya mengunakan hanya sebuah ambulans sendiri untuk melaksanakan perkhidmatan berkenaan.
Namun ia dilihat memakan kos tinggi terutamanya dari segi petrol dan juga sumber peralatan, sedangkan, kata beliau, perkhidmatan ambulans sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan kes-kes kecemasan lain yang mana pihakya turut melaksanakan bantuan kepada pesakit yang memerlukan perkhidmatan ambulans yang sudah dimulakan sejak Februari lalu.
Ini termasuk perkhidmatan rawatan dan konsultasi kesihatan dari rumah untuk kes separa kecemasan selain bantuan penjagaan pesakit seperti pembersihan luka, menukar tiub urin dan saluran makanan bagi pesakit di rumah secara percuma.
Dr. Mohammed Hazimi memberitahu, ini termasuk perkhidmatan rawatan dan konsultasi kesihatan dari rumah untuk kes separa kecemasan selain bantuan penjagaan pesakit seperti pembersihan luka, menukar tiub urin dan saluran makanan bagi pesakit di rumah secara percuma.
Merekodkan hingga 90 kes sebulan
Dr. Mohammed Hazimi berkata, sehingga hari ini pihaknya membantu sehingga 90 kes sebulan melibatkan sekurang-kurangnya dua pergerakan ambulans setiap hari di kawasan sekitar Semenyih dan Kajang.
“Justeru, katanya, projek Mobile Blood Taking ini lebih baik dijalankan dengan mengunakan sebuah kenderaan kecil berbanding menggunakan ambulans dan pasukan khusus bagi melaksanakan prosedur kesihatan ini,” katanya.
Bagi menjayakan projek dan usaha murni berkenaan, Dr. Mohammed Hazimi mengajak mana-mana pihak yang mahu membantu dan menyokong projek ini.
Sama ada melalui sumbangan sebuah kenderaan kecil atau bantuan berbentuk kewangan melalui Pertubuhan Doktor Prihatin atas akaun Bank Islam 12195010023720 atau boleh dihubungi ditalian 017-6251858.
Maklumat berhubung Pertubuhan Doktor Prihatin boleh diperoleh menerusi media sosial Facebook dan Instagram, doktorprihatin.










