Berubahlah jika itu suatu keperluan

Berubahlah jika itu suatu keperluan

EKONOMI Malaysia pada tahun baharu ini perlu diperkukuh dan dipersegarkan lagi kerana negara ini milik semua rakyat yang mengimpikan kemajuan dan kemakmuran. – GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Waktu silih berganti memberi peluang seseorang membuat pilihan. Bertanyalah pada hati dengan jujur, bentuk dan kadar pilihan yang bagaimana perlu dilakar semula bagi kelangsungan kehidupan yang lebih baik dari hari atau musim yang berlalu. Berubah, mungkin untuk membina semula, membaiki keterlanjuran atau menentukan kekuatan supaya berada pada tahap yang lebih meyakinkan.

Hidup tidak perlu pasif atau terus terlalai dibawa arus kealpaan, sengketa atau cerita luka dan kecewa. Elak mengulangi kesilapan. Berubah, tidak perlu mengidamkan sesuatu yang lebih daripada orang lain, tetapi apa yang penting usahakan supaya ada perubahan ke arah kebaikan bagi diri sendiri. Agar lebih baik dari sebelumnya.

Bagi rakyat Malaysia, pilihlah persekitaran yang sama dengan misi atau aspirasi sebenar. Jika kestabilan dan kemakmuran yang diimpikan, juruskan cara kehidupan berpolitik, bersosial yang sesuai supaya mencapai dan menepati apa dihajati.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sengketa politik, baik secara dalaman atau berbeza jenama perlu ada had dan batasnya. Perlu bertindak dan bersikap secara terbuka, berlapang dada, profesional. Ada hari boleh bercambah atau bercanggah pendapat dan ada ketika kembali semula menerima dan menghormati ketentuan yang sudah diputuskan secara konsensus atau demokratik.

Asyik menebalkan sikap taksub bahawa hanya aku atau parti kami yang teramat baik tidak memberi banyak makna. Jangan sampai menolak terus kebaikan atau kelebihan yang dimiliki oleh pihak lain. Punca kelemahan besar ialah apa yang digarap di atas kertas jauh tidak sama dengan kemampuan menterjemahkannya untuk kepentingan umum. Soal pokok adalah daya kewibawaan individu pemimpin dan nilai kematangan berpolitik kelompok parti itu sendiri yang boleh menghasilkan faedah berkesan kepada rakyat.

Henti keji mengeji secara berterusan. Jauhkan fitnah yang boleh merosak kedamaian. Reda dengan ketentuan Tuhan. Takdir yang menentukan sempadan dan kedudukan. Jika bukan kita, tidak semestinya orang lain tidak layak mengambil-alih tapak yang ditinggalkan.

Kutip yang baik, cantum yang bermanfaat, mudah-mudahan segala usaha mendapat berkat. Elok dihayati slogan-slogan positif yang membawa kebaikan. Penekanan terhadap perpaduan, memupuk semangat kekeluargaan, membina jiwa satu bangsa dan satu negara, juga ke arah membina bangsa bermaruah tinggi wajar dihimpun pada suatu wadah bagi santapan kehidupan rakyat Malaysia. Yang baik dijadikan landasan dan panduan, yang buruk diketepikan supaya tidak mengganggu keharmonian.

Apa yang dicatatkan ini bukan suatu susunan kata retorik, tetapi mengambil sempena kedatangan tahun baharu 2023. Ada sudut yang tentunya tidak salah bagi rakyat Malaysia menginsafi kebaikan dan menilai semula untuk kembali ke pangkal suasana (back to basic). Berpandulah kepada bukti (track record) yang pernah dialami dan dilalui.

PENGGUNA BIJAK
Lebih enam dekad tanah air tercinta ini menelusuri kestabilan dan kemakmuran. Seluruh rakyat tanpa mengira perbezaan kaum atau dari mana daerah kelahiran, sama-sama menikmati pembangunan dan kemajuan yang dicapai. Menafikan hakikat ini bagaikan suatu pembohongan yang merugikan. Hargailah anugerah Illahi.

Rakyat juga perlu sedia berubah. Sudah banyak pengalaman dan pengajaran mendatangi kehidupan. Sentiasalah tanamkan kesedaran untuk memilih yang terbaik. Jadilah ‘pengguna bijak’, yang tahu memilih barangan benar-benar berkualiti, bukan mudah terpesona dengan iklan atau promosi. Katakan tidak kepada yang hanya tahu bercakap tetapi kurang ‘membuat’ atau bertindak. Yang dicari adalah realiti, bukan sekadar pandai menabur janji.

Politik negara boleh diwarnai oleh rakyat. Ya, mereka memiliki kuasa memilih. Boleh mencorakkan trend dan kecenderungan yang bagaimana untuk disesuaikan dengan cita rasa sebenar. Justeru, rakyat boleh menghantar isyarat jelas kehendak dan keperluan mereka pada setiap kali pilihan raya diadakan. Jangan bersikap suka mengambil mudah.

Apa yang diharapkan, ‘selera rakyat’ dapat diambil kira oleh pihak ‘penaja politik’. Tolak unsur-unsur berbaur perkauman kerana rata-rata rakyat tidak menyukainya. Baguslah, sudah kedengaran kata-kata tegas sesetengah pihak yang tetap menerima dan menghormati butiran yang sudah tercatat kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan. Hal demikian tentu melegakan banyak pihak.

Usah menggunakan ayat-ayat suci untuk mengaburi slogan perjuangan. Sebaliknya, lakukanlah apa jua pendekatan yang boleh menghimpun harmoni dan perpaduan. Berusahalah membebaskan parti daripada dikaitkan dengan sebarang imej negatif. Jika ungkapan ego, sombong menjadi sebutan masyarakat, berubahlah!

Dunia bimbang dengan perkembangan tidak menentu. Termasuk kaitan dengan pertelagahan kuasa, kemerosotan ekonomi, perubahan iklim dan penularan wabak penyakit. Segala itu perlu dijadikan peringatan agar kesannya tidak melarat sehingga turut dirasai tempiasnya oleh rakyat Malaysia.

Semua pihak perlu fokus ke arah perubahan demi kebaikan. Malaysia milik semua yang mengimpikan kemajuan dan kemakmuran. Ekonomi negara perlu diperkukuh dan dipersegarkan. Rakyat mahu taraf kehidupan berkualiti. Asas utama bagi kestabilan dan kemakmuran ialah semangat bersatu padu, berbaik sangka dan sedia bekerjasama.

Kejayaan bukan suatu ukuran statik, ada kala perlu berubah menemui keperluan.-UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×