Selain ruang tamu, ruangan makan juga merupakan antara sudut yang paling penting ketika musim perayaan ini.
Ruangan berkenaan menjadi medan untuk ahli keluarga dan saudara-mara berkumpul sambil menikmati juadah yang enak.
Justeru, susun atur menarik, bukan sahaja akan membangkitkan suasana pada satu-satu kediaman, malah akan turut memberikan nilai tambah kepada juadah yang dihidangkan.
Minggu ini Seri kongsikan elemen penting yang perlu ada dalam menata rias meja makan ala hotel bagi musim perayaan yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi.
Pinggan mangkuk seragam
Ini merupakan antara elemen utama yang perlu diberikan perhatian. Keseragaman daripada segi warna dan rekaan menjadikan meja makan kelihatan lebih teratur. Sebaiknya tentukan dahulu tema atau konsep meja makan sama ada mewah atau minimalis sebelum menyusun atur set alatan makanan.
Alas meja
Alas meja menjadikan susunan kelihatan lebih kemas. Banyak material yang boleh dipilih di pasaran sama ada rotan atau kain. Material jenis rotan sangat sesuai dipadankan bagi meja makan berkonsepkan rumah ladang. Bagi jenis kain pula, warna merah, putih atau hijau mungkin boleh dipertimbangkan sempenan musim perayaan Hari Natal.
Table runner
Ia antara yang boleh dipertimbangkan dalam menyusun atur juadah supaya tampak kemas dan mudah disusun. Penggunaan table runner dari warna-warna lembut mengurangkan efek ‘padat’ di meja makan.
Hiasan tambahan
Tempatkan aksesori lilin dan gubahan bunga yang tidak terlalu sarat di bahagian meja untuk dekorasi mewah ala-hotel. Ia pasti menaikkan suasana di hari penuh bahagia ini.










