Suami tidak paksa buat kerja rumah - Utusan Malaysia

Suami tidak paksa buat kerja rumah

PENJAGAAN anak dan isu berhubung wanita, antara isu dekat di hati Nurul Ashikin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Anak kelahiran Ampang ini boleh dikatakan antara anak watan yang boleh dibanggakan di peringkat antarabangsa.

Ini berikutan, Dr. Nurul Ashikin Mabahwi, banyak menulis kajian mengenai pengurusan banjir, perancangan bandar serta kualiti udara dan dibentangkan di persidangan antarabangsa.

Mengulas mengenai kejayaan dikecapi di peringkat dunia itu, Ashikin berkata ia hasil daripada sokongan suami, seorang jejaka Malaysia yang bermastautin di Jepun.

Lebih selesa tidak mendedahkan identiti suaminya, kata figura itu, sejak di awal perkahwinan suaminya tidak pernah memaksa beliau untuk melaksanakan kerja-kerja rumah kerana memahami kepadatan jadualnya sebagai seorang pelajar.

Malah, setiap kali jika suaminya yang juga seorang jurutera terpaksa bekerja di luar kawasan, suaminya itu akan menyiapkan makanan sejuk beku di dalam peti sejuk untuk memudahkan dia dan anak perempuannya yang berusia enam tahun makan ketika ketiadaanya.

“Suami sokong saya untuk lebarkan sayap dalam bidang yang saya minati sama ada dalam pelajaran atau dalam bidang politik.

“Dia tidak pernah cuba untuk mengepit sayap saya, sebab itu saya boleh terbang dan capai sehingga ke tahap ini,” katanya kepada Seri.

Tambahnya, sebab itu pemilihan teman hidup menjadi antara faktor penting dalam kehidupan setiap orang.

Amat penting katanya, untuk seseorang itu mempunyai teman hidup yang baik bukan sahaja mampu menjadi pendamping tetapi juga pendorong dalam mencapai satu-satu keinginan.

Malah, biarpun kini terpaksa berjauhan dengan suami yang menetap di Jepun kerana keperluan parti politik yang disertai, namun insan yang disayangi itu tidak pernah sedikitpun merungut mengenai kesibukannya.

“Jujur saya katakan, tanpa sokongan daripada suami sangat susah untuk melangkah sejauh ini. Syukur saya mendapat teman hidup yang sentiasa menyokong minat dan keinginan saya.

“Suami mengizinkan saya melebarkan sayap walaupun terpaksa berjauhan seketika buat masa ini. Malah, sejak dari zaman belajar dahulu lagi suami sangat memahami dengan kesibukan saya dan tidak pernah merungut,” katanya yang mendirikan rumahtangga sejak lapan tahun lalu.

Bahagikan masa
Ketua Pejuanita Muda Malaysia daripada Parti Pejuang Tanah Air ini mengakui biarpun dilanda kesibukan sejak menyertai parti politik, dia tetap cuba meluangkan masa bersama keluarga khusunya anak perempuannya.

“Bagaimana sibuk pun, saya akan pastikan saya ada masa untuk anak dan cuba buat sehabis baik,” katanya.

MAHU JADI CONTOH
“Saya masuk politik ini sebab mahu tunjukkan bahawa seorang ibu juga masih boleh jadi apa yang mereka inginkan,” tegas figura tinggi lampai itu.

Sehingga Mac 2022, terdapat 21 juta pengundi berdaftar di negara ini dengan jumlah pengundi wanita lebih ramai iaitu 50.1 peratus berbanding hanya 49.9 peratus pengundi lelaki.

Namun, penglibatan wanita dalam dunia politik dilihat masih lagi kurang memberangsangkan sejak dahulu sehingga kini.

Perkara berkenaan turut diakui oleh Nurul Asyikin yang berpendapat terdapat beberapa kekangan yang menyebabkan golongan berkenaan tidak dapat memberikan komitmen dalam politik.

“Kalau hendak cakap wanita tidak minat politik itu sukar kerana untuk menentukan sama ada minat atau tidak, ia sangat subjektif.

“Tetapi apa yang saya lihat sepanjang pengalaman mengendalikan sayap wanita muda, agak sukar untuk mengajak wanita muda menyertai kami kerana pelbagai kekangan terutamanya daripada mereka yang baru sahaja berkahwin atau melahirkan anak,” katanya.

Antara isu sering diutarakan adalah terikat dengan komitmen untuk anak dan juga suami.

“Trend alasan yang saya kenalpasti apabila mereka sukar menyertai politik adalah kerana sukar membahagikan masa untuk menguruskan anak dan rumahtangga.

“Oleh itu, beberapa kelonggaran telah diberikan untuk memujuk mereka antaranya ialah membenarkan mereka untuk membawa anak ke perjumpaan parti, malah ada yang sambil menyusukan anak semasa perjumpaan kerana semua anggota adalah wanita,” jelasnya.

JUMLAH BERTAMBAH
Kelonggaran-kelonggaran itu katanya memberi perubahan signifikan kepada penambahan anggota dalam Pejuanita.

Sejak ditubuhkan pada 2021, jumlah anggota menunjukkan trend positif, sekali gus memberikan lebih semangat buat figura itu untuk memperjuangkan isu-isu wanita muda.

Bagaimana pun, kata anak kelahiran Kampung Berembang, Ampang, Kuala Lumpur itu, perkara yang difokuskan pada ketika ini bukan hanya jumlah anggota tetapi kaedah yang perlu dilakukan bagi memastikan golongan berkenaan mempunyai tempat di parlimen atau pun sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tujuan utamanya adalah untuk mengukuhkan suara wanita muda di Parlimen sekali gus membuka mata pihak atasan terhadap keperluan-keperluan mereka yang sering dipandang enteng sebelum ini.

Buktinya, Nurul Asyikin yang juga lulusan Doktor Falsafah (PhD) Regional Environment Systems, Shibaura Institute of Technology, Jepun berkata, bajet diperuntukkan kepada wanita dan kanak-kanak seringkali rendah dan tidak cukup memuaskan.

“Itu cabaran kita seterusnya untuk bawa suara wanita muda ke parlimen. Kerana bagi saya segmen yang kita ingin capai adalah berbeza dengan wanita senior.

“Jadi, pada pandangan saya, adalah lebih baik kiranya isu-isu berkaitan kemiskinan haid, tempat asuhan anak dan sebagainya di bawa ke parlimen oleh wanita muda sendiri kerana mereka lebih memahami.

“Contoh yang paling jelas adalah isu kemiskinan haid. Lebih elok kiranya wanita muda yang membawa isu ini kerana golongan ini yang berhadapan dengan perkara sedemikian berbanding golongan wanita senior yang mungkin sudah tidak lagi mengalaminya,” jelasnya lagi.

PENJAGAAN ANAK DAN KESIHATAN
Beliau gemar memperjuangkan isu berhubung sokongan penjagaan anak untuk ibu-ibu yang ingin kembali bekerja.

Kebanyakan ibu yang ingin kembali bekerja selepas melahirkan anak dibelenggu dilema kerana tidak mempunyai tempat yang sesuai untuk meninggalkan anak mereka sementara keluar bekerja.

Hal ini kerana, kata Nurul Asyikin, di negara ini masih kurang taska yang berdaftar selain banyak taska haram yang beroperasi dek kerana kurang pemantauan daripada pihak berkuasa.

“Perkara ini menyukarkan mereka (ibu-ibu) untuk kembali bekerja kerana risaukan keselamatan anak masing-masing,” jelasnya lagi.

Tambahnya, usaha mewujudkan suara majoriti dalam parlimen juga akan mampu mengetengahkan isu penjagaan kesihatan wanita yang lebih baik seperti mewajibkan pemeriksaan kanser yang sering menyerang golongan wanita. Contohnya kanser serviks dan payudara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN