Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia 2022 di UM meriah - Utusan Malaysia

Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia 2022 di UM meriah

Peserta dan fasilitator dalam Kem Bahasa Arab Nusantara 2.0 dan sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia berlangsung di Universiti Malaya, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bahasa adalah alat komunikasi yang digunakan manusia untuk menyampaikan maksud dan tujuan.

Sebagaimana kita maklum, bahasa di seluruh dunia adalah pelbagai.

Namun di antara kepelbagaian itu, bahasa Arab menjadi bahasa istimewa terutama kepada umat Islam.

Ia istimewa bukan sahaja kerana ia adalah bahasa al-Quran iaitu yang memberi panduan dan petunjuk kepada manusia. Lebih daripada itu, ia juga adalah bahasa syurga.

Hampir sedekad lalu, bahasa Arab mendapat pengiktirafan besar di peringkat antarabangsa. Ini apabila pada 18 Disember 1973, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengiktiraf bahasa Arab sebagai salah satu bahasa rasmi pertubuhan utama dunia berkenaan.

Sejak itu, tarikh 18 Disember setiap tahun akan dikenang dan disambut sebagai Hari Bahasa Arab Sedunia. Pelbagai acara dan sambutan dijalankan pada tarikh berkenaan sebagai usaha memartabatkan bahasa Arab di persada dunia.

Sebagai merayakan detik penting ini, Jabatan Bahasa Arab dan Bahasa-bahasa Timur Tengah, Fakulti Bahasa dan Linguistik, Universiti Malaya (UM) mengambil inisiatif menganjurkan Kem Bahasa Arab Nusantara 2.0 dan sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia secara besar-besaran dan meriah.

Ketua Jabatan Bahasa Arab Dan Bahasa-Bahasa Timur Tengah, Fakulti Bahasa Dan Linguistik, UM, Dr. Mohamad Hussin berkata, objektifnya adalah terus menggalakkan pelajar bertutur dengan bahasa ini, menggunakannya dalam komunikasi harian dan memartabatkan bahasa yang agung ini dengan mengaplikasikannya dalam komunikasi seharian.

“Ia turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai budaya dan bahasa Arab kepada masyarakat umum,” katanya yang juga Penasihat Program Sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia.

Kem Bahasa Arab Nusantara 2.0 disertai oleh 52 pelajar daripada institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Antaranya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Universiti luar negara terbabit ialah Universitas Ahmad Dahlan, Yogyakarta, Indonesia dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang kem berlangsung.

Antaranya pertandingan mencipta logo dan sorakan kumpulan, eksplorasi, latihan dalam kumpulan, mencipta lagu tema kem, malam kebudayaan Arab dan pelbagai lagi.

Menepati tema bahasa Arab, sepanjang kem berlangsung, semua peserta dan fasilitator terlibat, wajib menggunakan Bahasa Arab sepenuhnya dalam komunikasi sesama mereka.

Ia sebagai satu bentuk latihan untuk memperkasa kemahiran bertutur Bahasa Arab masing-masing.

Kem berlangsung selama 18 hari itu turut memberi peluang kepada wakil setiap universiti, berkongsi idea menjayakan pelbagai pertandingan dan festival daripada setiap universiti yang terlibat.

Antaranya Pertandingan dianjurkan ialah E-Comic yang dikendalikan oleh UiTM, pertandingan Arabic Got Talent yang dikelolakan oleh UPM dan pertandingan Minecraft pula dikelolakan oleh USIM.

Sementara itu Seminar Antarabangsa Bahasa dan Kebudayaan Arab pula dikelolakan UKM, manakala forum dalam talian mengenai isu-isu berkaitan bahasa Arab untuk tujuan khusus pula dikendalikan oleh UIA Pagoh.

UM selaku penganjur utama menganjurkan Kem Bahasa Arab Nusantara 2.0.

Kemuncaknya ialah sambutan Hari Bahasa Arab Sedunia pada 18 Disember lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×