PERSIDANGAN Parlimen Ke-15 telah pun bermula pada 19 Disember lalu. Sokongan majoriti ahli Parlimen (Dewan Rakyat) terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri secara langsung mengabsahkan kedudukannya sebagai ketua kerajaan pimpinannya, iaitu kerajaan perpaduan. Justeru, akan ada elemen semak dan imbang daripada blok pembangkang. Yang pasti, Parlimen akan menjadi medan atau saluran penting membahas apa jua perkara berkaitan kepentingan rakyat dan negara.
Pada hemat saya, perbahasan yang dipersembahkan oleh ahli-ahli Parlimen akan menjadi indikator kematangan mereka dalam berbahas, berdebat, berhujah dan juga bertingkah laku. Semuanya itu akan diperhati dan dinilai oleh rakyat. Dalam berbahas, mereka patut mengelakkan penggunaan kata-kata kasar, tidak sopan atau lucah. Mereka mestilah berpegang kepada kod etika ahli-ahli Parlimen yang menggariskan tatatertib berhubung sikap ahli Parlimen semasa di dalam dan di luar dewan.
Ahli-ahli Parlimen mesti membuktikan bahawa mereka menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu ahli-ahli politik mengetepikan sikap politiking supaya suasana harmoni sentiasa wujud sepanjang perbahasan. Cara ini akan membolehkan ahli-ahli dewan menumpukan kepada perbahasan yang bermakna dan bermutu tinggi.
Rakyat mahu melihat isi perbahasan mereka benar-benar meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan mendahului perkara-perkara remeh-temeh yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat. Blok kerajaan dan pembangkang mestilah menunjukkan keprihatinan mereka terhadap keluh-kesah rakyat dan keadaan ekonomi yang semakin mencabar.
Blok kerajaan dan juga blok pembangkang haruslah saling bersikap terbuka dalam menerima sebarang pandangan, teguran dan kritikan. Parlimen harus dilihat sebagai satu mekanisme yang membolehkan amalan demokrasi hidup subur dan tumbuh secara sihat. Hanya dengan cara ini ia akan dapat memastikan kewujudan sebuah kerajaan yang mengamalkan sistem pemerintahan berlandaskan undang-undang dan dapat memastikan pentadbiran negara berjalan dengan baik dan lancar serta telus lagi amanah .
Parlimen mempunyai tiga fungsi utama, iaitu menggubal undang-undang, meneliti dan meluluskan belanjawan negara dan sebagai platform yang menyediakan forum bagi membolehkan ahli-ahlinya menyuarakan pandangan yang berkepentingan rakyat dan negara. Blok pembangkang boleh menyemak dan menyuarakan kritikan terhadap peranan dan prestasi kerajaan.
Justeru, ia memerlukan ahli-ahli Perlimen yang matang dan berkualiti dalam membahaskan perkara-perkara penting, terutama dalam perbahasan rang undang-undang, bajet tahunan negara serta dasar-dasar baharu yang ingin dibentuk kerajaan. Dalam konteks inilah. suara rakyat harus terus diberikan perhatian oleh wakil-wakil yang telah memberikan amanah kepada mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. Buat masa sekarang, keutamaan harus diberi kepada perkara-perkara yang menjurus kepada usaha membantu rakyat dan memulih serta menjana semula ekonomi negara, termasuk Bajet 2023.
Kerajaan dan pembangkang seharusnya saling responsif terhadap mana-mana cadangan, pandangan dan kritikan yang membina. Anggota dewan hendaklah menghormati Yang Dipertua Dewan. Ahli-ahli dewan terutamanya ahli-ahli yang pertama kali dilantik mesti faham bahawa Yang Dipertua Dewan memiliki bidang kuasa yang luas dalam dewan yang dikendalikannya. Ini termasuk menentukan urusan persidangan dewan, mentafsir dan mengisytiharkan sesuatu perundangan, peraturan, prosedur dan adat istiadat dewan.
Selain itu, Yang Dipertua Dewan boleh mengizin atau menidakkan sesuatu soalan atau perbincangan, menangguh atau memanjangkan perbahasan. Keputusan Yang Dipertua Dewan di dalam dewan adalah muktamad. Yang Dipertua Dewan juga adalah jurucakap kepada dewan yang dikendalikannya.-UTUSAN
PENULIS ialah penganalisis sosiopolitik bebas.











