DI SEBALIK lambakan konsert artis luar negara, khususnya dari negara jiran, penganjuran konsert anak seni tempatan juga tidak kurang mendapat sambutan hangat peminat.
Antara yang ditunggu-tunggu adalah penganjuran konsert kumpulan OAG yang ternyata membawa perkhabaran gembira buat peminat yang sekian lama ingin melihat mereka beraksi.
Apatah lagi, konsert tersebut bakal melakar sejarah perjalanan OAG seusia 30 tahun membina empayar. Hal itu menyuntik keterujaan buat Radhi, Qi Razali, Ammal Bellamy dan Yin yang telah lama menanti untuk menghadiahkan peminat yang selama ini menyokong muzik mereka.
Berkongsi mengenainya, Radhi mengakui, tidak menyangka OAG masih mampu bertahan, meskipun peredaran masa membuatkan peminat dan pendengar cenderung beralih kepada genre muzik lain.
Malah, segala macam kontroversi yang menerpa, OAG tetap tidak kehilangan sokongan peminat yang setia melayangkan kata-kata semangat untuk terus bangkit dalam perjuangan muzik mereka.
“Segala perkara yang kami tempuhi dan hadapi, sebenarnya Allah SWT kurniakan kekuatan untuk kami terus berjuang. Masih ingat lagi, bagaimana kami dahulu bermula dengan segala kepayahan. Studio pun tidak ada.
“Pemuzik sekarang bertuah kerana ada studio sendiri di rumah. Dulu, kami rakam, cetak dan jual sendiri. Tetapi, kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada revolusi muzik indie. Walaupun zaman berubah, muzik kami tetap dihargai peminat,” katanya.
Sempena catatan perjuangan 30 tahun OAG, konsert ini akan turut menampilkan anggota lama yang pernah bersama-sama menerajui kumpulan itu.
Jelas Radhi, ini merupakan antara momen indah bagi setiap anggota kumpulan dan diyakini menjadi antara perkara yang ingin disaksikan peminat.
Kembali bersatu
Sebagai anggota lama, Qi akur, tidak mudah menyatukan kesemua anggota OAG memandangkan mereka mempunyai komitmen masing-masing.
Jauh di sudut hati, Qi yakin, OAG akan kembali bersatu dan kebersamaan itu dilihat sebagai momen yang luar biasa.
“Menerusi konsert ini, momen bersejarah itu akan dapat disaksikan peminat. Apa yang pernah berlaku antara kami sebelum ini, malah saya juga pernah berundur daripada kumpulan ini pada 1999, kami enggan lagi menoleh ke belakang.
“Kami ketepikan ego masing-masing demi konsert ini. Lagipun, kami semua sudah dewasa dan matang. Sudah tiba masa kami mara dan buat sesuatu dengan menetapkan sasaran untuk dicapai,” katanya.
Menurut Qi, konsert 30 Tahun Generasiku! ini juga bakal disuntik elemen kelainan apabila suara peminat akan dirakamkan untuk dimuatkan dalam lagu baharu berjudul Ori.
“Selain membawakan lagu lama, OAG juga mahu mencipta momen indah bersama peminat. Kami mahu abadikan suara peminat pada konsert itu dalam lagu baharu. Ia kali pertama kami lakukan.
“Ori menjadi pilihan kerana ia membawa maksud menjadi diri sendiri. Saya pasti, ia mampu menjadi kenangan indah buat kami dan peminat,” katanya.
Konsert bermula jam 9 malam berlangsung 25 Disember di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor, itu menampilkan hampir 25 lagu. Ia dijangka dihadiri 6,000 pengunjung. Penganjuran konsert itu juga seiring Festival OAG yang akan memeriahkan suasana pekarangan stadium.
Pelbagai program diadakan antaranya gerai jualan, galeri 30 Tahun OAG, pameran seni lukisan Soffi Jikan, pameran Vespa, demonstrasi papan selaju oleh Pak Din Musa, selain pertandingan komuniti papan selaju.
Tiket konsert dijual mengikut zon dan boleh didapati pada harga bermula RM168 hingga RM308. Layari www.ilassotickets.com untuk maklumat berkaitan.










