Jus buah tropika, tangani nyanyuk - Utusan Malaysia

Jus buah tropika, tangani nyanyuk

Suzana (kanan) bersama sebahagian daripada kumpulan penyelidik dan rakan industri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjelang tahun 2030, Malaysia bakal dinobatkan sebagai negara menua dengan 14 peratus daripada populasi berusia 60 tahun dan ke atas.

Golongan berkenaan berdepan proses penuaan yang melibatkan peningkatan tekanan oksidatif tubuh, sekaligus meningkatkan risiko penyakit kronik degeneratif seperti penyakit darah tinggi, jantung, kencing manis, kanser dan juga demensia atau nyanyuk.

Menurut Penyelidik Program Dietetik, Pusat Penuaan Sihat dan Kesejahteraan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Suzana Sahar, demensia dikenalpasti sebagai faktor utama menyebabkan ketidakupayaan dalam kalangan populasi menua di negara ini.

Justeru, pihaknya mengambil langkah proaktif dengan membangunkan inovasi formulasi jus campuran buah-buahan tropika yang kaya dengan polifenol.

Polifenol merupakan bahan yang sangat berkesan bagi mengurangkan tekanan oksidatif yang diambil daripada sumber buah-buahan tropika.

Jus yang dijenamakan sebagai TP 3-in-1 itu mengandungi 609 miligram (mg) bagi 100 mililiter (ml) jus iaitu 40 peratus lebih tinggi daripada jus komersial yang terdapat di pasaran selain diperkaya dengan antioksidan dan Vitamin C.

“Ujian sensori menunjukkan bahawa formulasi diterima baik oleh populasi, dengan 60 peratus menyatakan rasanya yang lebih baik berbanding jus komersial di pasaran.

“Formulasi ini juga telah diuji terhadap sekumpulan wanita pertengahan usia yang berisiko mengalami tekanan dengan dos 1,500 ml sehari sebanyak tiga kali seminggu bagi tempoh 10 minggu.

“Hasil menunjukkan bahawa formulasi berpotensi mengurangkan tekanan oksidatif, memperbaiki daya ingatan jangka pendek dan menghasilkan metabolit yang boleh melakukan proses autofagi sel atau nyah sel yang berkaitan dengan demensia yang boleh membawa kepada penyakit Alzheimer,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, ujikaji terhadap tikus yang dirangsang untuk menghidap penyakit Alzheimer turut dilakukan.

Hasil ujikaji berkenaan menunjukkan formulasi yang dihasilkan berpotensi meningkatkan bilangan sel saraf haiwan berkenaan.

Inovasi dijalankan sejak tahun 2012 itu bermula dengan kumpulan penyelidik menyaring kandungan polifenol dalam buah-buahan tropika bagi tujuan percubaaan klinikal pencegahan kemerosotan fungsi kognitif dan pencegahan demensia dalam kalangan manusia dan haiwan.

Ia kemudiannya selesai pada tahun 2015 serta mendapat perlindungan harta intelek hak cipta dan seterusnya fail bagi paten pada tahun 2018.

Formulasi rendah gula kemudiannya dihasilkan dan mendapat hak cipta pada tahun 2022.

Jus mudah diambil
Formulasi dalam bentuk jus dihasilkan bagi menggalakkan lebih ramai pengguna mengamalkan pemakanan sihat yang boleh diambil dengan cara yang lebih mudah.

Berdasarkan laporan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), satu daripada tiga orang dewasa pertengahan usia (45-59 tahun) mengalami masalah kesihatan mental.

Manakala, Tinjauan Pemakanan dalam Kalangan Dewasa Malaysia (MANS) Malaysian Adults Nutritional Survey (MANS), melaporkan empat daripada 10 orang tidak mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran secara kerap.

“Oleh itu, kumpulan penyelidikan terpanggil untuk mencipta suatu formulasi yang boleh mengurangkan tekanan oksidatif dan risiko penyakit degenaratif, iaitu formulasi kaya dengan polifenol dalam bentuk jus yang mudah, sedia diambil, sedap dan berkhasiat,” katanya.

Formulasi berkenaan melibatkan beberapa langkah kajian bermula daripada saringan nilai nutrien dan polifenol buah-buahan tropika, penentuan kandungannya dalam buah-buahan tropika terpilih, penentuan formulasi terbaik, penentuan sensori hingglah ke ujian klinikal terhadap manusia dan haiwan.

Formulasi lakar kejayaan
Ketika ini, kumpulan penyelidik bersama rakan industri, Odo Biotechnology Sdn. Bhd. sedang giat menghasilkan jus berkenaan dalam bentuk serbuk dan jus pekat.

Ia memandangkan formulasi dalam bentuk serbuk dan jus pekat lebih mudah dipasarkan sama ada sebagai serbuk minuman atau produk nutraseutikal, kosmetik dan farmaseutikal.

Mengenai relevan penghasilan jus berkenaan pada ketika ini, Suzana berkata ia seiring dengan kesedaran populasi global terhadap pemakanan sihat dan pencegahan risiko penyakit demensia.

Formulasi dihasilkan itu turut berjaya meraih Pingat Emas Ekspo Pencipta 2019 dan dan Pingat Emas pertandingan Invention, Innovation and Design Exposition (IIDEX) 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×