Jangkitan kulat mungkin kedengaran tidak begitu membimbangkan berbanding jangkitan virus tetapi hakikatnya kulat juga boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat.
Daripada dua juta spesies kulat, sebanyak 600 boleh menyebabkan penyakit dan antaranya jangkitan disebabkan oleh Aspergillus spp dan kulat lain yang jarang ditemui seperti Mucormycetes yang menyebabkan penyakit aspergillosis invasive dan mucormycosis.
Kulat ini menghasilkan spora yang kita temui setiap hari tanpa menyebabkan seseorang individu yang dijangkiti jatuh sakit.
Namun, individu yang mempunyai sistem imun yang lemah perlu lebih berhati-hati apabila dijangkiti kulat ini kerana ia boleh membuatkan mangsa jatuh sakit dan berisiko maut.
Dr. Low Lee Lee, Ahli Malaysian Mycology Interest Group (MMIG) dan Pakar Penyakit Berjangkit, berkata, Aspergillosis invasive ini jarang berlaku dan biasanya dijumpai dalam kalangan individu dengan sistem imun yang lemah.
“Penyakit ini dianggarkan menjangkiti lebih 300,000 pesakit di seluruh dunia setiap tahun. Biasanya ia menjangkiti golongan yang memiliki sel stem dan menjalani pemindahan organ terutamanya paru-paru atau dalam kalangan pesakit yang menghidap penyakit hematologi yang serius seperti leukemia akut.
“Mucormycosis juga jarang berlaku dan dianggarkan mencecah kira-kira 10,000 kes di seluruh dunia kecuali India.
“Jumlahnya meningkat ke 910,000 kes setiap tahun sekiranya statistik negara India disertakan.
“Mucormycosis semakin kerap dilaporkan berlaku dalam kalangan pesakit kencing manis yang tidak terkawal, penghidap penyakit hematologi, pemindahan organ dan penerima terapi kortikosteroid berdos tinggi,” katanya.
Katanya kesedaran penyakit jangkitan kulat invasif sering diabaikan dan dipandang remeh berbanding penyakit berjangkit yang lain.
“Walaupun Aspergillosis invasif dan Mucormycosis jarang berlaku berbanding penyakit berjangkit lain, jangkitan kulat invasif ini amat mengancam nyawa dan mencatat kadar kematian yang tinggi.
“Sekiranya tidak dirawat dengan segara, kadar kematian boleh mencapai 100 peratus,” katanya.
Diagnosis jangkitan kulat invasif sememangnya amat mencabar dan kelewatan diagnosis akan melambatkan pemberian rawatan optimum kepada pesakit yang dijangkiti kulat invasif ini.
Sejak kebelakangan ini, sebahagian negara di dunia, melaporkan jangkitan Aspergillosis invasif dan Mucormycosis dalam kalangan pesakit Covid-19, menyebabkan peningkatan risiko kematian.
Peningkatan risiko kematian dalam kalangan pesakit Covid-19 ini berkemungkinan berkait dengan sistem imun yang lebih lemah atau disebabkan terapi tertentu untuk merawat Covid-19 seperti penggunaan steroid.
Menjejaskan paru-paru dan organ lain
Aspergillosis invasif biasanya akan menjejaskan paru-paru, namun ia juga boleh merebak ke bahagian badan yang lain.
Mucormycosis pula biasanya dijumpai di bahagian sinus atau resdung iaitu rongga atau ruang udara berhampiran saluran hidung dan paru-paru.
Dr. Low berkata, lebih membimbangkan jangkitan ini juga boleh merebak ke bahagian otak dan organ lain.
Jangkitan di otak pula boleh menyebabkan perubahan status mental pesakit atau koma peringkat akhir.
“Gejala jangkitan tidak spesifik dan bergantung kepada bahagian badan yang dijangkiti yang menyebabkan penyakit ini sukar dikesan.
“Pesakit dengan jangkitan kulat invasif di paru-paru mungkin menunjukkan gejala radang paru-paru yang tipikal seperti demam, sakit dada, batuk, batuk berdarah dan sesak nafas,” katanya.
Jangkitan sinus pula boleh menyebabkan rasa sakit, lemah, bengkak dan sembab di sekeliling mata, pipi, hidung atau dahi, senget di sebelah muka, sakit kepala, hidung atau sinus tersumbat, tompok atau kesan hitam pada batang hidung.
Tambahnya lagi, pesakit jangkitan kulat invasif perlu menerima rawatan di hospital dan tempoh rawatan yang panjang akan meningkatkan kos rawatan.
Peningkatan kos rawatan perubatan juga dikaitkan dengan keperluan diagnostik tambahan dan rawatan yang diperlukan.
Pencegahan lebih baik daripada merawat
Oleh kerana kulat yang menyebabkan Aspergillosis invasive dan Mucormycosis wujud dalam persekitaran, memangnya sukar untuk mengelakkan kita daripada terdedah kepada spora kulat ini.
Pun begitu, doktor mungkin boleh memberi preskripsi ubat antikulat berdasarkan faktor risiko anda.
Bagi individu yang mempunyai sistem imun yang lemah, langkah pencegahan boleh diambil untuk mengurangkan risiko jangkitan penyakit yang boleh membawa maut ini.
Berikut antara panduan boleh anda ikuti:
* Elakkan aktiviti yang melibatkan sentuhan dengan tanah dan habuk seperti aktiviti di halaman rumah atau berkebun.
* Jika anda melakukan aktiviti di luar, sila pakai kasut, seluar panjang dan baju berlengan panjang.
* Sebaiknya elakkan daripada pergi ke kawasan berdebu seperti tapak pembinaan atau kawasan penggalian.
* Pastikan rumah kurang lembab dan bebas kulat atau fungus.
* Elakkan tinggal di rumah yang berkulat atau berada di sana semasa kerja pembersihan.
* Pakai pelindung muka jenis N95 jika anda tidak boleh mengehadkan pendedahan di kawasan- kawasan tersebut.










