Filem seram Malaysia ke China - Utusan Malaysia

Filem seram Malaysia ke China

(Dari kanan) Ryon Lee Eng Keong, Layla Sania dan Aron Koh. UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Saya ada tabiat di mana sering membaca buku cerita seram sebelum tidur. Saya sangat meminati genre itu,”.

Perkara itu didedahkan pengarah berbakat, Ryon Lee Eng Keong yang namanya terkenal menerusi filem seperti The Journey, Nasi Lemak 2.0, Small Town Heroes dan banyak lagi.

Minat mendalam terhadap genre tersebut mendorong penerima Anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia ke-32 ini untuk menulis dan mengarah filem seram bagi projek seterusnya di bawah penerbitan Lomo Pictures.

Filem yang penggambarannya akan dilakukan di Malaysia selepas sambutan perayaan Tahun Baru Cina tahun depan, bakal melibatkan usaha sama pasukan produksi Malaysia dan China. Justeru, selain dipertontonkan di Malaysia, filem tersebut juga bakal di bawa ke China.

Ryon, dalam sesi bersama media baru-baru ini meluahkan rasa lega apabila skrip yang dihasilkannya untuk filem itu, yang mengambil masa lama untuk disiapkan, akhirnya mendapat kelulusan badan penapisan filem di China, selepas beberapa tahun diserahkan kepada pihak berkenaan.

Khabar gembira itu katanya, memberi harapan kepadanya dan seluruh pasukan produksi yang sekian lama menanti ‘lampu hijau’ dari badan penapisan filem negara berkenaan.

“Perancangan untuk filem ini sudah lama kami laksanakan. Kami menunggu tiga tahun untuk mendapat kelulusan dari badan penapisan (filem) di sana. Tiga tahun adalah tempoh yang sangat mencabar. Skrip yang dihantar terpaksa dirombak beberapa kali selepas ditolak atas faktor tertentu.

“Proses penapisan yang dilalui sangat rumit kerana kriteria kelulusan filem di China adalah berdasarkan penilaian babak, jalan cerita, dialog dan komunikasi serta banyak lagi. Jadi ia bukan proses yang mudah.

“Sebab itu, kami lega dan sangat gembira apabila badan penapisan filem China meluluskan skrip tersebut. Ia umpama lampu hijau untuk proses yang seterusnya,” katanya.

Filem yang judulnya masih belum ditetapkan itu berkisar tentang sekumpulan pelancong luar negara yang merungkai misteri di sebuah rumah berpenunggu.

Kata Ryon, dia berhasrat dapat sekali lagi mempromosikan budaya tempatan dengan menjadikan Malaysia sebagai latar tempat bagi penceritaan filem berkenaan.

“Berdasarkan kajian dan penelitian, warga China menyambut baik cerita-cerita seram luar negara kerana sebagai penduduk di negara komunis, mereka menolak dan tidak mempercayai kewujudan makhluk halus atau hantu di negara mereka.

“Tetapi, mereka mengalu-alukan filem luar yang mengandungi ideologi tersebut kerana pada mereka, itu bukan fahaman dan kepercayaan mereka.

“Disebabkan situasi tersebut, kami perlu menyediakan dua penceritaan yang mempunyai pengakhiran berlainan untuk menyesuaikan filem yang kami usahakan ini dengan fahaman dan kepercayaan serta budaya di China,” jelasnya.

PENGALAMAN LAMA MEMBANTU
Kata Ryon lagi, pengalaman bekerjasama dengan syarikat produksi dari China sebelum ini membantunya untuk sekali lagi menembusi pasaran China menerusi filem yang bakal dihasilkan.

“Dari segi bahasa dan komunikasi memang tiada masalah. Tambahan pula sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan syarikat produksi China ketika menghasilkan filem Haunted Hotel hampir lima tahun yang lalu,” ujarnya.

PELUANG LEBIH LUAS
Pengarah Eksekutif Lomo Pictures, Aron Koh optimis dan yakin, selain mendapat sambutan Malaysia, filem yang menelan kos pembikinan dan promosi sebanyak RM8 juta itu nanti dapat menarik penonton China untuk menontonnya di pawagam.

“Meskipun kerajaan China masih melaksanakan perintah kawalan pergerakan kerana wabak Covid-19, rakyatnya telah diberi sedikit kelonggaran untuk melakukan aktiviti harian.

“Saya percaya, ketika filem ini sedia ditayangkan nanti, masyarakat di China sudah dibenarkan ke pawagam.

“Mereka pasti akan penuhi panggung wayang kerana dahagakan hiburan.

“Itu kerana sekatan pergerakan yang mengakibatkan kandungan digital kini kurang dihasilkan di China. Jadi ini adalah peluang yang baik untuk pembikin luar memasarkan filem di negara tersebut,” katanya.

Tambah Aron, pihaknya lega apabila lesen untuk menjalankan penggambaran untuk filem tersebut telah diluluskan pihak berwajib.

Katanya, kelulusan tersebut membolehkan mereka merancang tempoh untuk menyiapkan filem berkenaan.

“Kami rancang untuk siapkan filem ini lebih awal sebelum kerajaan negara itu mengubah polisi, melonggarkan kawalan pergerakan sekali gus membenarkan masyarakatnya menonton wayang di pawagam,” ujarnya.

Sementara itu, kata Aron dia mengenal pasti minat masyarakat China terhadap kandungan digital, seperti filem yang datang dari negara rantau Asia Tenggara yang unik dan menarik.

“Populasi di China cukup besar, tambahan pula ramai dalam kalangan rakyatnya yang masih belum pernah ke luar negara.

“Saya pasti mereka dapat melihat keistimewaan filem ini menerusi pemandangan, budaya dan masyarakat di Malaysia yang akan dipertontonkan kepada mereka nanti.

“Orang China sangat berminat dengan negara Asean, lebih-lebih lagi ideologi cerita seram yang datang dari rantau ini. Elemen hantu, sihir dan ilmu hitam menarik minat mereka untuk menonton filem seram kita,” ujarnya.

Aron juga yakin filem ini nanti dapat mengulangi kejayaan filem seram tempatan, Haunted Hotel yang berjaya merekodkan jumlah kutipan memberangsangkan di China iaitu sebanyak RM8 juta ketika ia ditayangkan pada 2017.

Bagaimanapun, katanya, ada cabaran dan pengorbanan yang perlu dipertaruhkan sebelum filem itu ditayangkan nanti.

“Bukan senang untuk tembusi pasaran China. Polisi mereka sangat berbeza. Walaupun mereka bertutur bahasa Mandarin, namun idea dan pemikiran mereka sangat berbeza.

“Kita tidak boleh menggunakan sisi pandang sebagai orang Malaysia untuk mendekati penonton China. Kena tumpukan kepada kehendak dan keperluan mereka. Disebabkan itu kami melantik rakan strategik yang memberikan input yang kami perlukan untuk membawa filem ini ke sana.

“Selain itu, terlalu banyak proses yang perlu kami lalui. Pada peringkat ini, lesen untuk penggambaran telah pun diluluskan. Kemudian, selepas filem ini siap dihasilkan nanti, kami perlu menyerahkannya kepada pihak berwajib di sana untuk mereka nilai sebelum membenarkan penayangan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN