Cari jalan bahagiakan isteri - Utusan Malaysia

Cari jalan bahagiakan isteri

SUAMI harus keluar daripada fahaman tipikal ‘isteri perlu buat segala-galanya’. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WUJUD segelintir suami hanya fikir diri mereka sahaja. Aku suami, akulah raja walhal tanggapan itu salah.

Suami yang bersikap serah bulat-bulat hal rumah tangga kepada isteri sedangkan dia boleh keluar melepak dengan rakan, memancing, menonton bola kemudian pulang ke rumah untuk makan dan goyang kaki sahaja adalah ketua keluarga yang sangat tidak bertanggungjawab.

Menurut Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustaz Mohd. Radhi Abdul Ghani, seorang suami harus keluar daripada fahaman tipikal ‘isteri perlu buat segala-galanya’ kerana ia tidak betul sama sekali.

“Dunia hari ini isteri juga keluar bekerja mencari nafkah bersama-sama, membantu suami menyokong keluarga sendiri. Nafkah itu adalah kewajipan suami, tapi dek kerana desakan atau keadaan yang terpaksa isteri itu keluar bekerja.

“Jadi, seorang suami perlu keluar juga daripada kepompong kerja-kerja mutlak isteri yang mana di sinilah suami perlu ada sikap dan tanggungjawab untuk bersama-sama membantu isteri dalam pengurusan dalaman rumah tangga dan membuat yang terbaik untuk isterinya,” katanya kepada Seri.

BAHAGIAKAN ISTERI
Mohd. Radhi yang juga Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya berkata, jika suami sedaya-upaya penuhi kebahagiaan isteri dan bertanggungjawab, percayalah isteri juga tidak akan mengeluh atau mengungkit-ungkit dalam melakukan kerja rumah.

“Segala-galanya sangat berkait rapat dengan peranan suami. Mereka perlu mempunyai sikap dan sentiasa cari jalan untuk membahagiakan isteri.

“Sebab itu, saya suka beri peringatan kepada suami. Jangan jadikan isteri umpama seekor burung yang dikurung dalam sangkar. Jangan sesekali ada sikap sedemikian. Isteri kita adalah insan yang punyai hati, perasaan dan emosi.

“Jika kita merupakan seorang suami berkualiti yang benar-benar mengikut apa yang dikehendaki Rasulullah SAW iaitu membahagiakan isteri, maka suami carilah jalan untuk memberi kebahagiaan kepada isteri. Bak kata orang sekarang ini ‘beli jiwa isteri’ jangan fikir hal kita sahaja,” katanya.

Tegasnya, ketua keluarga perlu proaktif dalam membina kesefahaman, kesepaduan, toleransi dalam rumah tangga yang disuburkan dengan sifat ihsan di antara satu sama lain untuk beroleh kebaikan dalam rumah tangga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×