“Cikgu, anak saya hendak buat apa selepas ini?. Tolong saya cikgu, carikan dia kerja.”
Kata-kata yang dilontarkan oleh ibu kepada murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) yang baru sahaja menamatkan pengajian itu membuatkan gurunya, Dr. Shyielathy Arumugam terkedu.
Mana tidaknya, anak istimewa itu adalah salah seorang pelajar yang berada dalam kategori kefungsian paling rendah serta mempunyai keterbatasan dalam pergerakan fizikal, komunikasi, bahasa, interaksi sosial dan kognitif.
Jadi, agak mustahil buat remaja berusia 19 tahun itu untuk mendapat tawaran bekerja di mana-mana syarikat.
Namun, Guru Pendidikan Khas itu tahu dia perlu melakukan sesuatu untuk menjadikan keadaan lebih baik.
“Di Malaysia, peluang pekerjaan untuk orang kurang upaya dilihat sebagai satu tindakan kebajikan dan sering distereotaipkan ke dalam kes kebajikan.
“Umumnya, orang kurang upaya dianggap kurang produktif. Walaupun kita mempunyai banyak pusat latihan Vokasional tetapi MBPK kefungsian rendah kurang berpeluang untuk menyertai institusi tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambahnya, sekali pun mereka mendapat peluang penempatan di mana-mana pusat latihan vokasional, malangnya tidak semua dapat bekerja sepenuh masa selepas latihan.
Ia bergantung kepada tahap kelewatan perkembangan mereka dan kesan ketidakupayaan mereka dalam kehidupan seharian.
“Daripada mengharapkan MBPK kefungsian rendah ini ke dalam pekerjaan sepenuh masa dengan mengetahui cabaran dan had mereka, apa kata kita mencipta peluang pekerjaan berdasarkan kekuatan mereka.
“Saya percaya idea ini akan membantu pelajar menguasai kemahiran berkaitan kerja yang sesuai dengan kemampuan mereka, mengasaskan rancangan perniagaan sendiri dan membentuk minda keusahawanan,” kongsinya lagi.
Rentetan itu, timbul kesungguhan dalam hatinya untuk mewujudkan satu inovasi yang mampu mencipta peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Inovasi dijenamakan sebagai Pedagogi Keusahawanan itu, merupakan satu kerangka konsep yang diwujudkan khusus bagi MBPK daripada kategori kefungsian rendah dalam Program Pendidikan Khas SMK Datuk Haji Abdul Wahab (SMKDHAW).
Pedagogi keusahawanan seumpama satu payung besar, menaungi aktiviti keusahawanan bersifat industri rumah atau industri kecil.
Di bawah payung besar pedagogi keusahawanan itu, tiga projek inovasi bersifatkan keusahawanan industri rumah turut diperkenalkan.
“Objektif utama pedagogi keusahawanan adalah untuk menerapkan kemahiran keusahawanan industri rumah untuk MBPK yang tidak mampu bekerja di mana-mana organisasi luar.
“Ia juga bertujuan untuk memupuk minat dan semangat keusahawanan dalam kalangan murid-murid berkeperluan khas kefungsian rendah,” jelasnya.
Projek bermula sejak September 2019 itu telah memperkenalkan empat projek secara berperingkat iaitu penanaman taugeh, penghasilan sabun pencuci pinggan mangkuk, servis cuci-cuci dobi dan penerbitan buku cerita kanak-kanak melibatkan seramai 30 orang murid.
Bagi projek penanaman taugeh, ia diusahakan dengan sistem siraman automatik, manakala terdapat empat produk pencuci organik dihasilkan MBPK kefungsian rendah di stesen formula botania.
Tambah Dr. Shyielathy, projek berkenaan dilaksanakan dalam lima fasa bermula bimbingan hinggalah ke pembinaan Toolkit Entrepreneurship Pedagogy sebagai alat untuk menyebarkan dengan lebih luas kerangka konsep berkenaan kepada guru dan ibu bapa di sekolah lain.
Dr. Shyielathy merupakan 10 guru Finalis tersenarai dalam pertandingan Malaysia Teacher Prize yang mempertandingkan inovasi hebat ciptaan guru-guru di negara ini.
Kesan positif
Projek dijalankan selama hampir tiga tahun itu menunjukkan perkembangan positif dalam memberikan nilai tambah kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas itu.
“Memandangkan pedagogi keusahawanan ini sudah lama dilaksanakan di SMKDHAW, kita dapat menilai keberkesanan dan potensi projek ini untuk berkembang.
“Antaranya kebaikan projek untuk masa depan pelajar, di mana ia dapat membimbing murid menjadi seorang usahawan dan berdikari apabila tamat persekolahan.
“Selain itu, projek ini dapat melatih murid dalam berkomunikasi dan mendisiplinkan diri dalam aspek pengurusan masa serta bertanggungjawab,” katanya.
Tambahan pula, projek berkenaan turut mempunyai nilai komersial tersendiri.
Produk dihasilkan pelajar akan dapat memberi saingan kepada pengeluar taugeh, sabun dan buku cerita yang lain berdasarkan proses pengeluaran dan pemasaran secara digital.
Ia turut membantu dalam pemahaman pelajar terhadap bidang keusahawanan.
“Pelajar dengan pelbagai ketidakupayaan akan memahami proses menjadi seorang usahawan berjaya, bertunjangkan sikap bertanggungjawab, berusaha gigih tanpa mengenal putus asa serta disiplin diri,” katanya.
Pelengkap silibus
Paling utama kata Dr. Shyielathy projek diinovasikan itu mampu menjadi pelengkap untuk silibus subjek kemahiran pendidikan khas kefungsian rendah.
“Jika kita kaji balik, silibus subjek kemahiran kefungsian rendah ada enam unit di mana penekanan adalah lebih kepada aspek menyediakan murid untuk bekerja di lapangan. Tetapi adakah semua murid kita mampu bekerja dengan orang atau di lapangan?
“Kebanyakannya tidak. Setelah mengenalpasti kekangan ini saya perkenalkan pedagogi keusahawanan sebagai pelengkap kepada silibus yang sedia ada,” jelasnya lagi.
Kongsinya lagi, pedagogi keusahawanan satu inisiatif diusahakan bertujuan membuka jalan ke arah perniagaan industri rumah dan kaedah pemasaran digital untuk murid-murid berkeperluan pendidikan khas daripada kategori kefungsian rendah.
“Matlamat saya membimbing pelajar membentuk model perniagaan sendiri bersifatkan industri rumah dengan sokongan ibu bapa setelah mereka tamat sekolah,” katanya.










