Lawan kebimbangan melampau - Utusan Malaysia

Lawan kebimbangan melampau

Miss Universe Malaysia 2022, Lesley Cheam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dek kerisauan melampau tentang teguran dan cacian netizen dalam media sosial, dia hampir tidak dapat mengawal kesihatan mentalnya.

Miss Universe Malaysia 2022, Lesley Cheam, mengakui lontaran komen netizen menyebabkannya mengalami gejala berdebar-debar yang amat teruk.

“Saya sangkakan itu hanya mainan perasaan, namun rasa itu lama kelamaan semakin kuat. Ada masanya kerisauan itu memuncak hingga saya tak boleh buat apa-apa.

“Ada ketikanya bila keluar rumah, sampai sahaja di lokasi saya tujui, saya tak mampu melangkah keluar dari kereta. Jantung berdegup rasa macam hendak putus nyawa. Ingatkan sakit jantung, tapi bila buat pemeriksaan, segala-galanya normal,” katanya berkongsi pengalaman berdepan buli siber dalam sesi fotografi di studio Media Mulia baru-baru ini.

Susulan itu, doktor merujuk kesnya kepada pakar psikiatri, namun keputusan menunjukkan Lesley berdepan simptom kebimbangan melampau.

“Manusia tidak dapat lari daripada melalui perasaan bimbang, namun kalau ia keterlaluan, ia bukan lagi sesuatu yang normal,” katanya.

Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2018 mendedahkan, tiga daripada 10 dewasa berusia lebih 16 tahun menderita pelbagai isu kesihatan mental dan ia menjadi masalah kedua terbesar rakyat Malaysia menjelang 2025 selepas penyakit jantung.

Masalah mental itu termasuklah kebimbangan melampau (anxiety), kemurungan (depress) dan ketegangan jiwa (stress).

Lesley berkata, apa yang membuatnya mengangkat isu gangguan kebimbangan ialah apabila dia menyertai kumpulan Facebook Gerd And Anxiety.

“Di situ saya lihat ramai orang mengalami masalah lebih teruk daripada saya seperti tak tidur berhari-hari dan terpaksa berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Konflik dan gangguan kebimbangan ini orang luar tak nampak. Ramai yang bergelut dengan diri sendiri. Sekarang saya akan abaikan komen negatif dan tidak layan sebarang komen yang akan membuatkan fikiran saya terganggu,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan apabila kes buli siber semakin berleluasa dan seolah-olah tiada penghujungnya.

“Pembuli siber memberi komen di laman sosial dengan kata-kata kesat, berkongsi dan menyebarkan maklumat dengan tujuan mahu memalukan mangsa. Mereka menulis dan berkongsi apa sahaja di ruang siber tanpa memikirkan perasaan orang lain,” ujarnya.

Jangan takut suarakan pendapat
Ujar Lesley, pemahaman masyarakat mengenai isu buli siber juga tidak jelas, sedangkan tindakan mengecam orang lain juga boleh dianggap sebagai buli siber.

“Pembulian juga akan sentiasa berulang kerana apa yang dibuat itu akan kekal di internet, sekali gus menyebabkan mangsa tertekan daripada segi emosi, fizikal mahupun mental.

“Walaupun segelintir melihat buli siber sebagai isu kecil, tetapi saya percaya ia boleh menjadi besar sekiranya tidak dibendung dari sekarang. Sekiranya anda berdepan dengan situasi ini atau tahu ia berlaku kepada orang yang anda kenal, jangan takut untuk menyuarakan pendapat anda dan beri pertolongan.

“Saya percaya kita dapat mengubah dunia maya menjadi tempat semua orang dihormati dan dilayan dengan baik jika kita saling bekerjasama. Buli siber boleh membunuh secara senyap. Oleh itu, setiap orang haruslah menjaga adab dalam berkarya atau menyebarkan sesuatu perkara agar ia tidak menyakiti hati orang lain,” katanya yang turut berharap kempen kesedaran buli siber dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan dalam melindungi mangsa.

Bersedia berentap ke Miss Universe 2022
Lulusan farmaseutikal dan sains kesihatan ini, menewaskan 12 peserta lain dalam pertandingan Miss Universe Malaysia 2022 berlangsung di sebuah hotel di Bukit Kiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kemenangan itu melayakkan dirinya melangkah ke pertandingan Miss Universe 2022, dijadualkan berlangsung di New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat, 14 Januari tahun depan.

Sebagai langkah persediaan beliau kini dalam proses memperbaiki kemahiran komunikasi dan cat walk atas pentas peragaan.

Baginya, perjuangan ke sana tidak sekadar memenuhi matlamat pertandingan ratu, sebaliknya mahu membawa kebaikan kepada masyarakat dunia dalam memperjuangkan isu buli siber agar perkara negatif ini tidak berakar umbi dalam kalangan masyarakat dunia.

Mengulas mengenai pembabitannya dalam pertandingan itu, katanya ia bermula apabila pada tahun 2021 Miss Universe Malaysia 2022 dibuka untuk penyertaan.

“Keluarga merupakan penyokong utama saya. Mereka meminta saya fokus pada diri sendiri dan persiapan pertandingan sahaja,” katanya mengimbau kenangan.

Siapa sangka percubaannya itu membawa kejayaan hingga ke peringkat akhir.

Begitupun laluan kemenangan bukanlah mudah, namun beliau akui bila diselepangkan ratu, dia hilang kata-kata kerana terlalu gembira.

“Kemenangan itu merupakan pencapaian terbaik dan paling manis sepanjang hidup saya,” katanya.

Beliau menasihatkan wanita yang ingin menyertai pertandingan ratu cantik untuk melakukan persiapan diri kerana pertandingan ratu bukan hanya tentang kecantikan dan glamor.

“Ia adalah mengenai kerja keras, pengorbanan dan dedikasi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×