FILEM genre aksi seni bela diri sebenarnya memiliki kelompok peminat tersendiri dalam kalangan penonton. Lihat sahaja penangan filem pecah panggung seperti Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang menyuntik minat, sekali gus mengangkat seni silat Melayu, terutama dalam kalangan generasi muda.
Tidak mahu terkecuali, filem Siku 12: Langkah Derhaka arahan Azhari Zain turut menekankan aksi seni bela diri. Bezanya, pengarah cenderung memperkenalkan seni mempertahankan diri, Muay Thai yang begitu terkenal di Thailand dengan rencah campuran seni silat Melayu.
Menggandingkan dua pelakon popular, Syafiq Kyle dan Zahiril Adzim, dari kaca mata penonton, mereka berupaya menyuntik kekuatan untuk menarik khalayak menikmati naskhah terbitan Power Team Entertainment ini.
Penerbitnya, Mohd. Hafiz Mohd. Nafiah berkata, filem ini menyuntik kelainan dalam memperkenalkan seni bela diri itu apabila masih ramai belum jelas kewujudan ‘rahsia dan ilmu seni Siku 12’ tersebut.
“Ia adalah ilmu seni silat tua Melayu permainan 12 yang jarang diketengahkan naskhah sebelum ini. Penggambaran filem ini bermula pada Oktober 2019 selama 14 hari, namun hanya siap sepenuhnya pada tahun ini. Ia membabitkan lokasi penggambaran di Pendang dan Alor Setar, Kedah.
“Banyak proses dilalui sebelum filem ini mendapat kelulusan untuk tayangan di pawagam.
“Alhamdulillah, selepas mendapat maklum balas positif, saya dan penerbit kembali bersemangat untuk membawa filem ini ke pawagam,” katanya.
Hafiz bagaimanapun, berharap khalayak tidak membandingkan Siku 12 dengan Mat Kilau yang menelan belanja RM8 juta.
Katanya, Siku 12 diterbitkan dengan kos hanya RM1.2 juta, namun tetap memiliki kekuatan tersendiri apabila menonjolkan kehebatan persilatan Melayu dan Muay Thai sebagai tarikan utama.
Hafiz berkata, pada asalnya filem itu diterbitkan untuk tayangan Astro First pada penghujung 2019. Namun, atas beberapa faktor, termasuk peningkatan kos, penggambarannya hanya dapat dimulakan pada 2021.
Justeru kata Hafiz, banyak aspek perlu diperbaiki untuk memastikan kualiti filem itu sesuai untuk tayangan pawagam.
“Kami mengambil sedikit masa untuk memulakan penggambaran kerana perlu melakukan kajian mendalam mengenai seni silat siku 12, selain mencari barisan pelakon yang benar-benar sesuai dan boleh bersilat.
“Bagi menampakkan suasana sebenar pertarungan, ratusan pelakon tambahan digunakan, selain penampilan istimewa 20 penari menora dari Persatuan Menora Kedah dan Manora Kham Kampung Kalai,” ujarnya.
IKHLAS BERKARYA
Hafiz berkata, dia turut berdepan cabaran apabila mengambil alih projek filem tu pada saat akhir.
“Saya bersetuju mengambil alih projek daripada produser, Mohamad Pozi Mansor kerana percaya filem ini mempunyai potensi besar dan berpeluang untuk diangkat ke peringkat antarabangsa.
“Alhamdulillah, selepas melihat maklum balas positif semua pihak terbabit, saya dan produser kembali bersemangat untuk membawa filem ini ke pawagam,” katanya.
Ditanya soal sasaran kutipan, Hafiz berkata, dia menyerahkan kepada ketentuan Allah. Baginya, dia dan keseluruhan pasukan produksi sudah bekerja keras serta berusaha memberikan sentuhan terbaik untuk filem tersebut.
“Kami berkarya ikhlas dari hati dan selebihnya kami serahkan pada penilaian penonton. Selain kekuatan jalan cerita, momentum selepas kejayaan luar biasa Mat Kilau diharap memberi tempias kepada filem ini untuk mendapat tempat di hati penonton,” katanya.
Siku 12: Langkah Derhaka bakal ditayangkan di 66 pawagam seluruh Malaysia bermula 27 Oktober lalu. Filem yang dibarisi Moon, Lobak, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar, Pon Muay Thai, Anas Mentor,
Shahmiey Odd, Pak Salleh, Chiang, Azman Ahmad dan Bai Cho ini turut ditayangkan serentak di tujuh pawagam di Singapura dan satu pawagam di Brunei Darussalam.
SINOPSIS
Sahabat baik, Atid (Syafiq) dan A Wut (Zahiril) yang berketurunan Siam serta tinggal di Kampung Siam, Pendang, Kedah.
Mereka sangat meminati seni mempertahankan diri Muay Thai. Malah, setiap tahun, pertandingan dianjurkan secara terbuka kepada peninju dari Thailand.
Bapa Atid, Ayah Man, pernah belajar ilmu persilatan Seni Silat Tua Melayu Permainan Siku 12 dengan Tuan Guru Haji Zainal. Ketika dia bersama sahabatnya, Harun berlawan dengan beberapa perompak, Ayah Man secara tidak sengaja tertikam salah seorang daripada mereka.
Harun menyuruh Ayah Man melarikan diri ke kampung isterinya di Pattani. Disebabkan peristiwa itu, Harun berkorban dan meninggal dunia dalam penjara. Apabila isterinya meninggal dunia, Ayah Man berpindah ke Pendang bersama Atid dan hidup sederhana sebagai petani dan tukang kayu.
Atid dapat melihat ketangkasan bapanya bersilat sehingga dapat menumbangkan lintah darat di kampung. Ia membuatkan Atid ingin mengetahui jurus persilatan digunakan. Atid beria-ia mahu bapanya mengajar jurus persilatan, biarpun Ayah Man cuba mengelak dan merahsiakan ilmu persilatan Siku 12 akibat sejarah hitam bersama Harun.
Atas desakan Atid, Ayah Man bersetuju menurunkan ilmu persilatan Siku 12, jurus yang dapat menjatuhkan musuh sekelip mata iaitu Langkah Derhaka dalam masa sehari.
Namun, Atid tidak menyangka sahabatnya, A-Wut mengkhianatinya apabila mendengar Ayah Man menurunkan ilmu persilatan. Dia menganggap Atid mementingkan diri kerana mempelajari ilmu itu tanpa pengetahuannya.










