JIKA sebelum ini memikul senjata dan bermandi peluh ketika latihan boleh dikatakan menjadi rutin harian, kini segalanya berubah sebaik sahaja bermula transisi daripada anggota tentera kepada orang awam.
Bagaimanapun, di sebalik perubahan tersebut, rata-rata pesara tentera menyifatkan segala latihan dan pengalaman ketika berkhidmat dahulu masih bermanfaat.
Malah kudrat dan sumbangan mereka yang sebelum ini lebih tertumpu menjaga pertahanan negara sebaliknya kini bertukar kepada aspek lain antaranya bidang pertanian.
Paling membanggakan, kejayaan mereka dalam bidang pertanian semakin menyerlah dan berjaya mendatangkan hasil sama ada pendapatan mahupun tanaman.
Ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan isu keterjaminan makanan yang sebelum ini menimbulkan kebimbangan disebabkan pelbagai faktor.
Bagi seorang pesara tentera, Muhamad Azrul Mohd. Ziman, 39, dia sedikit pun tidak kekok untuk menjadikan aktiviti pertanian sebagai kerjaya kedua walaupun boleh dikatakan baharu sahaja berjinak-jinak dalam dunia pertanian.
Menurutnya, ini kerana latihan yang diberikan sewaktu program Latihan Peralihan bersama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) banyak membantu terutama dalam aspek penyediaan ilmu.
“Memilih untuk berkursus di PERHEBAT membuka mata saya bagaimana untuk menentukan hala tuju selepas bersara terutama apabila memperkatakan kerjaya kedua untuk anggota tentera yang menamatkan perkhidmatan di kala usia muda.
“Apa yang paling penting kita tahu apa yang kita mahu dan bukan sekadar mengikut kawan-kawan. Sebab itu, saya sendiri memilih bidang pertanian ini. Paling terharu banyak ilmu yang saya peroleh dengan mengikuti kursus di PERHEBAT dan Jabatan Pertanian,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Muhamad Azrul yang menjawat jawatan Pegawai Waran II sebelum bersara, pernah berkhidmat selama 21 tahun dalam Kor Perkhidmatan Am (KPA).
Dia dalam masa sama, menyifatkan bantuan tenaga pengajar daripada PERHEBAT dan Jabatan Pertanian sama ada membabitkan aspek teori dan praktikal banyak membantunya mengenal pasti setiap keperluan yang amat dituntut dalam bidang pertanian.
Beliau kini mengusahakan tanaman terung bersama rakannya, Mohd. Fikry Yusoff yang mula dikenalinya semasa mengikuti kursus asas perajurit muda di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda).
Menurut Mohd. Fikry yang sebelum ini berkhidmat dalam Kor Kesihatan Diraja (KKD), dia menyifatkan kursus disediakan PERHEBAT berjaya menjadi pelengkap untuknya menceburkan diri dalam kerjaya kedua terutama membabitkan bidang pertanian.
“Pengajar di kedua-dua agensi ini mempunyai banyak ilmu dan pengalaman. Mereka turut membantu cara memasarkan produk di pelbagai platform.
“Malah saya juga boleh merujuk kepada Jabatan Pertanian dan menggunakan beberapa kemudahan termasuk tapak pertanian sementara hasil kerjasama PERHEBAT,” katanya.
Kedua-dua rakan baik ini dalam masa sama berjaya mempraktikkan inovasi baharu dalam bidang pertanian menerusi tanaman hidroponik.
Dalam pada itu, bagi Nor Azman Mohd. Nordin yang merupakan veteran anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dia kini boleh berbangga apabila berjaya memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM5,000 sehingga RM10,000 sebulan menerusi penanaman rumput napier.

Dia yang mengusahakan tanah seluas 20 ekar kini berbangga dan gembira selepas mengikuti kursus Usahawan PKS Agrotani anjuran PERHEBAT.
“Walaupun bidang saya dalam TLDM sebelum ini jauh berbeza dan membabitkan kejuruteraan, saya tidak kekok dan nekad untuk mempelajari perkara baharu menerusi kursus di PERHEBAT.
“Perlu diingat tanaman rumput napier bukan sekadar tanam dan jual. Tapi perlu ada ilmu untuk dikongsikan bersama pembeli selain ilmu dalam aspek pemasaran,” jelasnya yang berkhidmat dalam unit udara TLDM.
Sementara itu, Timbalan Ketua Sektor Latihan, Kemahiran dan Keusahawanan PERHEBAT, Nor Hayati Yahya berkata, enrolmen bagi kursus Usahawan PKS Agrotani yang diadakan sebanyak empat kali setahun.
Katanya, sehingga tahun lepas sebanyak 216 peserta berjaya mengikuti kursus yang diadakan sejak 2019 ini.

menunjukkan hasil tanaman.
“Apa yang kita harapkan, dengan adanya kursus bidang pertanian ini sedikit sebanyak dapat membantu persediaan ke arah menjamin keselamatan makanan di negara ini.
“Apa yang paling penting, bukan sekadar kursus pertanian, tapi segala kursus yang disediakan dapat membantu pesara tentera untuk memilih kerjaya kedua nanti,” ujarnya.
Kurikulum Latihan Peralihan PERHEBAT bukan sahaja meliputi ilmu pengetahuan bidang teknikal, vokasional dan keusahawanan semata-mata malah pelatih dibekalkan dengan kemahiran insaniah yang berteraskan kemahiran sosial. Bakal Pesara yang mengikuti Latihan Peralihan di PERHEBAT turut dilatih untuk menyumbang kepakaran mereka dalam pelbagai bidang menerusi program kerjasama tentera dan awam (CIMIC).
Antara aktiviti yang dilaksana seperti gotong-royong kediaman mangsa banjir di Hulu Langat, kerja baikpulih, naik taraf dan pembersihan di 10 buah surau dan sebuah sekolah agama di Pahang dan Johor.
Selain menyumbang kepakaran mereka, Bakal Pesara dan Veteran ATM dapat menyantuni komuniti yang memerlukan bantuan daripada pelbagai aspek. Program seperti ini secara langsung dapat menyumbang kepada kesejahteraan rakyat terutamanya dalam mendidik nilai-nilai moral dengan membudaya dan menyemarakkan lagi semangat kesukarelawanan.










