Benarkah ketika dalam keadaan koma, jasad terkujur di atas katil tetapi roh melayang dan merayau ke alam antara hidup dan mati?
Pelbagai kisah dialami individu yang pernah melalui fasa koma atau ditidurkan kesan daripada penyakit Covid-19 dan penyakit-penyakit lain. Antara separuh sedar dan tidak sedar sepenuhnya, mereka dapat merasakan ‘mimpi’ dialami bagaikan satu realiti.
Ada yang sukar melupakan detik dilalui sepanjang koma yang seakan begitu nyata walaupun hakikatnya tubuh berada di atas katil dengan wayar berselirat sedangkan roh sudah menerawang ke alam lain.
Juliza Ibrahim,36, ditidurkan selepas dijangkiti Covid-19 tahap lima pada 27 Julai 2021 sehingga pertengahan Ogos 2021. Berkongsi kisah dengan Utusan Malaysia, beliau merasakan dirinya berada di dalam sebuah kapal laut yang sedang menuju ke sebuah negara Arab.
Beliau bagaimanapun, tidak pasti bagaimana boleh berada di dalam kapal berkenaan.
“Apa yang saya ingat, saya dalam keadaan sakit, terbaring dan diikat kaki serta tangan. Sepanjang dalam kapal itu, saya ditahan oleh pihak berkuasa kapal kerana tidak mempunyai sebarang maklumat atau dokumen seperti pasport.
“Disebabkan kesalahan saya itu, saya diseksa dengan tidak memberikan pertolongan walaupun mereka tahu saya berada dalam kesakitan dan terpaksa menahan lapar kerana tidak diberi makan serta minum,” katanya.
Ibu kepada anak kembar berusia 12 tahun dan bongsu berusia tujuh tahun ini, disedarkan pertengahan Ogos 2021 tetapi hanya untuk beberapa jam dan ditidurkan kembali selama tiga hari.
Virus Covid-19 menyerang organ dalaman hingga membuatkan oksigennya jatuh ke tahap 40 dan terpaksa ditidurkan selama lebih tiga minggu. Sepanjang masa koma itu, Juliza berasakan berada di dalam kapal layar berkenaan.
“Saya bernasib baik sebab ada sekeluarga dari Malaysia yang turut sama berada dalam kapal berkenaan. Jadi, merekalah yang membantu saya yang dalam keadaan sakit dan tolong menghubungi ahli keluarga saya untuk menyelesaikan masalah saya.
“Setelah beberapa hari, barulah bantuan keselamatan dari pihak keluarga dan pihak berkenaan tiba dan membawa saya pulang ke Malaysia. Kepulangan saya disambut dengan meriah sekali oleh pihak keluarga, rakan-rakan dan jiran-jiran serta penduduk sekitar perumahan saya. Ketika itulah saya tersedar,” katanya.
Juliza berkata, sebaik tersedar, dia merasakan seperti baru bangun dari tidur dan mimpi yang panjang tetapi masih dapat merasakan seperti berada di dalam hospital yang berada di atas kapal laut. Dia cuba bangun tetapi tidak boleh, ditambah dengan kaki dan tangannya diikat oleh pihak hospital.
Seluruh keluarganya sangat bersyukur khususnya suaminya, Muhamad Aslam Abdullah,45, serta anak-anak mereka sebaik sahaja Juliza kembali tersedar.
“Ia adalah keajaiban yang berlaku ke atas diri saya kerana diberi peluang untuk hidup sekali lagi selepas menempuh dugaan hebat ini. Saya bersyukur kepada Allah SWT dan pada semua yang membantu saya dengan bersolat hajat, membaca Yassin dan tidak putus-putus mendoakan saya.
“Kejadian itu, menguatkan semangat saya untuk meneruskan kehidupan dengan menjadi seorang anak, ibu dan isteri yang lebih baik dan juga lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT,” katanya.
Berada di tempat gelap, merayu untuk terus hidup
Nordarlina Yusof, 37, berkata pengalaman sepanjang berada dalam koma pada 2009, cukup menakutkan dan sukar diungkap dengan kata-kata.
Beliau yang sudah berkahwin dua tahun lalu dan berasal dari Johor, berkata dia koma selama dua minggu selepas didapati positif akibat dijangkiti H1N1 ketika wabak berkenaan menular di Melaka ketika itu.
Mengimbau kembali situasi dialami sepanjang koma, Nordarlina berkata, dia mendapati dirinya berada dalam satu tempat yang sangat gelap. Biarpun cuba untuk mencari jalan keluar daripada tempat itu tetapi gagal.
“Keadaan saya kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan, mesin berselirat di seluruh badan tetapi saya tak rasa sakit pun. Saya memang rasa takut sangat sebab berasakan diri sudah mati.
“Saya cuba bangun tetapi tidak boleh sebab terasa badan begitu berat. Saya tidak boleh respons atau bercakap walaupun mendengar bunyi atau suara orang lain. Dalam hati, saya tertanya-tanya adalah saya sudah mati? Saya cuba zikir tetapi entah mengapa saya tidak ingat langsung surah-surah pendek. Padahal semua surah-surah itu saya hafal termasuk zikir,” katanya.
Nordarlina hanya mampu berdoa kepada Allah SWT supaya menghidupkan dirinya kerana ketika itu dia hanya mahu dihidupkan kembali. Malah ketika itu, dia berjanji kepada Allah untuk berbuat baik kepada semua manusia.
Banyak kali dia merayu kepada Allah untuk terus hidup. Ketika itu, tubuhnya berpusing-pusing di sekitar tempat gelap itu dan tidak tahu hendak ke mana. Dia tidak tahu macam mana hendak keluar daripada tempat itu.
“Saya dengar bunyi mesin, saya sedar diri saya diberikan suntikan tetapi saya tidak dapat beri tindakbalas. Suatu hari, tiba-tiba saya terdengar alunan zikir dan suara yang membaca surah-surah. Saya tidak pasti siapa yang baca atau dari mana ia datang. Mungkin jururawat atau waris pesakit lain buka radio.
“Secara automatik, saya teringat semula untuk membaca ayat-ayat itu. Sepanjang koma, saya berzikir dan berulang-ulang baca surah-surah pendek. Bila tersedar, saya terus duduk sehingga jururawat dan doktor pakar terus datang ke katil saya,” katanya.
Ujarnya, ramai tidak menyangka dirinya boleh sedar dari koma kerana dianggap sudah kritikal dan tidak mempunyai harapan lagi untuk hidup. Bagaimanapun, semuanya itu adalah kuasa Allah SWT dan mukjizat air zam-zam yang diberikan oleh keluarganya.
“Dua hari sebelum saya sedar dari koma, doktor panggil ahli keluarga untuk melihat saya buat kali terakhir. Kebetulan makcik saya baru balik umrah, dia minta jururawat suapkan air zam-zam ke dalam mulut saya dan lap seluruh muka saya.
“Bila sedar, saya terpinga-pinga dan tidak tahu bercakap. Seluruh ahli keluarga terkejut sebab mereka sudah membuat persediaan untuk terima jenazah saya sebab doktor sudah minta mereka reda dengan segala kemungkinan,” katanya.
Pengalaman berdepan maut mengajar Nordarlina untuk mengingatkan keluarga dan rakan supaya berbicara atau membacakan ayat atau zikir kepada orang yang sedang koma. Mereka tidak boleh bertindakbalas tetapi boleh mendengar apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Katanya H1N1 lebih menyakitkan berbanding Covid-19 kerana seluruh sendi terasa sangat sakit apabila bergerak, seakan ada pasir-pasir halus di dalamnya. Rasa ngilu mencengkam seluruh sendi tidak kira ketika duduk, baring malah ketika bernafas.
Tapi apa yang pelik, dia langsung tidak berasa sakit sepanjang berada di dunia koma. Bila sedar badan terus rasa sihat tetapi perlu dikuarantin selama tiga hari di wad biasa sebelum dibenarkan pulang ke rumah.
‘Peluang teruskan hidup dan baiki amalan’
Pendakwah, Ustazah Asni Mansor berkata, pengembaraan dalam dunia alam roh ketika koma bukan sesuatu yang mustahil dan ia harus terjadi.
“Berdasarkan dalil, apabila bercerita pasal alam roh, Rasullullah SAW pernah ditanya mengenai alam roh. Firman Allah, bila orang bertanya kepadamu wahai Muhammad tentang alam roh, katakanlah roh ini urusan Allah.
“Jadi, kita tidak boleh ulas panjang kerana alam roh ini urusan tuhan. Apapun kalau begini keadaannya (mengalami pengembaraan alam roh), ambillah iktibar bahawa setiap yang bernyawa itu pasti akan mati. Ambil pengajaran seolah Allah beri peluang untuk hidup dan perbaiki amalan kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Intensif, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Azarinah Izaham berkata, pesakit boleh mengalami mimpi ketika ditidurkan atau sedang berada dalam keadaan koma.
“Aktiviti otak mereka yang sedang koma seperti orang yang sedang tidur. Sekiranya ada yang membaca surah Yassin, telinga mereka masih menerima isyarat dan ia akan dihantar ke otak. Tindakbalas dari otak akan bergantung kepada tahap tidur pesakit yang mempunyai skala tahap tidur tertentu.
“Tahap tidur, ada yang bila kita panggil pesakit boleh buka mata dan boleh bertindak balas kepada rangsangan. Ada yang sampai tahap burst suppression yang berkemungkinan tiada tindakbalas,” katanya.
Katanya, terdapat banyak jenis ubat sedatif yang mempunyai ciri berbeza tetapi ciri yang sama, adalah pengurangan aktiviti gelombang otak yang banyak menyerupai keadaan tidur semulajadi non Rapid Eye Movement (non-REM), di mana pesakit tidak sedar, badan menjadi lumpuh, jantung dan pernafasan perlahan.










