Wanita lepas bersalin umumnya, mematuhi amalan berpantang mengikut bangsa dan budaya mereka.
Kebanyakan budaya percaya berlakunya perubahan dan ‘kerosakan’ kepada tubuh wanita ekoran daripada proses mengandung dan bersalin.
Dan ia perlu diperbetulkan semula menerusi amalan berpantang supaya tubuh dapat kembali kepada bentuk asal sebelum bersalin.
Ini termasuk proses pemulihan akibat kehilangan darah semasa bersalin, pengecutan rahim, keseimbangan hormon, ketegangan urat saraf semasa meneran dan kehilangan tenaga semasa proses bersalin.
Menurut pengasas Seri Spa, Seri Syamsidatul Safrun Mohd. Thani, tempoh berpantang dianggap sebagai masa bagi ibu merawat, menyucikan dan memulihkan tubuh selepas proses kehamilan dan bersalin.
Kunci utama berpantang ialah menjaga aspek pemakanan selain mendapatkan rehat secukupnya.
“Pantang-larang makanan selepas bersalin merupakan kepercayaan yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat yang mengaitkan sesuatu makanan dengan kemudarataan kepada ibu lepas bersalin.
“Ia harus dielakkan dalam satu tempoh yang dipanggil tempoh berpantang. Hampir semua masyarakat di Malaysia mempunyai kepercayaan pantang-larang masing-masing,” katanya.
Seri berkata, manfaat berpantang ialah memberikan kerehatan mental dan fisikal kepada tubuh ibu untuk tempoh tertentu sebelum tubuh kembali cergas selepas bersalin.
Mengenai wanita enggan berpantang, kata Seri berpantang bukanlah wajib tetapi wanita perlu pastikan tubuhnya berehat sekurang-kurangnya sebulan sebelum aktif seperti biasa.
“Bagi yang tidak mahu berpantang atau pilih cara moden seperti tidak makan berpantang, dalam tempoh sebulan selepas melahirkan bayi, tidak boleh buat apa-apa pun. Tunggu betul-betul sihat barulah bergerak aktif untuk bersenam.
“Saya lihat ada segelintir wanita, dua bulan selepas bersalin sudah ‘berzumba’. Itu tidak sepatutnya berlaku kerana untuk rahim betul-betul sihat mengambil masa setahun,” katanya.
Wanita dulu-dulu, amat menitik beratkan kesihatan dan tidak terburu-buru bergerak lincah.
Sebaliknya mereka mengamalkan mengambil sebiji telur ayam kampung yang dicampur dengan kunyit dan halia atau mengantikan telur dengan madu sebagai suplemen untuk mengembalikan sumber tenaga.
Dalam pada itu, Seri Spa turut menyediakan set menu tradisional seperti singgang ikan tenggiri, tumis lobak putih, sayur tumis bayam dan ayam masak limau.
Elak ikan berbisa
Menurut Seri, makanan berpantang umumnya terbahagi kepada karbohirat, protein, lemak, buah-buahan dan sayur-sayuran, tenusu dan bendalir. Diet dalam pantang tradisional menganggap buah-buahan seperti tembikai dan sayuran berdaun hijau dianggap sejuk atau ‘yin’ dan perlu dielakkan atau dipantangkan sepanjang tempoh berpantang atau sebahagian tempoh berpantang.
“Sebaliknya, halia, minyak bijan, alkohol, bawang putih, kunyit, serai dan bawang besar dianggap hangat atau ‘yang’ dan sangat digalakkan,” jelasnya yang turut melakukan penghantaran makanan pantang ibu bersalin ke rumah pelanggan.
Ilmu perbidanan Melayu menggalakkan memakan ikan segar, mengelakkan ikan yang berbisa seperti bawal hitam, terubuk, duri, pari, sembilang serta parang kerana takut menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.
“Ikan berbisa dikaitkan dengan punca gatal kulit dan menimbulkan reaksi alahan ialah kembung, tamban, cencaru dan makanan laut seperti udang, sotong, kerang dan lain-lain. Hanya haruan dan yu sahaja yang boleh dijamah.
“Ia dipercayai mampu memulihkan luka-luka dalaman dan luaran. Malah ikan yang hidup di dalam lumpur ini dikatakan tinggi khasiat mineral. Ikan yu pula dipercayai dapat memperbanyakkan susu ibu dan beberapa kajian saintifik turut mendapati perkara tersebut benar,” katanya.
Makanan Seimbang
Pegawai Dietetik KPJ Ipoh Specialist Hospital, Nur Arafah Abdul Wahab, berkata, ibu bersalin memerlukan nutrisi mencukupi untuk proses pemulihan selepas bersalin dan bersedia untuk menyusukan bayi.
“Antara asas kepada pemakanan yang sihat adalah pengambilan makanan secara seimbang, pelbagai dan bernutrisi. Ini boleh dicapai dengan mengikuti saranan daripada Piramid Makanan Malaysia dan Konsep Pinggan Sihat Malaysia iaitu Suku Suku Separuh untuk setiap kali waktu makan utama (sarapan, makan tengah hari dan makan malam). Sekiranya ibu menyusu anak secara ekslusif, maka kalori tambahan diperlukan. Selain itu, snek antara waktu makan utama boleh diambil,” katanya.
Tambah Nur Afarah, ibu digalakkan mengambil makanan bijirin penuh sebagai sumber karbohidrat seperti beras perang, roti bijirin penuh atau oat kerana tinggi kandungan serat dan memberi rasa kenyang lebih lama. Sumber protein seperti ikan, telur, kekacang, susu amat penting untuk proses pemulihan.
“Pilihlah bahagian ayam atau daging tanpa lemak dan produk tenusu yang rendah lemak. Cara masak kukus, rebus, bakar dan panggang adalah lebih baik untuk mengurangkan jumlah kalori. Pengambilan sayur dan buah juga amat penting sebagai sumber vitamin, mineral dan serat bagi mengelakkan sembelit,” katanya.
Selain itu, pengambilan makanan yang tinggi zat besi dan kalsium juga perlu diberi keutamaan. Sumber makanan yang kaya kandungan zat besi seperti daging, kekacang, sayuran hijau dan bijirin penuh boleh diambil bagi mengantikan kehilangan zat besi semasa bersalin dan mengelakkan masalah anemia.
“Produk tenusu, ikan sardin dan tuna, tauhu, susu soya, dan kekacang adalah antara makanan yang mempunyai tinggi kandungan kalsium dan boleh diambil bagi memenuhi keperluan kalsium semasa menyusukan bayi
“Ibu yang lepas bersalin juga dinasihatkan mengurangkan pengambilan minuman serta makanan manis kerana boleh meningkatkan risiko berat badan yang berlebihan. Pengambilan air kosong enam hingga lapan gelas sehari adalah digalakkan. Pengambilan minuman berkafein seperti kopi dan teh yang berlebihan boleh menghalang penyerapan sesetengah nutrisi oleh tubuh badan,” jelasnya.
Secara konklusinya, selain pemakanan yang seimbang dan sihat para ibu perlulah mempunyai rehat serta tidur yang cukup. Selain itu, amalan gaya hidup yang sihat seperti melakukan aktiviti fizikal serta bersenam mengikut kemampuan juga memberi impak yang positif terhadap fizikal dan emosi para ibu. Sokongan suami dan keluarga juga memainkan peranan penting semasa proses berpantang.










