BUKANLAH kek pandan jika tidak harum mewangi satu dapur. Bau pandan sahaja membuka selera penggemar pemanis mulut ini.
Yang jadi pemikat selera kek pandan ini juga sudah tentu warna hijau pandan itu sendiri. Paling disukai apabila kek pandan ini dilimpahi caramel atau gula Melaka yang pekat serta dinikmati dengan taburan kelapa parut kering di atasnya.
Rasa sebati kesemua bahan membuatkan ia lebih sedap, lain daripada lain.
Resipi Kek Pandan Gula Melaka di Seri kali ini dikongsikan oleh Pengasas dan Pemilik Mad About Cake, Cef Wan Noor Zamran Hashim. Jom cuba!
RESIPI KEK PANDAN GULA MELAKA
Bahan-bahan
125 gram (g) mentega
115 g gula pasir halus
2 biji telur
125 g tepung kek
7.5 g serbuk penaik
2.5 g baking soda
5 g pandan paste
100 g santan segar
1 titik pewarna hijau (ikut citarasa)
Sirap gula Melaka
Kelapa parut kering
Cara penyediaan
1) Masukkan mentega dan gula ke dalam mangkuk dan putar guna senduk kayu hingga kembang serta berubah warna menjadi cerah.
2) Masukkan telur satu persatu, kacau rata hingga bancuhan sebati.
3) Ayak tepung kek bersama serbuk penaik dan baking soda, kemudian masukkan sedikit demi sedikit ke dalam bancuhan telur dan mentega tadi.
4) Pada masa yang sama boleh juga masukkan santan segar dan pandan paste ke dalam bancuhan, kaedah yang disyorkan adalah selang selikan proses memasukkan tepung dan santan bagi memudahkan kerja membancuh.
5) Pastikan adunan digaul rata dan tidak ada lagi kesan tepung.
6) Apabila siap, tuangkan ke dalam cawan kertas. Setelah itu, boleh paipkan sirap gula Melaka yang dipekatkan ke dalam adunan cawan kertas.
7) Boleh juga tambahkan kelapa parut kering sebagai bahan tambahan.
8) Bakar pada suhu 160 darjah selcius kira-kira 20 hingga 25 minit.
9) Setelah siap dan sejuk paip di atas kek pandan dengan Cream Cheese Frosting, kemudian hiaskan dengan Sos Gula Melaka serta kelapa parut kering.
Bahan-bahan Sos Gula Melaka
250 g gula merah
100 g gula melaka
300 g air
50 g santan
Secubit garam
Tepung gandum secukupnya
Cara penyediaan
1) Masukkan semua bahan kecuali santan dan tepung.
2) Biarkan adunan mendidih dan gula larut sepenuhnya.
3) Kemudian masukkan santan bersama tepung untuk tujuan pemekatan.
4) Biarkan mendidih dan kacau hingga likat. Sejukkan sebelum digunakan.
Bahan Cream Cheese Frosting
250 g krim keju
65 g gula aising
10 g jus lemon
Cara penyediaan
1) Masukkan krim keju ke dalam mesin pemutar kek, pukul hingga tiada ketul.
2) Masukkan gula aising dan jus lemon, pukul rata.
3) Setelah siap masukkan ke dalam beg paiping dan hias atas kek pandan.










