Separuh daripada kes kanser yang dilaporkan di negara ini adalah kanser payudara, usus atau kolorektal dan paru-paru.
Lazimnya, kanser payudara paling kerap ditemui dan kebanyakannya berlaku dalam kalangan wanita saja manakala lelaki pula sering dikaitkan dengan risiko kanser usus, paru-paru, hidung dan hati. Jadi, ramai menganggap lelaki tidak mungkin mengalami kanser payudara.
Hakikatnya, kanser payudara bukan eksklusif untuk wanita saja kerana lelaki juga memiliki sejumlah kecil tisu payudara dan berisiko mengalami barah payudara walaupun purata risiko lebih rendah berbanding wanita.
Dianggarkan seorang bagi setiap 1,000 lelaki berdepan risiko barah payudara dan kurang satu peratus daripada semua kanser lain yang biasanya dialami lelaki.
Walaupun jarang berlaku, kemungkinan untuk mengalami barah payudara masih ada, dan kebanyakan lelaki yang mengalami barah ini hanya dikesan pada tahap lewat.
Ini disebabkan kebanyakan lelaki tidak menyedari mereka juga terdedah kepada risiko barah payudara lantas tidak menjalani saringan pemeriksaan barah payudara.
Perunding Residen Onkologi Aurelius Hospital Nilai, Dr. Jenson Sow Wen Jen, berkata, lebih berusia seorang lelaki, lebih tinggi risiko mengalami kanser payudara.
Katanya kerap kali ditemui kes kanser payudara dalam kalangan lelaki yang berusia lebih 60 tahun.
Bagaimanapun, ada juga kes lelaki muda yang didiagnos dengan kanser payudara.
“Risiko lebih tinggi sekiranya ada ahli keluarga rapat pernah mengalami kanser payudara dan golongan ini perlu menjalani saringan pemeriksaan payudara,” katanya.
Risiko barah payudara juga boleh meningkat akibat mutasi dalam gen tertentu seperti BRCA1 dan BRCA2.
Penggunaan ubat hormon terapi mengandungi estrogren dan digunakan untuk merawat kanser prostat dalam kalangan lelaki turut meningkatkan risiko barah, manakala kecederaan pada testikular atau pembedahan membabitkan organ itu, turut meningkatkan risiko barah payudara.
Pesakit mengalami masalah hati seperti sirosis juga berisiko mengalami barah payudara disebabkan tahap hormon androgen makin rendah dan peningkatan hormon estrogen. Terapi radiasi yang membabitkan kawasan dada juga boleh meningkatkan risiko barah payudara.
“Ada lelaki mengalami sindrom Klinefelter iaitu sejenis keadaan genetik yang jarang ditemui dimana lelaki memiliki lebihan kromosom X. Ini boleh menyebabkan peningkatan pengeluaran hormon estrogen dan merendahkan tahap androgen yang menyebabkan barah payudara,” katanya.
BUAT PEMERIKSAAN
Lelaki yang berisiko tinggi menjalani pemeriksaan saringan barah payudara untuk mengesan barah berkenaan lebih awal seterusnya menjalani rawatan dengan segera.
Dr. Jenson berkata, ini kerana bagi lelaki, kanser ini lebih cepat merebak ke organ lain kerana lelaki kurang tisu dalam payudara mereka.
“Ambil berat mengenai gejala ditunjukkan pada payudara mereka sama seperti semua jenis kanser. Lebih cepat ia dikesan, lebih mudah dikawal bagi menyekat sel kanser daripada merebak ke organ lain serta menyelamatkan nyawa pesakit.
“Gejala lain perlu diberi perhatian ialah bengkak pada kawasan payudara, jerawat pada kawasan payudara atau puting, puting payudara termasuk ke dalam, benjolan atau pengeluaran sebarang cecair yang kadang-kadang darah pada puting. Segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan dan rawatan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, tidak perlu panik, sebaiknya jalani pemeriksaan saringan kesihatan termasuk payudara sekurang-kurangnya sekali setahun kerana pencegahan lebih baik dan pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa.










