Kanser bukan penamat kehidupan - Utusan Malaysia

Kanser bukan penamat kehidupan

Kumpulan sokongan membantu pesakit meredakan tekanan dihadapi. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai berfikiran menghidap kanser boleh meragut nyawa dan membunuh. Namun, bagi Lena Abdullah, 60, yang diserang kanser limfoma bukan hodgkin kira-kira 12 tahun lalu menegaskan, kanser bukanlah membunuh.

Beliau yang juga Presiden Pink Unity, pernah hilang arah dan tidak boleh berfikir dengan rasional apabila disahkan kanser.

“Saya pernah lupa baju yang diletak (hilang) sampai ke hari ini disebabkan fikiran meracau sebab perkataan kanser.

“Saya percaya ramai yang beranggapan mendapat kanser akan mati. Itu bohong. Kita perlu tahu terdapat kategori dan tahap kanser. Apabila didiagnos kanser, sudah pasti kita akan menerima simptom terlebih dahulu. Bukanlah buka mata esok, terus dapat kanser tahap empat. Jika dapat tahu kanser, perlu terus dapatkan rawatan.

“Sebab itu, perlu adanya kumpulan sokongan atau tempat untuk pesakit kanser mendapatkan kaunseling dan nasihat. Doktor yang mendiagnos pesakit kanser perlu membawa mereka ke kumpulan sokongan yang dapat membantu pesakit dari segi sokongan emosi dan sosial,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau ditemui baru-baru ini pada majlis kerjasama Pinky Unity dengan Variante pada program Fashion Fight Cancer.

SOKONGAN UNTUK LAWAN KANSER
Tambah Lena, seramai 650 pejuang kanser (pelbagai kanser) di bawah Pink Unity dibantu untuk mendapatkan sokongan.

“Saya percaya pesakit dan pejuang kanser memerlukan tempat untuk mendapatkan sokongan, nasihat, berkongsi pengalaman dan sebagai rujukan.

“Ramai yang melawat pesakit kanser akan menggunakan kata-kata atau perkataan yang tidak betul dan menyinggung perasaan mereka seperti bertaubat. Sebab itu perlu ada tempat untuk mereka menerima sokongan.

“Jadi dengan pertubuhan Pink Unity ini, kami akan memberi nasihat dan bina keyakinan mereka,” katanya.

Pink Unity menyediakan aktiviti seperti kelas sembang, memasak, menyanyi, mengaji dan sebagainya untuk mereka berkongsi pandangan dan memotivasi diri masing-masing.

“Kita ada kumpulan sokongan untuk ahli keluarga juga. Kadang ahli keluarga akan terlebih bersedih dan menangis apabila mendapat tahu. Ada juga yang menyembunyikan penyakit. Biasanya, jika ada pesakit dan pejuang kanser datang ke sini bawa suami atau isteri dan anak jumpa saya, saya akan cakap kepada mereka untuk mengangguk sahaja kepada pesakit ini apabila mereka mengadu dan sebagainya.

“Ini kerana individu yang mendapat rawatan dia akan menjadi cranky, susah hati dan akan melakukan sesuatu yang tidak menyenangkan. Jadi, perlu fahami, menerima, tunjukkan sokongan dan beri masa kepada mereka. Apabila kita tahu pesakit moody ahli keluarga akan sedar dan tahu serta prepare apa yang perlu.

“Sokongan keluarga dan orang sekeliling untuk pesakit kanser amat penting kerana emosi memainkan peranan dalam pemulihan mereka untuk melawan kanser,” katanya.

Selain itu, Lena turut berkongsi pengalaman dalam kumpulan sokongan Pink Unity perubahan yang dialami pesakit kanser seperti kuku bertukar menjadi biru dan rambut gugur adalah normal.

“Sesetengah pesakit tidak dapat menerima perubahan diri namun apabila masing-masing dalam support group ini menunjukkan kesan sama secara tidak langsung mereka tidak berasa terasing. Jadi, tidak perlu tanya orang lain, cukup berkongsi dalam kumpulan senasib,” katanya.

Lena berkata, Pink Unity juga menubuhkan Pink Blossom untuk memberi motivasi kepada pesakit kanser yang baharu didiagnosa.

Pink Unity mempunyai pesakit dan pejuang kanser berusia awal 18 tahun sehingga 81 tahun.

Dilema pesakit kanser dapatkan rawatan
Bagi pejuang kanser Pink Unity, Noor Zailawati Sanudin, 43, yang mendapat kanser rahim tahap dua pada 2004 bersyukur dapat kesedaran awal mendapatkan rawatan dan menyertai kumpulan sokongan selepas dinasihatkan oleh seorang doktor yang merawatnya.

“Saya sertai Pink Unity pada 2017 sebab mereka semua senasib dengan saya dan lebih memahami perasaan pesakit kanser. Banyak manfaat apabila menyertai Pink Unity. Mereka banyak beri dorongan dan semangat untuk melawan kanser.

“Kami dapat berkongsi dalam sesi sharing heart to heart, selain pelbagai aktiviti dan program diadakan untuk pesakit kanser. Sokongan sosial dan emosi inilah yang banyak membantu memberi kekuatan kepada pesakit kanser,” katanya kebetulan menjalani ujian lumuran pap atau pap smear di salah satu kempen kesedaran kanser serviks dan daripada situlah mengesan ketumbuhan di kawasan rahim.

Noor Zailawati tidak dikurniakan anak dan memutuskan untuk membuang rahim pada 2006 meskipun baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama suami, Mohd. Azrani Abd. Rahim, 44, ketika itu.

“Siapa yang dapat terima apabila disahkan kanser rahim. Apatah lagi berharap untuk melahirkan zuriat sendiri. Namun saya bersyukur mempunyai suami dan keluarga yang memberi sokongan terbaik.

“Saya kini mendapat rawatan seumur hidup pap smear dan rawatan susulan daripada doktor di hospital.

“Nasihat saya sentiasa kuat semangat, buat rawatan awal dan sentiasa mendengar nasihat yang lebih pakar seperti doktor,” katanya yang kini bahagia bersama suami dan dua anak angkat mereka berusia 13 dan 15 tahun.

KERJASAMA VARIANTE, PINK UNITY TINGKAT KESEDARAN KANSER
KONSEP By Survivors, For Survivors oleh Pink Unity percaya bahawa kanser bukanlah penamat sebuah kehidupan namun mereka perlu diberi sokongan sosial dan emosi apabila didiagnos kanser.

Bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara pada Oktober ini, jenama fesyen tempatan, Variante bekerjasama dengan Pinky Unity bagi meningkatkan kesedaran dan sokongan kepada pesakit dan pejuang kanser.

Berbeza daripada pertubuhan kanser lain, Pink Unity dikendalikan sepenuhnya oleh pesakit kanser yang telah sembuh sebagai kumpulan sokongan kepada individu senasib bagi memberi motivasi untuk meneruskan kehidupan dan kekuatan semangat.

Pengasas Variante, Leslie Variyan berkata, usaha ini sebagai tanda sokongan sambil menderma melalui penjualan koleksi fesyen jenama itu selain telah bekerjasama lebih 10 tahun bersama Pink Unity.

“Dengan mewujudkan kesedaran ini, kita dapat menggalakkan lebih ramai orang untuk menawarkan bantuan dalam apa jua bentuk kepada pesakit kanser,” katanya.

Sejak 2013, Variante telah bekerjasama dengan Pink Unity untuk mencipta satu fesyen yang unik untuk dijual dan keuntungan disumbangkan kepada pertubuhan itu.

Tahun ini, tiga rekaan tudung bawal direka oleh Variante bertemakan bunga pink carnation sebagai sumber inspirasi.

“Pink Carnation adalah simbol kasih sayang, kesyukuran dan penghargaan. Ia juga lambang sokongan emosi yang ditujukan kepada pesakit kanser.

“Tudung ini diperbuat daripada satin premium yang paling selesa dan lembut. Selain sebagai hijab, ia juga dijadikan aksesori fesyen di leher,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN