Kaji sebelum undi, bukan setakat dengar kempen

Kaji sebelum undi, bukan setakat dengar kempen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM masa kurang dari sebulan lagi, kita bakal mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Gabungan parti manakah yang bakal dipilih oleh rakyat? Teka-teki itu hanya akan terjawab setelah selesai urusan kiraan undi pada 19 November nanti.

Rakyat berhak membuat pilihan. Namun, pilihan mestilah dilakukan dengan penuh kesedaran, tanggungjawab serta berpandukan fakta dan realiti yang nyata, bukannya persepsi dan ilusi yang direka cipta untuk memancing undi.

Ramai masih ingat janji-janji manis yang hilang entah ke mana setelah mereka memenangi pilihan raya. Ibarat menanam tebu di bibir mulut, lain di mulut lain di hati. Akibatnya, rakyat berputih mata dan terpaksa makan hati menunggu buah yang tak gugur. Janji pelajaran percuma hilang entah ke mana, pelajar masih perlu meminjam dan berhutang untuk menyambung pengajian.

Kini, pemimpin politik kembali berebut-rebut menabur janji. Sehingga yang jarang melawat kawasan pun menemui jalan pulang untuk berjumpa pengundi. Kata orang, lidah tidak bertulang. Janji baharu akan dibuat biarpun janji sebelumnya tidak dikotakan. Keadaan akan bertambah rancak setelah hari penamaan calon dan menjelang hari mengundi nanti.

LANGKAH SHERATON
Kita memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan berwibawa untuk membawa negara ke landasan betul. ‘Langkah Sheraton’ membuktikan gabungan parti yang bertelagah sesama sendiri tidak akan dapat bertahan lama. Pakatan Harapan dijatuhkan oleh parti sekutu mereka sendiri iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Begitu juga gabungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang tidak dapat berfungsi dengan baik akibat pertelingkahan dalaman antara parti-parti terlibat. Bukankah lucu apabila parti-parti yang mentadbir kerajaan Pusat bertanding sesama sendiri dalam pilihan raya? Bagaimanakan mereka mampu bersatu hati dalam keadaan mereka terang-terangan bertelingkah?

Urusan mentadbir negara dan membuat dasar bukanlah perkara mudah dan remeh yang boleh dijadikan medan latihan dan uji kaji. Dasar-dasar yang salah dan bersifat syok sendiri walaupun dianggap popular, hanya akan membawa kehancuran kepada negara. Kita telah melihat bagaimana pemimpin-pemimpin yang tidak berkebolehan dan tiada pengalaman gagal menjalankan amanah diberikan. Populariti serta kepetahan berpidato seseorang individu bukanlah jaminan mereka ialah pemimpin yang baik, amanah dan berkebolehan.

Dalam masa berbaki sebelum hari mengundi, buatlah kajian dengan teliti dan bukan hanya berpandukan kempen politik baik secara fizikal mahupun di media sosial. Kajilah prestasi kerajaan-kerajaan yang telah memerintah negara serta pemimpin-pemimpin yang dijanjikan akan menjadi Perdana Menteri sekiranya parti-parti mereka memenangi PRU15. Ingatlah, hidup ini satu realiti, bukannya fantasi.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar program asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN