Didik masyarakat fahami maklumat

Didik masyarakat fahami maklumat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memberi amaran, Empangan Kenyir mungkin pecah pada musim Monsun Timur Laut tahun ini, sekalipun dari sudut teknologinya perkara itu tidak berlaku.

Sebenarnya hal seperti itu bukanlah luar biasa disebabkan keupayaan sains dan teknologi bukanlah suatu kesempurnaan yang mutlak. Amaran tersebut adalah peringatan supaya dalam masa kita yakin pada teknologi, perlu ada kesiapsiagaan terhadap kemungkinan lain.

Sudah banyak juga hasil keupayaan luar biasa dalam sains dan teknologi akhirnya berdepan kemusnahan. Kalau dari segi teknologi membuat empangan, pernah berlaku bencana empangan pecah di China dan Afrika. Malah di negara kita sendiri pernah dikejutkan dengan runtuhnya Highland Towers pada 1993.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tujuan tulisan ini bukanlah mempertikaikan keupayaan sains dan teknologi dalam pembinaan Empangan Kenyir yang merupakan tasik buatan terbesar di Asia Tenggara. Akan tetapi perihal keupayaan menerima dan memproses maklumat bagi dimanfaatkan mengelak terperangkap dalam bencana.

Kemampuan memproses maklumat seperti ini juga perlu bersandarkan pemikiran realistik terhadap keupayaan sains dan teknologi yang ada had-had tertentu. Mempercayai kehebatan sains tidak boleh menutup keterbukaan kta pada maklumat, terutama pihak yang ahli.

Bagaimanapun, disebabkan ketidakupayaan memproses dan menerima maklumat, amaran oleh Nadma itu mencetuskan kegemparan yang bukan kecil. Keadaan sedemikian digerakkan dan dirangsang oleh sikap tidak bersedia berdepan maklumat yang kemungkinan berlaku kegagalan teknologi.

Maklumat tentang keupayaan sains dan teknologi yang ada had tertentu itu tidak sampai kepada khalayak, iaitu sebahagian penduduk setempat dan daerah-daerah yang dijangka terlibat sekiranya berlaku bencana itu. Maka sebahagian besar tidak boleh menerima maklumat supaya mereka berjaga-jaga sebagai satu pelan tindakan.

Maka tidak hairanlah selang beberapa hari selepas itu, muncul kenyataan daripada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat bahawa amaran Nadma mengenai keadaan Empangan Kenyir hanya ramalan.

Skala keseriusan amaran Nadma direndahkan malah membawa maksud keadaan adalah selamat. Sememangnya amaran itu hanya ramalan kerana kejadian tersebut belum berlaku. Akan tetapi amaran tersebut juga bertolak daripada perkiraan sains dan teknologi.

Sudah tentu ada tertanya-tanya mengenai kedua-dua kenyataan yang agak bertentangan antara satu dengan lain. Satu kata serius, dan satu pihak lagi berkata tidak. Malah kenyataan kedua itu diperkukuhkan dengan kenyataan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bahawa Empangan Kenyir ‘adalah selamat.’

Sebenarnya sikap mengambil endah amaran yang ‘tidak menggembirakan’ daripada Nadma itu bukanlah merugikan. Sebaliknya boleh dijadikan panduan kerana persiapan boleh dibuat sejak awal lagi. Inilah maklumat penting dalam berdepan bencana.

 

NADMA memberi amaran Empangan Kenyir mungkin pecah pada musim Monsun Timur Laut tahun ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY

 

SAMPAH SARAP

Kecanggihan teknologi perlu selari dengan perubahan sikap dalam menerima maklumat. Ketika maklumat menjadi sebahagian keperluan hidup, masyarakat perlu dididik untuk mengurus terutama dalam berdepan bencana besar.

Memang benar mendapat maklumat sebanyak mana sekalipun tidak dapat mengubah keadaan bencana daripada berlaku. Akan tetapi, kita boleh merancang dan membuat pelan tindakan tertentu. Pelan tindakan tidak mungkin dapat dirancang tanpa ada maklumat mengenai gambaran terhadap sesuatu bencana.

Oleh hal demikian, masyarakat perlu dididik menyaring dan memanfaatkan maklumat yang sekarang bergerak dengan banyak dan pantas bagaikan lebuh raya. Tanpa kearifan menyaring, kita pasti menjadi mangsa lambakan maklumat yang sebahagiannya adalah sampah sarap.

Ada dua keadaan mendatangkan kerugian dalam kehidupan yang banyak dipengaruhi oleh maklumat. Pertama, golongan menerima apa sahaja maklumat yang menderu dalam peranti di telapak tangan mereka. Golongan ini pasif dan tidak banyak bersoal jawab.

Kedua, golongan menolak semua maklumat kerana bagi mereka itu suatu yang mengganggu termasuk yang ‘tidak menggembirakan.’ Disebabkan wujud banyak maklumat palsu, maka dipukul rata bahawa semuanya tidak bermanfaat pada kehidupan.

Berbanding penghujung abad ke-20, teknologi maklumat masa kini mengalami kemajuan sangat pesat. Berbagai-bagai pelantar yang berkeupayaan menyampai maklumat pada kadar sangat pantas. Dalam masa dua minit, maklumat boleh disampaikan ke segenap pelosok dunia.

Memang benar pada era teknologi maklumat sekarang bukanlah semua yang sampai kepada masyarakat berupa maklumat berwibawa. Dalam ledakan itu, banyak juga hebahan palsu mengenai sesuatu perkara. Di situlah peri pentingnya masyarakat terdidik dengan maklumat supaya dapat menyaring antara benar dan palsu.

Dalam kehidupan masa kini, ketinggalan dalam menerima maklumat adalah kerugian. Hal ini kerana maklumat itu adalah suatu yang sangat bernilai dalam menentukan kehidupan kini dan masa depan. Tanpa maklumat, segala hala tuju ibarat bergerak dalam malam yang kelam.

Masyarakat yang tidak terdidik berdepan dengan maklumat juga memberikan kesan buruk dalam perkara-perkara tertentu. Mereka ini akan menjadi batu penghalang pada kehidupan lebih bermaklumat. Golongan inilah yang mudah menjadi bercempera apabila menerima sesuatu maklumat di luar lingkungan pemikirannya.

Sikap sedemikian menunjukkan kelemahan yang berlaku dalam masyarakat. Walaupun begitu, tidak banyak usaha yang memperbaiki kelemahan berkenaan, sebaliknya membuat pusingan U untuk meredakan kegemparan.

Masyarakat yang terdidik menerima maklumat memberi reaksi dengan membuat perancangan berdepan dengan ramalan bencana itu. Mereka merangka pelan A. B dan C untuk memastikan keluarga dan orang terdekat tidak terperangkap dalam bencana sekiranya benar-benar berlaku.

Kita semua memang mengharapkan ramalan dan amaran Nadma itu menyimpang 180 darjah. Bukan sahaja ramalan Nadma tetapi lain-lain juga yang membawa maksud tidak baik. Walaupun begitu, jangan pula ada menyalahkan Nadma sekiranya bencana tidak berlaku.-UTUSAN

PENULIS ialah Editor Kuseman.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×