Sebut sahaja pokok Cassia Grandis pasti ramai yang tidak tahu pohon apakah itu.
Tetapi jika disebut kote mamak, pasti ramai yang terbiasa melihat atau mendengar tanaman ini. Walaupun nama tempatan itu kedengaran kurang manis namun ia sememangnya terkenal terutamanya di sebelah utara tanah air.
Lazimnya, pokok Cassia Grandis banyak dijadikan sebagai pokok hiasan dan landskap di institusi-institusi seperti universiti dan sekolah.
Buahnya yang berbentuk panjang dan gelap selalunya dibiarkan berguguran di bawah pohon dan terbiar begitu sahaja.
Sedangkan, buah Cassia Grandis atau kote mamak itu sebenarnya boleh dimakan serta mempunyai khasiat yang baik untuk menyembuhkan pelbagai penyakit, antaranya kencing manis dan darah tinggi.
Selain itu, cecair antiseptik boleh diperoleh daripada akar dan daunnya manakala bunga pokok itu juga dikatakan banyak digunakan dalam perubatan tradisional.
Perkara itu dikongsikan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menjalankan inovasi serbuk Cassia Grandis.
Kajian itu bermula apabila sekumpulan penyelidik Penyelidik Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) UUM mendapati tumbuhan berkenaan banyak terdapat di sekeliling universiti serta tumbuh di pinggir hutan dan di tepi jalan.
Malangnya, buah itu sering dibiarkan jatuh berguguran begitu sahaja.
Maka, langkah proaktif diambil bagi mengurangkan pembaziran dengan menghasilkan inovasi berasaskan biji buah berkenaan.
Salah seorang penyelidik, Siti Aminah Hasbullah berkata, masyarakat kebiasaannya menggunakan buah Cassia Grandis sebagai manisan yang dimakan bersama pulut lemak kerana rasa manis serta masam dari buah ini.
“Rasa manis dari isi buah ini dijadikan sajian bersama pulut oleh masyarakat dulu-dulu, bijinya juga mempunyai aroma yang unik seperti bau kekacang dan amat sesuai digunakan dalam manisan terutamanya berasaskan coklat.
“Namun begitu, penggunaan buah ini dalam bidang kulinari secara komersial masih terhad dan tidak banyak penyelidikan serta pembangunan mengenai khasiat buah ini dijalankan,” katanya.
Cassia Grandis adalah sejenis tumbuhan daripada keluarga Fabaceae.
Mempunyai pohon besar rendang dengan kanopi berbentuk payung selain buahnya terbentuk daripada pistil bunga selepas kembang yang bermula daripada juntaian halus seperti tali berwarna hijau di bawah dedaun.
Apabila masak, buah menjadi coklat dan mengering seperti kayu berbentuk silinder panjang dan di dalamnya terdapat biji leper yang dipisahkan oleh petak serta mengeluarkan bau yang kurang enak.
Cassia Grandis dikategorikan sebagai buah-buahan bermusim iaitu di antara bulan Ogos hingga Oktober.
Hasilkan pemakanan sihat
Inovasi berkenaan dihasilkan tepat pada masanya memandangkan ketika ini gaya hidup orang ramai semakin tertumpu kepada makanan dan minuman manis.
Ia dapat dilihat daripada trend makanan manis yang sering menjadi fenomena seperti teh boba, yogurt sejuk beku, bingsu dan juga kopi serta manisan berasaskan coklat semakin menjadi buruan ramai.
Kata Siti Aminah, pemakanan seperti ini menimbulkan kebimbangan kerana ia merupakan gaya pemakanan tidak sihat serta mampu mengundang pelbagai masalah kesihatan terutamanya obesiti dan kencing manis.
“Inisiatif penghasilan produk Serbuk Cassia Grandis berasaskan biji Cassia Grandis mampu memberi faedah kepada pengguna dalam menambah rangkaian produk mereka seterusnya menjadikan serbuk ini sebagai salah satu produk Industri Kecil Sederhana (IKS) yang boleh dikomersialkan,” katanya.
Sementara itu, penyelidik, Norhafizi Nordin berkata, projek inovasi menggunakan serbuk buah berkenaan sebagai ramuan untuk membuat manisan bronis ternyata memberi kelainan dan keenakan tersendiri.
Jelasnya, inovasi menggunakan serbuk tumbuhan itu sebagai salah satu bahan utama dalam pembuatan bronis bagi menambahkan nutrisi serta memberikan aroma serta rasa yang unik kepada manisan ini.
“Saya suka mencuba sesuatu yang baharu dan segar. Memang seronok tengok bronis sedap, mewah coklat, harum, tekstur lembut, kenyal, berkedut-kedut dan berkhasiat yang memikat selera.
“Idea penghasilan serbuk Cassia Grandis bermula ketika saya sedang bersenam di sekitar kampus. Saya melihat banyak buah ini gugur di tepi jalan dan memburuk begitu sahaja dan tertarik dengan keunikan buah ini untuk dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kemudian saya buat carian secara dalam talian rupa-rupanya sudah ada beberapa kajian tentang khasiat terutamanya dalam bidang perubatan membantu melegakan penyakit anemia dan menambah zat besi dalam darah,” ujarnya.
Menurutnya lagi, kajian mengesahkan potensi biji buah Cassia Grandis berikutan komposisi nutrisinya yang mengandungi kandungan zat besi yang baik, kehadiran saponin, porfirin, flavonoid, tanin, fenol, minyak pati dan keupayaan antioksidan yang tinggi.
Nutrisi ini bermanfaat bagi mengurangkan masalah pencernaan dan kencing manis.
Kajian membuktikan bijinya berpotensi digunakan sebagai antidiabetes di mana pulpa dari buah ini menunjukkan penurunan kadar glukosa darah.
Cassia Grandis Brownies hasil produk inovasi Cassia Grandis powder memenangi Certificate of Excellence Gold Award pada Kedah International Culinary Innovation Competition KEDIEC 2021 baru-baru ini.










