Suatu ketika dulu trend bawa beg besar menjadi kegilaan ramai tetapi beg mini masih digemari terutama golongan muda yang suka tampil dengan gaya lebih ringkas.
Beg kecil atau mini bukan saja membuatkan anda kelihatan santai tetapi anggun apabila menggayakannya ke mana-mana saja terutama jika ke majlis seperti minum petang atau makan malam.
Ia boleh digayakan dengan menjinjingnya atau menggunakan tali beg yang panjang untuk disilang pada tubuh.
Bagaimanapun, sebaiknya beg silang sepatutnya hanya sampai pada atas bahagian pinggang.
Ini bagi memudahkan anda mengambil barang di dalam beg berkenaan selain kelihatan lebih kemas.
Tas comel ini tidak hanya sesuai digayakan untuk acara santai seperti menghadiri majlis makan malam atau ketika keluar bertemu rakan serta ketika membeli belah.
Ia berbeza dengan aktiviti seperti bekerja, keluar berkelah di tepi pantai yang mungkin memerlukan anda membawa beg besar terutama bila ada anak-anak kecil.
Bagaimanapun, memang agak memeningkan apabila terpaksa bertukar daripada beg besar kepada beg kecil.
Membawa beg kecil bermakna anda perlu ‘mengorbankan’ banyak benda kerana sudah tentu tidak semua barang yang boleh dibawa dengan beg kecil.
Apabila ingin menggayakan beg mini, anda perlu lupakan barang yang tidak diperlukan dan memastikan hanya barang ‘wajib’ di bawa saja dimasukkan di dalam beg. Antaranya, kad pengenalan, telefon, kunci kereta atau rumah serta bedak atau gincu.
Sudah tentu beg mini ini tidak boleh disumbat dengan pelbagai benda sehingga sukar untuk menutupnya dengan zip.
Ia sepatutnya menjadi aksesori tambahan yang penting tetapi tidak menyusahkan.
Memilih beg yang sesuai dengan warna sepadan dengan pakaian yang digayakan juga penting untuk dipertimbangkan.
Terbaharu, Coach memperkenalkan beg mini, Bandit yang diperbuat daripada kulit lembu yang halus dan berkilau.
Beg dengan lambang C didatangkan dengan pin untuk menutup beg dan bahagian dalam pula diperkemaskan dengan kulit.
Bahan khas digunakan di bahagian dalam untuk membantu mengekalkan bentuk beg selain tali beg yang boleh diubahsuai untuk disilang pada tubuh pemakai.
Coach turut bekerjasama dengan artis graffiti Mikhail Sokovikov dan Jason Aaron Wall untuk koleksi istimewa Mint+Serf yang memaparkan tenaga dinamik bandar New York.
Dilengkapi butiran seperti butang penutup C, ia dihasilkan daripada kulit dengan motif menyerlah daripada artis. Ia memaparkan dua bahagian, poket bahagian dalam dan tali bahu yang boleh diubahsuai untuk disilang pada tubuh.
Warna beg mesti dimiliki
» Hitam
Warna hitam mesti ada kerana ia mudah di padankan dengan apa saja warna baju atau kasut. Ia juga sesuai untuk semua aktiviti atau acara.
» Kelabu terang
Beg dengan warna kelabu terang sesuai untuk digayakan ketika ke pejabat. Namun warna ini cukup versatil jika dipadankan dengan tona putih, mersh jambu, warna alami, hingga, biru laut dan banyak lagi.
» Perang
Warna beg seakan warna madu mampu menampilkan gaya santai ketika anda ingin lari dari kesibukan kerja seharian.
» Merah
Bermula dari merah lipstik, beg mini merah dipadankan dengan gaun bermotif atau gaya lebih berani.
» Coklat
Seperti beg berona hitam, coklat juga adalah warna sesuai digayakan dengan mana-mana gaya atau keadaan.
Gayakan dengan gaun labuh berona keemasan menghasilkan gaya anggun.
Boleh digayakan dengan cara silang pada badan, sangkut pada baju dan beg clutch.
» Putih
Tona putih adalah warna neutral yang sehari dengan apa saja warna. Gayakan beg putih dengan gaun kembang lembut dari sutera. Bila dipadankan dengan warna krim, ia menghasilkan gaya santai.
» Metalik
Beg mini atau dompet berwarna metalik berwarna perak atau keemasan menyerlahkan gaya glamor. Lebih anggun digayakan secara silang badan atau dengan gaun malam berwarna hitam.
» Hijau
Jarang tona hijau dipilih untuk beg tetapi warna hijau sebenarnya memang menarik. Pilih warna hijau terang untuk penampilan bergaya dan lain daripada yang lain.










