Ambil peluang tambah baik sijil halal kita

Ambil peluang tambah baik sijil halal kita

TERSENARAI antara lima negara utama pengeksport daging halal ke seluruh dunia, industri halal Australia dijangka terus meningkat dengan pesat sehingga RM21 trilion pada 2030. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN Australia bukan sebuah negara Islam dengan jumlah penduduk Muslim secara keseluruhannya hanya kurang daripada tiga peratus, tetapi keterlibatan negara itu dalam industri halal antarabangsa tidak boleh dipandang sebelah mata. Australia sudah lama terlibat dalam sektor pengeksportan makanan halal ke seluruh dunia, terutama industri daging haiwan seperti lembu, seladang dan biri-biri.

Tersenarai antara lima negara utama pengeksport daging halal ke seluruh dunia, industri halal Australia dijangka terus meningkat dengan pesat sehingga tujuh trilion dolar Australia (RM21 trilion) pada 2030. Peluang yang cukup besar ini menjadi antara indikator tertubuhnya badan pensijilan halal tempatan.

Pada asalnya, masyarakat Islam di Australia bermula dengan komuniti-komuniti tempatan telah menubuhkan badan pensijilan halal. Tujuan asalnya untuk membantu produk-produk tempatan mengesahkan kehalalan produk makanan dan pusat sembelihan di kawasan sekitar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Malah, langkah itu juga bukan sahaja untuk membantu penduduk Islam tempatan mendapatkan akses makanan halal dengan mudah tanpa ragu-ragu, bahkan berfungsi sebagai pemain industri makanan. Selain itu, badan itu juga menyediakan makanan halal yang terbaik untuk dieksport ke pasaran dunia terutama ke negara-negara yang majoriti penduduknya Islam seperti Arab Saudi, Qatar, Bahrain, Malaysia dan Indonesia.

Bermula dari situasi ini, jumlah badan pensijilan halal di Australia semakin meningkat. Sehingga Ogos lalu, terdapat 24 badan pensijilan halal di Australia yang tersenarai dan diluluskan oleh Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Kerajaan Australia. Setiap badan ini terletak di serata pelosok Australia dan mempunyai sistem pensijilan dan pensyaratan logo halal tersendiri.

Antara badan-badan pensijilan halal Australia yang terkenal adalah Australian National Imams Council (ANIC) dan Australia Federation of Islamic Councils (AFIC).

Bila dilihat dari satu aspek, dengan wujudnya banyak badan pensijilan halal, ia melambangkan pemain industri boleh menikmati pelbagai pilihan yang ada untuk mendaftar dan mendapatkan pensijilan halal bergantung kepada lokasi, masa dan syarat-syarat diperlukan. Sudah tentu pemain industri akan membuat pilihan yang lebih mudah, murah, cepat dan kurang remeh syaratnya.

JAKIM

Dari sudut lain pula, selain menimbulkan keraguan dan kekeliruan kepada pengguna tempatan dan antarabangsa dalam memilih produk terbaik, kebimbangan juga wujud terhadap berlakunya penipuan logo halal atau logo palsu. Bahkan, kepelbagaian ini sebenarnya memberikan kegusaran juga kepada pemain industri dari sudut pasaran antarabangsa. Ini kerana, bukan semua badan pensijilan halal ini diiktiraf oleh negara-negara Islam yang merupakan tempat produk-produk ini dipasarkan.

Sebagai contoh, daripada 24 badan pensijilan halal Australia ini, hanya tujuh yang diperakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) selari dengan prosedur pensijilan halal Malaysia. Begitu juga di Indonesia, tujuh badan sahaja yang diiktiraf oleh Majelis Ulama Indonesia (MUI).

Jika satu-satu produk itu ingin dipasarkan ke pelbagai negara Islam misalnya, pengeluar produk tersebut terpaksa memiliki lebih daripada satu pensijilan halal kerana tidak semua sijil halal diterima dan diguna pakai di semua negara. Kajian pernah dijalankan di China, misalnya pada 2016 dengan kepelbagaian pensijilan halal di sesebuah negara menyusahkan pemilik perniagaan atau produk kerana mereka terpaksa memiliki lebih daripada satu sijil halal demi memasarkan produk ke luar negara. Bahkan, ia menjadi sangat sukar bagi produk tempatan untuk memperoleh kedudukan yang mampan dalam pasaran luar negara. Situasi sebegini juga berlaku di kebanyakan negara lain.

Sebagai negara beraspirasi untuk menjadi hab halal dunia, Malaysia sepatutnya mengambil peluang bekerjasama dengan kerajaan Australia dalam menambah baik sistem pensijilan halal negara. Australia melalui The Australian Trade and Investment Commission (Austrade) memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Halal Development Corporation (HDC) Malaysia untuk memberikan akses pasaran halal Australia ke wilayah ASEAN, Februari lalu. Ini bermaksud Australia memandang tinggi sektor halal kita dan yakin dengan kemampuan Malaysia menguruskan sektor halal dalam skala global.

Seharusnya kepercayaan ini kita terjemahkan juga kepada sistem penguatkuasaan dan pensijilan halal dengan menjadi penasihat tunggal dengan menyediakan blue print (rangka tindak) bersifat komprehensif untuk negara-negara bukan Islam lain bermula dengan Australia, memandangkan kita sudah memiliki kepercayaan ini. Blue print penuh ini pastinya bermanfaat dalam memenuhi aspirasi Malaysia menjadi hab halal dunia.

Walaupun begitu, Malaysia tidak boleh alpa untuk terus membaiki sistem pensijilan halal yang bukan sahaja mesra pasaran antarabangsa, tetapi juga perlu mesra industri kecil dan sederhana (IKS) termasuklah peniaga-peniaga kecil agar pelan tindakan ini betul-betul bersifat komprehensif dan boleh dilaksanakan di negara-negara lain.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Kedoktoran Sains Makanan di Kolej Kejuruteraan, Sains & Alam Sekitar, The University of Newcastle, Australia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×