Rumah mahal, keganasan rumahtangga jadi inspirasi - Utusan Malaysia

Rumah mahal, keganasan rumahtangga jadi inspirasi

Dayana dan Evva bangga mewakili Malaysia. Mereka berdua dinobatkan sebagai Juara Asia Young Designers Awards (AYDA) 2020/2021, menewaskan 13 peserta dari negara lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Harga rumah mahal dan isu keganasan rumahtangga yang diangkat sebagai asas dalam senibina dan rekabentuk dalaman oleh dua pereka wanita berjaya menobatkan mereka sebagai Juara Asia Young Designers Awards (AYDA) 2020/2021.

Menewaskan 13 peserta lain dari seluruh negara, Dayana Aripin,29, dan Evva Lim Yee Fah,25, berpeluang mewakili Malaysia bagi mengikuti Program Penemuan Rekabentuk di Sekolah Rekabentuk, Universiti Harvard (Harvard GSD) selama enam minggu bermula Julai lalu, bernilai lebih RM45,000.

‘Rumah Mikro dalam konteks warisan’ rekaan Dayana, berjaya memenangi Anugerah Emas dan Anugerah Warna Terbaik bagi kategori seni bina manakala projek Evva bertema, ‘WO.MEN Pusat Pemerkasaan Wanita’, berjaya memenangi Anugerah Emas bagi kategori reka bentuk dalaman.

Dayana lulusan senibina dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, rumah mikro dihasilkan itu, khusus untuk mereka yang terpaksa tinggal di bandar kerana mencari rezeki dan tidak mampu untuk menampung kos berulang-alik dari rumah ke tempat kerja.

“Tak sangka, idea membina rumah mikro di kawasan warisan, Georgetown, Pulau Pinang berjaya menambat hati juri. Idea itu timbul selepas saya mendapati harga rumah terlalu tinggi dan tidak ramai mampu membeli mahupun menyewa.

“Georgetown kini kawasan urban pesat membangun. Amat sesuai sekiranya rumah mikro dibina di sini bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk memiliki rumah di dalam bandar,” katanya ditemui baru-baru ini.

Tambahnya, sekiranya tiada program perancangan dan pelaksanaan yang betul, warisan indah bandar Georgetown akan terhapus kerana apa yang dilaksanakan hari ini akan memberi kesan kepada masa hadapan.

Berkongsi pengalaman berkursus di Harvard, Dayana berkata banyak ilmu ditimba ketika menghadiri kursus berkenaan bersama rakan dari seluruh pelusuk dunia.

“Semua orang bersemangat hendak menimba pengetahuan walaupun tidak semua yang ada di situ mempunyai latar belakang senibina. Kami berkongsi idea dan bersama-sama menerokainya.

“Impian saya ke Harvard menjadi kenyataan. Hasrat saya mahu membuktikan wanita mampu melakukan yang terbaik dalam bidang dimonopoli lelaki ini.

“Di Harvard, mereka tidak kisah berapa pun usia kerana ada yang berumur 18 tahun hingga 50 tahun,” katanya.

Senibina melekat dihatinya kerana ia memberi peluang mengekspresikan diri selaras dengan prinsipnya menerapkan unsur kemanusiaan dalam setiap reka bentuk dihasilkan.

Sekolah mudah alih
Mikro Studio diasaskannya juga menjalankan program reka bentuk seni bina berasaskan kemanusiaan. Projek terbaharunya adalah membina sekolah mudah alih untuk sekolah di Sabah dan Sarawak.

“Sekolah yang ada, setempat dan agak menyukarkan bagi murid yang berada di kawasan pedalaman untuk ke sekolah. Menerusi sekolah mudah alih ini, ia boleh diletakkan di kawasan berhampiran dengan tempat tinggal mereka.

“Menggunakan kontena, ia akan memasuki kawasan yang mempunyai janakuasa dan infrastruktur asas seperti jalan raya untuk memudahkan sekolah ini di bawa ke sana. Ini adalah contoh yang menekankan kemanusiaan dalam senibina yang dihasilkan,” katanya.

Katanya sebagai arkitek, mereka tidak hanya membina di sesuatu kawasan tetapi pada masa sama, menghasilkan program untuk menarik pembabitan orang ramai bagi menyumbang semula kepada masyarakat.

‘Kisah nenek jadi mangsa dera beri inspirasi’
Kisah bagaimana mendiang nenek menjadi mangsa dera suami hingga pekak sebelah telinga dan berdepan masalah mental, memberikan inspirasi kepada Evva Lim Yee Fah, 25, merekabentuk pusat perlindungan untuk wanita yang menjadi mangsa keganasan rumahtangga.

“Kisah itu saya dengari daripada ibu dan saya sedar untuk perlu bersuara bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menangani isu ini. Pada masa itu, saya masih bergelar pelajar dan timbul hasrat mahu melindungi mangsa khususnya wanita apabila teringat kisah nenek.

“Saya mula cari kaedah menyelesaikan isu ini secara realistik. Bagaikan saya patut membantu mereka. Pertamanya, perlu keluarkan mereka dari situasi itu, berikan mereka perlindungan dan sokongan kewangan untuk berdikari selain mengajar kemahiran untuk kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Merealisasikan hasratnya, Evva membuat satu reka bentuk dalaman dengan projek ‘WO.MEN Pusat Pemerkasaan Wanita’. Ia adalah pusat membolehkan mangsa keganasan rumahtangga tinggal melakukan pelbagai aktiviti di situ.

“Di pusat itu mereka boleh menjana pendapatan menerusi perniagaan seperti salun dan tempat tinggal pula di atas. Kadang-kadang wanita tidak tahu ke mana harus pergi selepas keluar daripada rumah akibat didera,” katanya.

Mengakui ada banyak pusat sebegini yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan (NGO) tetapi tidak banyak yang menawarkan program kemahiran untuk kelangsungan hidup selepas tidak lagi bergantung kepada suami.

Evva percaya pereka kini bukan hanya sekadar penghias dalaman semata-mata tetapi turut mencipta dan mempersembahkan struktur yang menekankan perasaan serta emosi.

“Sepanjang berada di Harvard, kami banyak belajar mengenai seni bina dan berpeluang bertukar-tukar pandangan serta berkongsi pengalaman masing-masing. Di sana, tiada had dalam mengekspersikan idea, di mana setiap individu ada sentuhan mereka tersendiri.

“Kami berbangga mewakili Malaysia dan memperoleh peluang untuk melihat rekaan dari pereka negara lain. Ia memberikan semangat kepada kami bergelar arkitek dan pereka lebih baik di masa depan dengan mengadaptasi alam sekitar, sejarah dan budaya kita dalam satu rekaan,” katanya.

Evva yang memiliki Ijazah Seni (Kepujian) Pembinaan Dalaman dari Universiti Taylor, berhasrat menyambung pengajiannya di peringkat sarjana. Selepas tamat pengajian, beliau menjalankan perniagaan sendiri, Hwa Studios yang menawarkan khidmat rundingan hiasan dalaman.

Beliau sedang bekerjasama dengan jenama optikal yang sedang memperluaskan perniagaan mereka di seluruh negara menerusi konsep rekabentuk diinginkan, memberikan khidmat rundingan serta idea rekaan dalaman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN