Rehatkan telinga elak masalah pendengaran - Utusan Malaysia

Rehatkan telinga elak masalah pendengaran

Selepas menonton konsert hiburan dengan bunyi muzik kuat secara berterusan, individu perlu keluar sekejap untuk merehatkan telinga. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Individu yang terdedah kepada bunyi atau muzik terlalu kuat pada tempoh lama boleh mengalami kehilangan pendengaran sementara.

Juru Audiologi Global Hearing Care Centre, Ainu Mardhiah Mohd. Razally berkata, bagaimanapun keadaan itu perlu diatasi dengan segera bagi mengelakkan kehilangan pendengaran selama-lamanya atau secara kekal iaitu dengan menjauhkan diri daripada bunyi kuat dan bising.

“Telinga perlu direhatkan selepas terdedah kepada bunyi yang kuat untuk kembali normal dan mendengar seperti biasa. Sebagai contoh, selepas menonton konsert yang sudah tentu bunyi muzik kuat secara berterusan, anda perlu keluar sekejap untuk merehatkan telinga.

“Pemakaian penyumbat telinga boleh menapis bunyi yang kuat bagi mengelakkan pendengaran terjejas. Mereka yang berisiko tinggi dan terdedah dengan bunyi kuat ini perlu menjalani ujian saringan pendengaran sekurang-kurangnya sekali setahun,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis saringan pendengaran bersama ‘bintang’ anjuran Global Hearing Care Centre, baru-baru ini.

Majlis berkenaan bertujuan memberikan pendedahan mengenai kesihatan pendengaran kepada penyanyi dan pengiat seni tanah air yang terdedah kepada bunyi muzik yang kuat.

Pada majlis itu, penyanyi dan pengiat seni berpeluang menjalani ujian pendengaran bagi mengesan sebarang masalah pendengaran yang dialami. Antara penyanyi lain yang hadir, Zee Avi, Jaclyn Victor dan Dinar Nazir.

Berdasarkan pengalaman beliau, golongan pekerja yang paling ramai berdepan masalah pendengaran adalah tentera, pekerja di lapangan terbang, pengiat seni dan pekerja kilang atau industri.

Bagimanapun, katanya masalah pendengaran turut dialami oleh pekerja dalam bidang lain seperti mereka yang menggunakan fon telinga dalam tempoh lama ketika menaiki pengangkutan awam seperti aliran transit ringan (LRT).

“Ramai juga tidak sedar bahawa pengambilan ubat-ubatan seperti ubat tekanan darah tinggi dan diabetes boleh menjejaskan tahap pendengaran. Penyakit-penyakit ini juga sebenarnya juga boleh menjadi punca masalah pendengaran sekiranya tidak dikawal dengan baik.

“Masalah kehilangan pendengaran tidak boleh disembuhkan tetapi boleh dibantu dengan alat bantuan pendengaran. Walaupun ada stigma yang mengatakan alat ini menghasilkan bunyi terlampau kuat tetapi teknologi hari ini membolehkan masalah ini diatasi. Sebaiknya, kita menghargai pendengaran dengan menjaga kesihatannya,” katanya.

Ainu Mardhiah berkata terdapat empat tahap masalah pendengaran iaitu ringan, sederhana, teruk dan sangat teruk. Sebaiknya masalah diatasi di peringkat ringan dengan menggunakan alat bantuan pendengaran bagi merangsang saraf untuk terus bekerja.

“Sekiranya masalah ini dibiarkan pada peringkat ringan, ia boleh menyebabkan telinga menjadi malas dan makin lama pendengaran semakin kurang. Sekiranya dibandingkan pemakaian alat bantu mendengar pada tahap sederhana, hasilnya lebih baik apabila dipakai di peringkat ringan,” katanya.

Pengiat seni berisiko terjejas, hilang pendengaran
Aktiviti berenang dan menyelam yang digemari selama ini, tanpa disedari memberikan kesan kepada pendengaran Ratu Rock tanah air, Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin.

Ella,56, menjelaskan bahawa beliau mengalami ketidakseimbangan pendengaran sejak beberapa tahun lalu berikutan kerap terdedah kepada tekanan dalam air ketika berenang selain sering terdedah kepada bunyi muzik yang kuat.

“Saya sebenarnya memang suka berenang dan menyelam. Aktiviti itu saya lakukan setiap hari tanpa perlindungan pada bahagian telinga ketika berada di dalam air. Pendedahan kepada bunyi kuat pula sejak berusia 16 tahun lagi menyebabkan pendengaran saya tidak seimbang.

“Menyedari masalah yang saya hadapi, saya ingin mencuba sendiri menggunakan alat bantu pendengaran dan rasa ‘best’. Pendengaran saya lebih jelas serta seimbang kiri dan kanan telinga. Sebelum ini, pendengaran di telinga kiri saya lebih baik berbanding kanan,” katanya.

Ella yang sedang membuat persiapan untuk menganjurkan konsert jelajah negara tidak lama lagi, berkata akan lebih peka dengan kesihatan pendengaran beliau selepas ini termasuk menggunakan alat perlindungan telinga bagi menghindar bunyi yang kuat serta ketika berenang.

‘Pakai alat bantuan pendengaran 13 jam sehari’
Sementara itu, Zee Avi, berkata beliau menyedari kehilangan pendengaran sejak 2014 apabila sukar untuk mendengar butir perbualan orang berhampirannya.

Zee atau nama sebenarnya Izyan Alirahman, berkata masalahnya dikesan bapanya ketika mereka sekeluarga duduk semeja untuk makan malam. Zee kerap meminta bapanya yang duduk selang satu kerusi saja daripadanya untuk mengulang apa yang diperkatakan oleh bapanya itu.

“Ayah meminta saya supaya pergi membuat pemeriksaan dan segala-galanya sudah terlambat apabila kedua belah telinga saya sudah hilang pendengaran pada frekuensi rendah. Saya perlu menggunakan alat bantu pendengaran bagi membolehkan saya mendengar dengan lebih jelas.

“Masalah ini berpunca daripada pendedahkan kepada muzik yang kuat pada tempoh yang lama. Sebagai penyanyi, saya perlu berada di dalam studio dalam tempoh yang lama dan tidak peduli dengan volume muzik yang dipasang,” katanya.

Beliau yang terkenal dengan lagu berjudul Kantoi, berkata terpaksa menggunakan alat bantu pendengaran berkenaan selama 13 jam sehari sejak tiga tahun lalu.
Walaupun pada awalnya agak kekok memakai alat berkenaan tetapi beliau dapat menyesuaikan diri dengannya.

Alat pendengaran berteknologi tinggi itu mempunyai pelbagai fungsi selain membantu mendengar dengan lebih jelas, ia boleh digunakan sebagai bluetooth, mendengar muzik dan berbual di telefon.
“Sekarang saya boleh mendengar perbualan orang yang duduk dengan jarak dua meja di restoran,” katanya sambil ketawa.

‘Saya mulai paranoid’
Penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor, berkata secara jujurnya beliau tidak pernah terfikir mengenai masalah berkaitan pendengaran sebelum ini.

“Apabila dijemput ke majlis ini, saya jadi paranoid dan mula bimbang dengan tahap kesihatan pendengaran saya. Sebagai penyanyi memang tidak dinafikan kami terdedah dengan bunyi muzik yang kuat.

“Bagaimanapun, saya lega selepas ujian saringan, pendengaran saya tiada sebarang masalah dan masih boleh mendengar dengan jelas walaupun pada frekuensi rendah. Selepas ini, saya perlu lebih peka dengan kesihatan pendengaran saya dan perlu menggunakan ear plug atau penyumbat telinga untuk menapis bunyi yang kuat,” katanya.

Penyanyi dan juruhebah radio, Faradina Mohd. Nadzir atau lebih dikenali sebagai Dina Nadzir, berkata dia memang kurang menggunakan fon kepala sepanjang bekerja di konti radio.

“Saya tidak berapa suka pakai fon kepala kerana tidak selesa tambahan pula ada subang ditelinga. Saya lebih sukar mendengar daripada monitor ketika bekerja. Begitu juga ketika mendengar muzik.

“Selepas saringan, pendengaran saya masih jelas dan saya akan lebih berhati-hati bagi menjaga pendengaran. Masa buat persembahan nyanyian, memang tidak dapat dielakkan daripada muzik yang kuat tetapi saya boleh jauhkan diri sedikit daripada band,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN