Pertandingan inovasi pertaruh kreativiti guru - Utusan Malaysia

Pertandingan inovasi pertaruh kreativiti guru

Guru-guru ini akan menampilkan inovasi mereka dalam Hadiah Guru Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramai 10 guru akan berentap dalam Hadiah Guru Malaysia bagi merebut hadiah utama, berupa wang tunai RM50,000 di samping empat orang guru teratas yang masing-masing akan menerima RM5,000.

Anugerah julung kali diperkenalkan dengan kerjasama Pemimpin GSL itu merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan luar biasa guru dalam usaha mendidik anak-anak muda di negara ini.

Antara dipertandingkan ialah alat bantuan berlari bagi murid bermasalah penglihatan yang dibangunkan guru pendidikan khas dari Sekolah Kebangsaan (SK) Klang, Wan Muadzam Wan Abidin.

Inovasi dikenali sebagai Caballus RAfVI itu bukan sahaja untuk melatih murid orang kurang upaya (OKU) dalam olahraga, malah memastikan lebih ramai golongan berkenaan dapat menyertai dunia sukan.

Guru matematik dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Seng 2 di Perak, Goh Kok Ming yang mengintegrasikan aplikasi Minecraft di samping memberikan kelas coding kepada murid di luar waktu sekolah turut akan beretap dalam pertandingan itu nanti.

Inovasi guru kimia di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Chung Hwa Tenom, Sabah, Anuthra Sirisena iaitu Pusat Inovasi Tenom bagi meningkatkan kemahiran guru dan pelajar dalam bidang robotik turut diperkatakan kehebatannya lantaran ia memberi impak kepada 2,000 guru dan murid melalui bengkel dan sesi latihan.

Sementara itu, Pengarah Program YTL Foundation, Datuk Kathleen Chew berkata, finalis menyerlahkan peranan guru dalam membawa perubahan kepada kehidupan pelajar, malah mereka turut melangkaui panggilan tugas untuk memenuhi potensi golongan sasar.

Pemilihan finalis dibuat berdasarkan amalan bilik darjah yang inovatif, sumbangan terhadap profesion perguruan dan komuniti di samping kisah sebagai pendidik.

“Saya yakin mereka akan terus memberi inspirasi kepada guru-guru lain di seluruh negara dengan kisah dan usaha untuk meningkatkan kemenjadian murid,” katanya.

Lebih 800 permohonan diterima YTL Foundation sejak penyertaan dibuka sehingga 17 Julai lalu dengan proses pemilihan bagi senarai pendek dilakukan panel juri termasuk dalam kalangan ahli akademik dan pegawai Kementerian Pendidikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN