Pernah mengalami obesiti dan ‘berperang’ dengan masalah berat badan 17 tahun lalu, menjadi motivasi dan inspirasi kepada tukang masak terkenal, Cef Daniel Green mempromosikan makanan sihat lebih 38 tahun.
Terkenal sebagai Cef Model dan pakar makanan sihat berkata, dia enggan melihat sesiapapun gagal dalam memilih diet sihat. Baginya, melihat kejayaan individu mengatasi obesiti, bagaikan kepuasan yang membuatkannya gembira.
“Saya berjaya mengurangkan berat badan sehingga 90 kilogram (kg), jadi saya tidak mahu berpatah balik dalam keadaan sebelum ini. Saya percaya dengan apa yang saya lakukan iaitu meletakkan makanan sihat dalam pinggan.
“Saya sediakan ‘alat’ diperlukan kerana saya tidak mahu orang lain gagal dalam diet mereka. Cara itu membuatkan saya lebih gembira. Malah ia memberikan inspirasi kepada saya untuk keluar mengembara dan mendapat pengalaman baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau ditemui selepas menerima Anugerah Cef Selebriti Antarabangsa 2022 World Gourmet melalui kategori Makan Untuk Sihat pada sidang media menggumumkan acara Anugerah World Top Gourmet 2022, baru-baru ini. Anugerah disampaikan oleh Presiden World Gourmet, Peggy Chong.
Bagi Daniel, Malaysia bukan negara asing kerana sudah menjejakkan kaki ke negara ini sejak 1993 lagi.
Atas tujuan itu, beliau kerap ke negara ini untuk tujuan berkenaan menerusi acara memasak dan sesi penggambaran berkaitan masakan sihat serta bertindak sebagai penasihat dalam penyediaan makanan di hotel terkemuka.
Makanan sihat
“Makanan sihat boleh membawa maksud berbeza bagi setiap individu. Bagi sesetengah orang, ia mungkin bermakna kurang gula atau mengutamakan makanan berasaskan organik dan pelbagai lagi pandangan berbeza. Bagi saya, ia berubah setiap tahun.
“Contohnya jika tahun 90-an, makanan sihat segala-galanya adalah mengenai kurang lemak tetapi kini sudah berubah. Sekarang saya mengikut falsafah berkaitan rendah karbohidrat dan hanya mengambil protein yang benar-benar baik, makan banyak buah-buhan dan sayur-sayuran serta pelbagai rasa,” katanya.
Diet paleo katanya, mementingkan makanan segar daripada semua jenis kumpulan makanan kecuali makanan yang diproses untuk kekal sihat. Elakkan makanan yang boleh memberikan mudarat seperti mengelakkan gluten jika alah kepadanya atau tidak makan gula sekiranya mengalami diabetes.
“Diet ini menjadi amalan ramai sejak lapan tahun lalu. Sebelum ini ramai buat diet keto.
Bagaimanapun, masalahnya ia boleh menjadi diet tinggi lemak tidak tepu. Trend terbesar kini adalah diet berpuasa beberapa jam atau intermittent fasting yang menjadi amalan ramai di Amerika dan United Kingdom kini.
“Diet ini memerlukan anda berlapar dalam tempoh tertentu seperti antara jam 2 petang sehingga 6 petang dan selepas itu boleh makan semula dengan cara lebih sihat untuk mendapatkan kembali tenaga,” katanya.
HERBA UNTUK DIET
Daniel berkata Malaysia memiliki herba serta rempah ratus yang boleh digunakan dalam masakan untuk mengatasi masalah berat badan berlebihan tetapi kaedah memasak hidangan perlu diubahsuai bagi mendapatkan makanan sihat.
“Sebelum ini ramai gunakan kaedah ayam kukus atau sayur kukus saja untuk mengurangkan berat badan. Sudah tentu cara ini membosankan dan tidak menyelerakan jika dimakan setiap hari. Mengapa tidak menggunakan herba seperti cili atau serai?
“Saya mula menghasilkan makanan menggunakan bahan masakan mengikut tempat seperti sos ikan di Thailand manakala di Malaysia, anda memiliki cili. Mungkin tidak perlu mengorengnya (cili) dengan minyak yang banyak. Saya cuba buat pilihan masakan seperti sup yang enak dan menambah perisa dengan tofu dan sayur,” katanya.
Tambah beliau lagi, bagi mendapatkan rasa makanan yang tidak boleh dimakan atau cuba dielakkan, cuba fokus kepada penggunaan bahan yang menyerupai makanan berkenaan. Sebagai contoh, menggunakan cauliflower sebagai pengganti nasi, letak banyak avocado dan sos.
‘Harga barang naik bukan alasan abai makanan sihat’
Ketika dunia berdepan krisis makanan termasuk peningkatan harga barangan dan bahan mentah, ramai yang sukar mengamalkan diet sihat. Bagaimanapun, bagi Daniel, ini bukan alasan kerana masih terdapat pelbagai cara mendapatkan makanan berkhasiat.
“Sudah tentu ada caranya. Walaupun terpaksa menggunakan makanan dalam tin sekalipun, anda perlu buat ia jadi berkhasiat,” katanya.
Ujarnya banyak pilihan mendapatkan diet sihat dan langkah itu adalah ‘misi’ yang perlu dijalankan oleh setiap individu. Sekiranya risau dengan keselamatan makanan akibat pencemaran, boleh memilih untuk mendapatkan sumber makanan berasaskan organik.
Beliau yang menggemari makanan Jepun turut mengakui amat menyukai masakan ketam bercili dan sate. Masakan India juga tidak kurang hebat bagi Daniel walaupun berlemak tetapi sentiasa ada pilihan hidangan lebih sihat seperti ayam tikka.
“Setiap negara dan budaya ada keistimewaan dalam masakan masing-masing tetapi bagi menjaga kesihatan, pilihlah makanan yang baik dan sihat. Tidak semestinya kena makan makanan sihat 24 jam setiap hari. Tiada salahnya menikmati makanan yang anda gemar seminggu sekali atau pada cheat day,” katanya.
Sementara itu, mengenai buku masakan The Cannabinoid yang berkisar tentang mengubah kesihatan menggunakan herba dan rempah tulisannya diterbitkan pada 2021, Daniel berkata, walaupun ‘kanabinoid’ boleh membawa konotasi ganja dan rami, tetapi beliau membincangkan 11 makanan yang boleh memberikan tubuh manfaat kesihatan tanpa bahan ganja (CBD) atau produk rami (hemp).
“Apa yang menarik mengenai buku ini adalah ia hasil perbincangan saya dengan doktor yang menerangkan terdapat herba dan rempah ratus yang boleh membuatkan minda anda lebih tenang dan membantu tidur anda lebih lena. Ia tidak menggunakan bahan CBD atau marijuana.
“Namun ia tidaklah sekuat marijuana tetapi herba dan rempah yang menyerupainya adalah seperti minyak pati Rosemary, lada hitam, ylang ylang (kenanga), lavender, kayu manis dan cengkih.
“Ia sangat berkesan membantu merehatkan tubuh namun anda perlu makan dalam kuantiti yang banyak untuk mendapatkan kesannya,” katanya.










