PETALING JAYA: Sarat hamil anak ketiga, pelakon, Che Puan Juliana Evans mengumumkan dirinya bakal menimang cahaya mata lelaki tidak lama lagi.
Juliana berkongsi khabar gembira itu menerusi sebuah hantaran video ketika memotong kek ‘Gender Reveal’ bersama suami tercinta, Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah dan puteri sulungnya, Josephine Ehsan Shah di Instagram.
“Kejutan pendedahan jantina,” tulisnya di kapsyen.
Menerusi hantaran tersebut, suami kepada pelakon itu dilihat terharu dan bersyukur apabila akhirnya mereka bakal menimang seorang putera selepas sembilan tahun melayari bahtera perkahwinan bersama.
Teruja dengan khabar gembira itu, perkongsian tersebut turut dihujani dengan ucapan tahniah serta doa dari kalangan netizen dan rakan selebriti.
Untuk info, Juliana mendirikan rumah tangga dengan Tengku Shariffuddin Shah Tengku Sulaiman Shah pada 30 April 2017.
Hasil perkongsian itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tengku Kamiliah Zanariah Josephine Ehsan Shah, 7, dan Tengku Saidatul Ihsan Zabedah Fauziah Putri, 3 tahun.










