Fenomena yang dicetuskan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan membuktikan industri perfileman tempatan masih berdaya saing, malah mampu mencipta kejutan apabila berjaya menenggelamkan rekod pencapaian yang dilakar filem antarabangsa.
Mencatat kutipan terkini mencecah RM97 juta, pencapaian luar biasa filem garapan terbaru Syamsul Yusof itu memberikan semula nyawa kepada pawagam yang sebelum ini terkesan teruk ekoran pandemik Covid-19.
Kecemerlangan produksi tersebut juga menjadi penanda aras baharu pencapaian filem sentuhan anak tempatan, sekali gus memutikkan semula keyakinan penggiat seni untuk terus menghasilkan karya kreatif yang memenuhi citarasa penonton.
Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan menjadi pencetus yang mencorakkan landskap baharu industri perfileman tempatan apabila beberapa produksi yang ditayangkan selepas itu seperti Air Force The Movie:Selagi Bernyawa dan Abang Long Fadil 3 turut mendapat sambutan hebat.
Bagi pelakon dan pengarah, Erma Fatima, jalan cerita dan tarikh tayangan turut menjadi antara faktor yang membantu kejayaan sesebuah produksi apabila memasuki pawagam.
“Dua tahun pawagam ditutup disebabkan pandemik. Mat Kilau pula kebetulan ditayangkan selepas panggung wayang ‘bernyawa’ semula. Ketika itu, orang dahagakan hiburan dan ingin keluar daripada pelbagai kemelut yang membelenggu impak daripada pandemik.
“Mereka memerlukan sesuatu yang dapat menaikkan semula semangat. Penerbit membuat tindakan yang betul dengan menayangkan filem itu ketika emosi dan ekonomi masyarakat terkesan selepas pandemik,” katanya.
Erma juga berpandangan, jalan cerita filem itu yang berkisar semangat kebangkitan dan perjuangan, serta lari daripada tema tipikal produksi tempatan turut menarik penonton untuk menyaksikan filem tersebut.
“Jalan cerita Mat Kilau dekat dengan realiti yang dihadapi masyarakat yang masih terkesan dengan penularan Covid-19. Semangat kebangkitan yang diterjemahkan dalam filem itu diambil penonton yang ‘berduka’ dan cuba untuk bangkit semula meneruskan hidup.
“Bagi saya itulah antara faktor yang membuatkan penonton berpusu-pusu menyerang pawagam, kerana mereka mahukan suntikan semangat daripada filem yang mereka tonton,” tambahnya.
PENUHI DEMAND – SYAMSUL YUSOF
Bagi pengarah filem itu sendiri, penerimaan penonton terhadap produksi tempatan sememangnya cukup membanggakan, namun sebagai pengkarya, fenomena itu harus dilihat dari sudut berbeza.
Jelasnya, peminat karya tempatan kini sudah bijak dan amat memilih untuk membayar tiket menonton filem yang memenuhi kriteria serta demand mereka, terutama melibatkan kualiti serta jalan cerita.
“Tidak dinafikan, selepas Mat Kilau, banyak filem lain yang pecah panggung. Kita harus berbangga dengan kejayaan itu. Tetapi, malangnya masih ada filem tempatan mencatat kutipan yang cukup menyedihkan.
“Penonton sekarang mula memilih sama ada filem yang ditayangkan itu kena atau tidak dengan citarasa mereka. Sebagai pengkarya, kita harus ambil cabaran itu dan memberi filem yang tepat. Bukan sahaja berkualiti, tetapi ada nilai yang memenuhi demand,” katanya.
Syamsul pada masa sama melihat kejayaan Mat Kilau sebagai pembuka jalan yang lebih luas kepada pengkarya tempatan untuk menghasilkan karya lebih berkualiti.
Jelasnya, industri filem tempatan mempunyai barisan pengkarya bertaraf antarabangsa dan sudah tiba masa, kita mempercayai kemampuan sendiri dan berani memecah tembok industri perfileman luar.
“Apabila Mat Kilau berjaya mengalahkan filem luar negara, ini membuktikan kita mempunyai kekuatan sendiri. Jangan rasa kita tidak mampu bersaing. Kreativiti itu luas dan kita harus membuktikan kemampuan penggiat industri filem tempatan.
“Saya percaya, dengan kebangkitan industri filem tempatan sekarang, naskhah kita akan ditayangkan bukan sahaja di Indonesia, malah turut menembusi pasaran antarabangsa. Kita mampu lakukan itu,” katanya.
TOLAK KARYA REMEH TEMEH – ROSYAM NOR
Penerbit dan pelakon berkaliber, Datuk Rosyam Nor berkata, penonton era ini tidak mahu lagi menonton filem remeh temeh dan sekadar ‘asal jadi’.
Jelasnya, penggiat industri seharusnya lebih peka dan tahu kehendak penonton sekarang yang tidak mahu tertipu apabila naskhah yang dihasilkan mungkin selayaknya ditayangkan hanya di layar kaca.
“Ada satu ketika dulu, penonton rasa tertipu dan mula lari daripada menonton filem Melayu. Kita harus berterima kasih kepada Syamsul dan seluruh team produksi yang berjaya menyemarakkan industri perfileman tempatan.
“Tetapi, kita harus melihat itu sebagai tamparan dan cabaran. Penonton tidak mahu lagi filem yang remeh-temeh dan tidak ada isi. Kalau rasa naskhah itu tidak cukup kuat, jangan tayangkan di pawagam.
“Saya berharap selepas ini banyak lagi filem tempatan mengekori kejayaan filem Mat Kilau. Kita harus lihat itu dari sudut positif. Ambil kejayaan itu sebagai pemangkin semangat untuk menghasilkan karya yang lebih baik,” katanya.
Dalam pada itu, jelas Rosyam, media sosial turut memainkan peranan sangat penting, terutama dalam mempromosikan sesebuah naskhah, khususnya genre yang mungkin bukan pilihan ramai.
“Kalau dulu kita mempromosikan dari mulut ke mulut. Tetapi, sekarang ‘jari’ yang membawa cerita. Media sosial ini ada baik dan buruk, bergantung kepada penggunaan serta penerimaan kita.
“Saya pernah meramalkan filem di pawagam akan ‘hilang’, namun Mat Kilau membuktikan sebaliknya. Kita mampu menghasilkan sesuatu yang epik, tetapi bergantung kepada citarasa dan penerimaan penonton,” katanya.
KARYA TEMPATAN MASIH DIPERCAYAI – JOSIAH CHENG
Sementara itu, penerbit filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa, Josiah Cheng pula menganggap kejayaan filem Mat Kilau sebagai petanda baik buat industri filem tempatan.
Katanya, pencapaian itu meyakinkan penerbit dan pengarah lain bahawa filem tempatan mampu bersaing dengan filem luar dan masih mendapat tempat di hati penonton di negara ini.
“Kutipan yang diraih Mat Kilau tentu sekali menjadi penanda aras kepada filem lain untuk berusaha melakar kejayaan serupa.
“Ia menjadi pendorong kepada penerbit untuk melabur peruntukan yang wajar bagi menghasilkan filem berskala besar dan berkualiti kerana penonton sekarang semakin bijak menilai sesebuah karya.
“Sebagai penerbit dan pemain industri, saya meraikan dan menyambut baik kejayaan filem tersebut kerana ia memberi harapan kepada produksi tempatan lain untuk sama-sama menyinar,” katanya.
Tambah Josiah lagi, penerbit dan pengarah seharusnya lega serta gembira kerana pencapaian yang diraih Mat Kilau menandakan masih ada sinar buat filem tempatan untuk menjadi juara di negara sendiri.
“Ia tidak sedikitpun memberikan kami tekanan, sebaliknya turut membantu pembikin filem lain apabila penonton semakin mempercayai dan menyokong karya tempatan yang berkualiti.
“Ia umpama rantaian kerana pencapaian sesebuah filem turut membantu kejayaan filem lain. Ia adalah kesan domino (domino effect) yang baik untuk industri filem negara,” ujarnya.










