'Orang Melayu kena pandai buat duit' - Utusan Malaysia

‘Orang Melayu kena pandai buat duit’

Erin Adlina Adnan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seawal usia 18 tahun Erin Adlina Adnan sudah mula mengetahui mengenai simpanan dan pelaburan melalui ibunya yang juga turut melakukan pelaburan.

Dalam usia yang sama juga dia sudah mula melaburkan wang ke dalam pelaburan berkenaan.

Bertitik tolak dari situ, dia mula melihat satu ‘kelompongan’ yang membuatkan dia mahu berjinak-jinak menjadikan bidang berkenaan sebagai kerjayanya.

Kelompongan yang dimaksudkan adalah ilmu dan pengetahuan orang Melayu dalam bab pengurusan kewangan yang mampu memberikan pulangan menguntungkan.

Katanya, apabila dia mula melabur, dia sering berceritakan mengenai perkara itu kepada rakan-rakan Melayu tetapi kebanyakan mereka tidak ada pengetahuan mengenai perkara tersebut.

Berbeza apabila dia membicarakan soal berkenaan dengan rakan-rakan daripada kaum lain yang lebih cakna mengenai konsep simpanan dan pelaburan, malah kebanyakannya ibu bapa sendiri yang sudah sediakan untuk mereka.

“Dari situ saya rasa perlu lakukan sesuatu untuk mengisi ‘kelompongan itu’ dengan memasuki bidang Perunding Kewangan pada 2010.

“Sebab saya rasa kalau saya tidak buat perkara itu waktu itu, ramai orang muda seusia saya tidak akan tahu mengenai perkara berkenaan sedangkan ia menguntungkan,” katanya kepada Seri.

Tambah penerima 26 anugerah terbaik pelbagai kategori sepanjang 12 tahun berkecimpung sebagai konsultan itu, keputusan yang diambil menjadikan dia adalah konsultan termuda dalam bidang berkenaan pada waktu itu.

Oleh itu, fokus utamanya bermula dengan mensasarkan golongan muda terutamanya dalam kalangan orang Melayu untuk diberikan pendedahan mengenai simpanan dan pelaburan.

“Kenapa saya rasa perkara ini penting adalah kerana pada pendapat saya, kita orang Melayu dapat banyak subsidi tapi kenapa kita tidak buat duit banyak macam kaum lain.

“Kita sebenarnya kena belajar daripada kaum lain. Mereka dapat kurang kelebihan berbanding kita tetapi mereka ada jalan lain untuk buat duit dan jalan itu yang saya mahu tunjukkan kepada anak-anak muda kita,” jelasnya yang turut menerima 30 pengiktirafan dalam kerjayanya.

Melebarkan sayap
Mahu terus terbang tinggi dalam industri kewangan, anak sulung daripada empat beradik itu mengambil langkah berani melebarkan sayapnya ke syarikat baharu.

Selepas lebih sedekad pengalaman, Erin mahu mengembangkan bakat dan melangkah lebih jauh dengan menawarkan perkhidmatan perancangan kewangan secara menyeluruh.

Berbanding hanya pelaburan, ketika ini bersama syarikat baharu itu dia mengendalikan agensinya sendiri, Entrust Group yang memberikan perkhidmatan penyelesaian dan perancangan kewangan seperti hibah, wasiat, takaful dan pelbagai perkhidmatan seumpamanya.

“Saya sudah dapat anugerah untuk semua kategori sepanjang kerjaya di syarikat lama dan juga pernah pecahkan rekod jualan empat kali. Jadi, keinginan untuk terus berkembang berkobar-kobar.

“Dari situ datang pula tawaran daripada syarikat baharu yang beri saya peluang untuk buat perancangan kewangan menyeluruh dan saya nampak itu sebagai satu peluang terbaik saya untuk terus lebarkan kerjaya dalam bidang ini dan cabar diri untuk keluar daripada zon selesa,” katanya.

PEMPENGARUH TERKENAL
Figura berusia 33 tahun ini juga merupakan antara pempengaruh media sosial popular.

Memiliki lebih daripada 100,000 pengikut di Instagram, Erin turut aktif sebagai selebriti media sosial dan melakukan kerja-kerja sebagai duta jenama barang kemas terkenal.

Mengenai resipi kejayaannya itu, katanya sikap memainkan peranan penting dalam menjadikan siapa dirinya hari ini.

“Saya proaktif dan sentiasa bersedia belajar sesuatu yang baharu setiap hari.

“Saya suka berfikir apakah pelajaran yang saya dapat daripada perkara-perkara yang saya lalui hari ini dan saya juga sangat terbuka menerima perkara-perkara baharu.

“Komited dan sedia untuk belajar itu antara yang membantu saya mencapai kejayaan,” ujarnya.

Tidak mahu merungut mengenai jatuh bangun dalam bidang perancangan kewangan, katanya, segala susah payah dan cabaran yang dilalui setiap itu adalah sebagai satu lumrah kehidupan.

Malah, graduan Institut Pengurusan Malaysia (MIM) dalam jurusan Pengurusan itu juga bersyukur halangan dan cabaran itu lebih mematangkan dirinya terutama ketika berhadapan dengan pelanggan atau pasukan di bawah agensinya.

MOTIVASI DIRI
Selain menjadikan ibunya yang juga dalam bidang sama sebagai mentor, Erin atau lebih mesra dengan gelaran Kak Long di rumah lebih gemar memotivasikan dirinya sendiri.

Katanya, sikap bergantung kepada orang lain untuk memberi motivasi kepada diri bererti seseorang itu tidak berdikari.

“Setiap pagi saya akan bangun dan hantar ucapan selamat pagi kepada pasukan untuk membangkitkan mood positif.

“Bukan tidak ada hari saya rasa letih dan sedih. Erin Adlina juga manusia biasa tetapi saya perlu kuatkan diri untuk terus bantu pasukan saya dan naikkan agensi saya,” ujarnya lagi.

‘TAK BOLEH DENGAN ORANG MALAS’
Diselit soal peribadi, Erin hanya tersenyum manis.

Agak tertutup soal percintaan, katanya, setiap wanita sudah tentu mengimpikan sebuah perkahwinan.

“Saya memang sentiasa bersedia untuk berumah tangga. Kalau jadi, jadi lah,” katanya sambil tertawa.

Dalam pada itu, dia sempat berkongsikan ciri-ciri lelaki yang menjadi idaman hatinya.

Katanya, dia menginginkan jejaka yang sentiasa menyokong kerjaya dan usahanya serta yang boleh menjadi ketua dan membimbingnya di rumah.

“Saya tidak mahu menjadi ketua sepanjang masa. Di tempat kerja saya ketua tetapi di rumah saya mahu suami yang menjadi ketua kerana saya tidak mahu jadi terlalu dominan.

“Selain itu, lelaki itu juga haruslah ada matlamat dalam hidup dan rajin bekerja kerana saya memang tidak boleh dengan orang malas. Lagi satu perlu minat bersenam kerana saya suka bersenam,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×