Bukanlah mahu membanding-bandingkan, namun realitinya, industri filem kita pada masa kini sememangnya ketandusan seorang pelakon bertaraf primadona.
Pelakon primadona mempunyai ciri-ciri pemain watak yang hampir sempurna, selain memiliki kejelitaan, aura, karisma dan kredibiliti menghidupkan setiap peranan dalam lakonan mereka.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, industri masih belum berjaya melahirkan mana-mana pelakon baharu yang mempunyai semua keistimewaan itu untuk terus menyerlah di mata khalayak.
Sutradara terkenal, Osman Ali berpandangan sama, tentang kekurangan pelakon wanita generasi sekarang yang layak diangkat sebagai primadona.
Katanya, zaman sudah berubah dan mencari pelakon untuk digilap menjadi primadona umpama menarik rambut dalam tepung.
“Kita memang ketandusan pelakon wanita yang bertaraf primadona. Sekarang tidak sama macam dulu. Sebut sahaja nama, kita nampak nilai primadona dalam diri mereka.
“Kalau disoal, tentu kita akan tertanya-tanya siapa? Tidak ramai pelakon yang mempunyai kualiti itu. Dulu, kita ada Datin Sofia Jane, Vanidah Imran, Datin Seri Umie Aida, Erra Fazira, Maya Karin dan ramai lagi,” jelasnya.
Baginya, kualiti seorang primadona harus dicipta lantaran ia tidak datang begitu sahaja.
“Kita kena cipta lebih ramai primadona dalam kalangan pelakon baru. Bentuk imej mereka agar ada cinema appeal yang kuat,” katanya.
Memburu Puteri Saadong
Sementara itu, bercerita mengenai cerita bersejarah Puteri Saadong, Osman berkata dia telah menyimpan kerta cadangan baharu untuk membawa kisah tersebut ke layar Perak.
Osman, sebelum pernah mengusahakan untuk merealisasikan projek filem mengenai Puteri Saadong namun hasrat itu tidak kesampaian dan terputus di tengah jalan.
Baginya kisah itu mempunyai nilai sejarah besar dan amat signifikan buat negeri Kelantan.
Lantaran tertarik dengan kisah itu, sutradara kelahiran Pulau Langkawi, Kedah, ini pernah beberapa kali menyuarakan hasratnya untuk menggarap kisah ikonik itu ke layar perak.
“Saya sudah menyiapkan kertas kerja projek itu sebelum ini. Pelakon juga telah kami senaraikan. Izara Aishah antara nama yang bagi saya ada nilai estetika dan semangat yang tinggi. Sesuai dengan perwatakan Puteri Saadong.
“Namun, projek itu tidak menjadi. Saya anggap tidak ada rezeki untuk menghasilkannya pada ketika itu,” katanya.
Osman bagaimanapun, masih berharap projek tersebut dapat direalisasikan suatu hari nanti.
“Sekarang, saya terpanggil untuk menyediakan kertas kerja baharu bagi projek filem berkenaan. Rugi kalau saya tidak teruskan.
“Kisahnya ada nilai perjuangan yang besar iaitu tentang pengorbanan Puteri Saadong yang terpaksa mengahwini Raja Siam untuk menyelamatkan Kelantan daripada diserang Siam.
“Jadi, Puteri Saadong memang ada dalam perancangan. Cuma, saya berharap ada penerbit yang berminat bekerjasama dengan saya untuk menghasilkannya,” ujarnya.
Mengenai pilihan pelakon, Osman berkata, dia belum membuat keputusan, namun memikirkan beberapa nama yang dirasakan sesuai.
“Saya kena fikirkan siapa, memandangkan Izara sekarang sudah bertudung. Tidak semestinya orang Kelantan, asalkan ada karisma dan berjiwa kental.
“Janna Nick, Mimi Lana atau Tiz Zaqiyah, antara nama buat masa ini, tetapi saya belum dapat pastikan lagi,” tambahnya.
Harapan menggunung untuk Telaga Suriram
Kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang merekodkan jumlah kutipan hampir RM100 juta menjadi penanda aras baharu dunia sinema tempatan.
Osman yang sedang giat menyiapkan filem terbarunya, Telaga Suriram, mengakui sudah mula berdebar mengenangkan sambutan bakal diberikan penonton sebaik sahaja filem itu ditayangkan nanti.
“Saya sangat risau sebab penonton berhak memilih filem yang hendak ditonton dan menarik minat mereka.
“Saya kena pastikan filem ini menjadi filem yang ditunggu-tunggu sebelum ia menjengah pawagam.
“Saya kena fikir strategi pemasaran betul dan membuatkan orang tertunggu-tunggu kemunculan filem ini,” katanya.
Menerusi pengamatannya, strategi pemasaran bijak dan agresif berjaya meletakkan filem Mat Kilau pada kedudukan sekarang.
Justeru dia berharap Telaga Suriram bakal menerima tempias Mat Kilau dan filem lain yang berjaya merekodkan jumlah kutipan melegakan.
“Cabaran saya ialah untuk pastikan medium marketing kuat. Dalam usaha itu saya mungkin akan bekerjasama dengan syarikat lain untuk memasarkan filem itu nanti.
“Walaupun tidak meletakkan apa-apa sasaran (kutipan), tetapi, kalau boleh biarlah sambutannya memberangsangkan seperti yang diterima Ombak Rindu dahulu,” tambahnya.
Osman berharap penonton memberikan sokongan terhadap Telaga Suriram yang baginya, mempunyai kelainan dari segi penceritaan dan lakonannya.
“Penonton akan dibawa masuk ke dalam dunia Suriram itu nanti. Ia akan membuat penonton berteka-teki, merasai keseramannya dan terjebak dengan permainan emosi watak yang dipaparkan,” kongsinya.
Telaga Suriram menampilkan pelakon hebat seperti Maya Karin, Farid Kamil, Nabila Huda, Scha Alyahya, Ellie Suriaty Omar dan aktor Indonesia, Fauzi Baadilla.
Ia mengisahkan kejadian di sebuah kampung terpencil yang melibatkan insiden kehilangan seorang anak kecil bernama Suriram yang menjadi misteri.









