Isyariana sabar tunggu peluang - Utusan Malaysia

Isyariana sabar tunggu peluang

Isya bermula dengan program realiti Akademi Fantasia (AF), namun kini terus memahat nama sebagai pelakon.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isyariana Che Azmi yang lebih disapa Isya bermula dengan program realiti popular tanah air, Akademi Fantasia (AF), namun kini terus memahat nama sebagai pelakon.

Memulakan langkah pada 2014 sebagai penyanyi, dia mengakui kini jiwanya lebih kepada bidang lakonan.

Bagaimanapun, minatnya terhadap nyanyian tidak ditolak ke tepi kerana kerjaya itu juga adalah punca rezekinya, selain berlakon.

“Saya minat menyanyi sejak kecil, malah turut mencuba memasuki program realiti. Namun, jika hendak dibandingkan antara berlakon dan menyanyi, jiwa saya sebenarnya lebih kepada lakonan. 

“Alhamdulillah, rezeki saya agak murah sekarang apabila turut menerima tawaran persembahan nyanyian, terutama untuk persembahan tertutup,” katanya.

Menitipkan rasa syukur, Isya sentiasa mengambil peluang yang ada di depan mata dengan berbekalkan minat mendalam.

“Saya ambil sahaja peluang yang datang, sementara menunggu naskhah terbaik untuk dijayakan. Saya bersyukur rezeki sentiasa ada.
 
“Saya sambut setiap peluang kerana bidang seni ini luas dan kita boleh lakukan pelbagai perkara. Tapi, minat harus diutamakan kerana tanpanya kita tidak akan temui kepuasan dalam apa yang dikerjakan,” katanya.

Mahu jadi pelakon, penyanyi berkualiti
Hampir sembilan tahun mengorak langkah berbekalkan semangat yang tinggi, pastinya untuk kekal dan relevan dalam hiburan tanah air adalah impian utamanya.

Selain terus berusaha mengekalkan nama baik agar menjadi anak seni yang memiliki kualiti tersendiri, pelakon naskhah Biarkan Ia Pergi yang baru menghiasi slot Samarinda di TV3 ini menyatakan, mengejar populariti bukan sasaran utamanya.

Sebaliknya, Isya berharap untuk kekal bertahan dan mampu mencari rezeki sehingga ke hari tua sepanjang bergelar pelakon.

“Menjadi anak seni sama juga seperti orang lain mencari rezeki di luar. Ia bukan kerjaya persinggahan. Siapa yang tidak mahu popular, bohong jika saya tidak berharap nama melonjak. Tetapi, itu bukan sasaran utama.

“Saya hanya mahu bertahan dalam industri. Dapat lakukan apa yang saya suka, selain menerima pelbagai tawaran yang menguji kemampuan dan boleh bekerja sehingga hari tua, itu sebenarnya yang saya harapkan,” ujarnya.

Isya sentiasa berpegang kepada prinsip menjaga kualiti dalam tugasan, selain sentiasa memperbaiki hasil kerja agar namanya terus meniti di bibir ramai.

“Populariti bagi saya, akan datang apabila sampai masanya. Tidak kisah berapa lama masa yang diambil, jika sudah tertulis untuk kita, ia pasti hadir. Tidak semua anak seni berjaya pada permulaan karier, malah ada yang nama mereka meletup selepas meniti usia matang.

“Saya cuma harapkan agar dapat sentiasa memperbaiki kualiti kerja. Saya mahu menjadi pelakon dan penyanyi yang berkualiti. Saya sabar menanti peluang untuk melihat bakat terus menyerlah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN