KETIAK gelap atau kelihatan hitam bukanlah sesuatu petanda serius, tetapi bagi sesetengah orang ia memalukan terutamanya apabila memakai pakaian menampakkan bahagian bawah lengan itu.
Kawasan gelap pada bahagian ketiak selalunya disebabkan oleh keadaan kulit dipanggil acanthosis nigricans (AN) iaitu penyakit pigmentasi. Ia menyebabkan kulit menjadi tebal dan gelap di sekitar lipatan kulit, khususnya ketiak, celah paha dan leher.
Situasi berkenaan adalah normal dan semula jadi justeru ia tidak bermaksud kotor atau berkerak.
Wanita sering berhadapan dengan masalah ketiak yang agak gelap berbanding lelaki.
Ia berpunca daripada perubahan hormon, kekerapan mencukur, memakai baju ketat, sel kulit mati dan penggunaan deodoran. Namun ada juga yang berpunca daripada penyakit tertentu seperti diabetes, obesiti dan Sindrom Ovari Berpolisistik (PCOS).
Walaupun ketiak wanita lebih gelap berbanding lelaki tetapi ketiak kaum Adam lebih berbau lantaran banyak mengeluarkan peluh.
Punca jadi gelap
PENGGUNAAN DEODORAN
Kebiasaan ketiak gelap boleh berlaku kepada wanita disebabkan penggunaan deodoran. Lelaki pula jarang memakai deodoran. Beberapa jenis deodoran mempunyai kandungan yang dapat mengiritasi kulit sehingga menyebabkan ketiak menjadi gelap dan kehitaman. Selain itu, bekas deodoran yang kurang bersih juga menyebabkan kulit ketiak hitam. Gunakan deodoran yang sesuai dengan jenis kulit.
KERAP MENCUKUR
Salah satu penyebab utama kulit ketiak hitam adalah sering menghilangkan bulu ketiak dengan cara mencukur atau mencabutnya. Bercukur terlalu kerap berkemungkinan menyebabkan ketiak gelap atau hitam. Hal ini membuatkan kulit mudah mengalami iritasi dan menghasilkan pigmen atau warna asal kulit (melanin), secara berlebihan.
SEL KULIT MATI
Jarang membersihkan bahagian itu, menjadi penyebab banyak sel kulit mati terkumpul. Ia mengakibatkan bahagian kulit bawah lengan menjadi gelap. Sentiasalah membersih dan membuang sel kulit mati dengan menyental bahagian berkenaan.
Rawatan sesuai elak ketiak gelap
WAXING
Waxing boleh dilakukan setiap tiga hingga empat minggu atau ketika panjang bulu ketiak kira-kira 0.5 sentimeter. Meskipun dapat menghilangkan bulu ketiak, waxing berisiko menyebabkan ruam kemerahan, iritasi, dan keradangan pada akar rambut.
KRIM PENGHILANG
Krim jenis ini semakin popular di pasaran. Hanya semburan dan biarkan selama 10 hingga 15 minit, roma akan terlerai atau tercabut dengan sendirinya. Tidak menyakitkan dan prosesnya sangat mudah serta paling selamat.
LASER ATAU INTENSE PULSED LIGHT (IPL)
Laser atau IPL sangat efektif dan memberikan hasil lebih tahan lama daripada cara lain. Namun, untuk mendapatkan hasil maksimum, ia perlu dilakukan sekurang-kurangnya enam kali.
UBAT HORMON DAN ANTIBIOTIK
Ubat hormon dapat menyeimbangkan kadar hormon yang tidak stabil. Jika disebabkan oleh jangkitan bakteria, penggunaan ubat antibiotik boleh menjadi penyelesaiannya. Namun, perlu mendapatkan saranan dan nasihat doktor terlebih dahulu.










