Wakaf solar bantu masjid jimat elektrik - Utusan Malaysia

Wakaf solar bantu masjid jimat elektrik

PANEL solar dapat menghasilkan kapasiti tenaga elektrik sebanyak 10 kW.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA zaman dahulu, masyarakat Islam di kampung-kampung mewakafkan harta mereka untuk membeli minyak tanah bertujuan memasang pelita bagi menerangi masjid pada waktu malam.

Kebanyakan masjid ketika itu memerlukan bekalan minyak tanah bagi menyalakan pelita untuk menerangi masjid sepanjang malam terutamanya pada bulan Ramadan.

Bagaimanapun suasana tersebut berubah pada masa sekarang apabila masjid dilengkapi kemudahan bekalan elektrik untuk kegunaan lampu, kipas dan pendingin hawa.

Namun, penggunaan elektrik yang banyak di sesebuah masjid menyebabkan bil elektrik agak tinggi pada setiap bulan. Alternatif kepada masalah bil bulanan tersebut adalah dengan beralih kepada tenaga diperbaharu iaitu solar.

Selain menjimatkan elektrik, ia juga mesra alam. Ini secara tidak langsung masjid membantu mempromosikan penggunaan tenaga hijau yang tidak mencemarkan alam sekitar dalam kalangan masyarakat.

Secara tidak langsung, institusi masjid bukan sahaja untuk beribadat tetapi turut mendidik masyarakat supaya menjaga alam sekitar yang mana ia adalah sebahagian daripada ajaran Islam.

Melalui projek wakaf solar ini, individu yang berminat akan membiayai pemasangan panel-panel solar di masjid yang menjadi pilihan mereka.

Panel solar adalah teknologi yang menghasilkan tenaga dengan menyerap cahaya dari matahari dalam sel fotovoltaik dan kemudiannya mengubah tenaga tersebut menjadi elektrik.

Melalui projek ini ia membantu pengurusan masjid menjimatkan bil elektrik di samping pewakafnya akan mendapat ganjaran pahala.

Projek ini dilaksanakan di sebuah masjid di Kedah yang memanfaatkan teknologi solar bagi tujuan penjimatan elektrik dan kelestarian alam sekitar. Ia adalah Masjid Lutfi Kampung Suka Menanti, Alor Setar yang dipasang dengan sistem tenaga solar pada tahun lalu.

Pemasangan panel solar berharga kira-kira RM38,500 itu dibiayai sepenuhnya oleh seorang pewakaf yang tidak mahu didedahkan identitinya.

Imam masjid, Mohd. Hishanuddin Hitam, 41, berkata, panel solar yang siap dipasang pada Ogos tahun lalu mendapat kelulusan daripada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dan memperoleh lesen daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda).

“Sebanyak 24 panel solar dipasang di atas bumbung masjid ini yang mana setiap satu panel itu berukuran dua meter panjang dan satu meter lebar.

“Keseluruhan panel solar tersebut dapat menghasilkan kapasiti tenaga elektrik sebanyak 10 kilowatt (kW),” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau memberitahu, pemasangan sistem solar tersebut dapat menjimatkan kira-kira 60 peratus kos bil elektrik di masjid itu setiap bulan.

“Pada masa ini, jumlah bayaran bil elektrik masjid itu kira-kira RM1,500 sebulan,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Hishanuddin berkata, beliau mengharapkan lebih ramai umat Islam mewakafkan panel solar di masjid-masjid di negeri, untuk membantu meringankan beban pihak pengurusan masjid membayar bil elektrik setiap bulan.

Menurutnya, beliau percaya lebih ramai yang berminat mewakafkan panel solar kepada masjid selepas ini.

“Selama ini, ramai dalam kalangan umat Islam di negeri ini mewakafkan tanah, pembinaan masjid, al-Quran, karpet, sejadah dan kemudahan lain di masjid untuk mendapat ganjaran pahala yang berkekalan.

“Walaupun wakaf solar di masjid masih baru, namun kesedaran orang ramai terhadap keperluan penggunaan teknologi tersebut didapati semakin tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir. Guntor Tobeng memberitahu, setakat ini, syarikatnya yang merupakan sebuah syarikat tenaga solar swasta telah memasang panel solar yang diwakafkan individu tertentu di 45 buah masjid di seluruh negara.

“Panel solar wakaf yang dipasang di masjid-masjid tersebut dapat digunakan dalam tempoh masa panjang antara 20 hingga 30 tahun.

“Selain daripada menjana pendapatan kepada masjid, ia juga membantu mengurangkan pelepas gas rumah kaca ke udara dan membantu alam sekitar dilestarikan melalui program solar dan teknologi hijau,” katanya.

Guntor memberitahu, kos pemasangan panel solar di masjid itu bermula daripada RM19,400 hingga RM1 juta mengikut jumlah penggunaan tenaga elektrik di sesebuah masjid.

Pada masa ini, sebuah institusi kewangan memperkenalkan pembiayaan peribadi kepada mereka yang berminat untuk memasang Sistem Solar Fotovoltaik (SPV) di kediaman dan bangunan termasuk masjid.
“Orang ramai yang kekurangan sumber kewangan untuk mewakafkan panel solar kepada masjid melalui kemudahan pembiayaan peribadi tersebut,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN